Awas, Risiko Kanser Payudara Berada Di Sekeliling Kita! PERIUK & KUALI MEMASAK Pun Bahaya

Pencegahan kanser payudara seharusnya bermula dari rumah, setepatnya daripada aspek penjagaan diri dan pemakanan kita setiap hari.

Meskipun terdapat banyak faktor penyebab, namun tidak dinafikan salah satunya bermula daripada bahan kimia yang masuk melalui makanan diproses. Antaranya aspartame yang didapati dalam pemanis sintetik (bijirin sarapan, yogurt, gula-gula getah), BHT & BHA atau antioksidan sintetik (daging diproses, minyak sayuran), MSG atau perisa tiruan serta pewarna tiruan (Blue 1, Yellow 5).

Selain itu, faktor alam sekitar yang bertoksin juga menyumbang kepada risiko kanser payudara. Malah tanpa disedari, bahan kimia yang terdapat dalam produk penjagaan diri juga turut dikesan dalam kebanyakan kes penyakit ini

(a) PARABEN

Foto: encognitive.com

Digunakan secara meluas dalam produk kosmetik seperti losen, anti-perspirasi, syampu dan semburan badan. Kajian klinikal menemukan sejumlah kandungan paraben yang tinggi dalam tisu wanita yang menghidap kanser payudara.

(b) PHTHALATES

Foto: phthalatesblog

Ditemui dalam produk pembersihan rumah dan alat kosmetik. Ia dikaitkan dengan pertumbuhan kanser payudara, penyakit neurologi dan disfungsi sistem imunisasi.

(c) FORMALDEHYDE

Foto: ScienceStruck

Merupakan sejenis karsinogen berbahaya yang wujud dalam pelbagai produk pembersihan komersial.

(d) BPA

Foto: Mercola.com

Atau bisphenol A sering digunakan dalam industri membuat botol plastik, makanan dalam tin, penampal gigi dan resit juruwang. Kompaun ini juga menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan termasuklah kanser payudara.

(e) PFOA

Foto: drjockers.com

Asid Perfluorooctanoic sering ditemui dalam alat perkakas memasak, karpet kalis kotoran, pembersih karpet, pakaian kalis air dan air minuman.

KAEDAH PENCEGAHAN NATURAL

Bagi mengurangkan peluang mendapat kanser payudara secara semula jadi, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan. Selain berniat untuk mencegah penyakit, amalan di bawah juga sesuai diaplikasikan untuk menjaga kesihatan keluarga secara keseluruhan.

(1) ELAKKAN SEGALA MAKANAN BERPROSES

  • Diri anda ialah apa yang anda makan. Cuba kawal dan hindari pengambilan makanan berproses serta tinggi kandungan kimia.
  • Gantikan dengan makanan segar dan organik seperti kekacang, biji-bijian, produk tenusu, buah-buahan, sayuran, ayam, daging dan ikan yang didapati melalui habitat asal mereka.
  • Lebih kuat sistem imunisasi anda, maka lebih bersedialah sistem pertahanan tubuh untuk melawan kanser.

(2) CIPTA SUASANA HIJAU

  • Kini perhatikan pula suasana di sekeliling anda. Semak label pada kosmetik serta produk pembersihan rumah yang selalu digunakan.
  • Sedarilah bahawa kebanyakan produk-produk ini boleh menjadi penyebab kanser payudara serta pelbagai penyakit berbahaya lain.
  • Gantikan barang kosmetik harian seperti mekap, rangkaian penjagaan kulit dan rambut yang berkimia ini dengan produk berasaskan mineral atau organik.
  • Anda juga boleh membersihkan rumah dengan mudah menggunakan cuka, jus lemon dan sabun kastil.

(3) LAKUKAN URUTAN LIMFATIK PAYUDARA

  • Gaya hidup yang bertoksik dan sedentari (duduk setempat) boleh mendedahkan kita kepada pelbagai toksin. Justeru, lakukan urutan payudara di rumah dengan tujuan nyah toksin dan melancarkan peredaran darah.

(4) TINGKATKAN PENGAMBILAN VITAMIN D3

  • Kebanyakan pesakit kanser payudara sering mengalami masalah kekurangan vitamin D3. Tanpa bekalan vitamin D mencukupi, anda terdedah kepada pertumbuhan pelbagai jenis kanser termasuk kulit dan payudara.
  • Dos optimum yang disyorkan untuk orang dewasa adalah sekitar 2000-5000 IU serta bertambah penting untuk mereka yang tinggal dalam iklim sejuk atau tidak mendapat dedahan matahari secukupnya.

Kempen #nonapinkribbon sesungguhnya diusahakan tanpa keuntungan bagi menggalakkan usaha pengesanan awal terhadap kanser payudara. Pun begitu, anda juga mempunyai kuasa yang sangat kuat untuk mencegah risikonya tanpa perlu menunggu kedatangan bulan Oktober. Norzalina Mohd Alias

Share
Published by
Norzalina