Awas, Obsesi Kulit Putih Gebu Boleh Mengundang HIPERPIGMENTASI & OCHRONOSIS! Check Label PRODUK PEMUTIH Anda Hari Ini

Kerana terlalu ghairah hendak memiliki kulit putih gebu, kebanyakan wanita menderita penyakit kulit akibat produk pemutih. Bukan hanya menggalakkan pembentukan pigmentasi sehingga mengalami hiperpigmentasi disebabkan lapisan epidermis kulit yang kian menipis, lebih memburukkan apabila gejala ochronosis mula terbit. Suatu keadaan yang mengakibatkan kulit bertukar warna biru kehitaman.

Peringatan untuk semua wanita termasuk lelaki, meskipun anda telah menggunakan sesuatu produk pemutihan sekian lama dan berjaya memiliki kulit yang diidamkan namun usah terlalu yakin terhadap keberkesanannya jika anda tidak mengambil tahu tentang kandungan bahan di dalamnya selama ini. Cuba semak sekarang dan kalau mendapati ia mengandungi bahan beracun seperti hydroquinone, buang segera!

Tahukah anda pendedahan terhadap kandungan beracun hydroquinone dalam tempoh yang lama menyebabkan ia mengalami hiperpigmentasi. Dalam keadaan tertentu tahap hiperpigmentasi ini boleh mengundang kepada masalah ochronosis.

Di Malaysia, masalah kulit ochronosis jarang berlaku namun apabila ia hinggap pada kulit wajah atau tubuh badan tiada lagi rawatan yang boleh mengubatinya. Berdasarkan laporan City Press tahun lalu, trend yang mula digilai sejak 1960an dan 1970an ini kembali menjadi kegilaan ramai wanita dan juga lelaki masa kini disebabkan mereka percaya memiliki kulit putih adalah cantik.

Di Afrika Selatan misalnya, rata-rata wanita di sana yang berkulit gelap turut tidak terkecuali merebut peluang memiliki kulit putih dengan menggunakan produk kosmetik jalanan yang ternyata mengandungi bahan beracun seperti merkuri, steroid dan hydroquinone. Menurut Profesor Ncoza Dlova yang merupakan ketua pakar dan ketua jabatan dermatologi di University of KwaZulu-Natal, Afrika Selatan, jumlah pesakit di klinik awam dan swasta disebabkan komplikasi kulit akibat penggunaan krim pemutih menunjukkan peningkatan.

Di Malaysia, Pakar Perunding Dermatologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Azura Mohd Affandi pula menjelaskan, “Tidak dinafikan hydroquinone merupakan bahan pemutih yang berkesan mencerahkan kulit wajah, melambatkan pengeluaran ezim tyrosinase dan mengurangkan pembentukan melanin. Namun jika digunakan tanpa pemantauan atau preskripsi doktor, ia boleh mendatangkan kesan mudarat pada kulit.”

Penggunaan hydroquinone dalam jangka masa pendek boleh menimbulkan reaksi kegatalan, kemerahan dan pengelupasan kulit. Penggunaan hydroquinone juga boleh menghalang proses pigmentasi sekali gus mengurangkan perlindungan ke atas kulit daripada pancaran ultra ungu dan sinaran matahari berlebihan yang berpotensi mendapat kanser kulit.

Sekitanya digunakan dalam dos tinggi, ia turut berisiko menyebabkan kesesakan nafas dan serangan lelah.

Kenali Kewujudan Hiperpigmentasi

Masalah kulit ini biasanya terjadi pada semua bahagian tubuh termasuk wajah, tangan, leher dan dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti penyalahgunaan produk pemutih, hormon, genetik dan pendedahan kepada sinar matahari.

Terdapat 4 jenis hiperpigmentasi iaitu:

  • Melasma
  • Lentigos
  • Solar Lentigo
  • Post Inflammatory Hyperpigmentation

Sumber: Utusan Malaysia & City Press

Share
Published by
Suzi