Dalam diam, rupa-rupanya Sharifah Amani sudah pun berbadan dua. Berita gembira mengenai kehamilan sulung pelakon ini bagaimana pun baru saja diumumkan kepada khalayak beberapa hari lepas.
Menerusi perkongsian Sharifah Amani Syed Zainal Rashid atau mesra disapa Nani di media sosial, jelas kelihatan baby bump bintang filem Sepet tersebut. Malah video yang dimuat naik Nani dan suami juga meraih hampir sejuta tontonan!
Kelihatan adik-beradik, ibu bapa, kenalan rapat Nani turut sebak menerima kejutan daripada anak kepada pelakon dan guru lakon, Fatimah Abu Bakar ini apabila dimaklumkan mengenai kandungannya.
Rata-rata peminat dan followers setia melahirkan rasa teruja dengan khabar gembira berkenaan. Tidak kurang juga rakan-rakan artis yang mendoakan kesihatan ibu dan bayi.
Lebih istimewa, selepas mengumumkan dirinya sedang hamil anak sulung pelakon berbakat besar ini juga meraikan ulang tahun kelahiran suami tersayang iaitu Ahmed Faris Amir yang ke-36.
“Happy birthday bapak anak I. Best gila bercinta dengan you. Terima kasih for everything. May everything be eased and may all your dreams come true. InsyaAllah. I love you, Med Faris.”
Sementara itu, Ahmed Faris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated meluahkan rasa syukur bersempena ulang tahun kelahirannya.
“36, immensely loved, and a soon-to-be father, insyaAllah.”
Pasangan romantis ini menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 10 September 2023.
Nani merupakan adik kepada pelakon dan pengacara Sharifah Aleya. Selain Aleya, dia juga mempunyai adik perempuan yang bergiat aktif sebagai pelakon iaitu Sharifah Aryana dan Sharifah Aleysha.
Ingatkan Ulser Mulut Biasa, Tapi Rupanya Kanser Lidah! Baca Luahan Wanita Ini Yang Amat Menyebakkan
Viral di negara jiran, kisah sedih seorang isteri yang menjaga suaminya, seorang pesakit kanser lidah hingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Arwah meninggal dunia tiga tahun lalu pada usia 29 tahun iaitu kira-kira seminggu selepas hari jadinya.
Menurut balunya, arwah Andre Kurnia Farid hanya mengadu mengalami ulser di dalam mulut, tapi setelah berlarutan selama tiga minggu, ujian mendapati ia kian parah dan positif kanser lidah.
Secara anatomi, lidah manusia terdiri kepada dua bahagian iaitu bahagian depan di dalam mulut dan bahagian pangkal di kerongkong leher.
Kanser lidah dapat berkembang pada kedua-dua bahagian ini tapi biasanya kanser di bahagian depan termasuk dalam kategori kanser mulut.
Alkohol dan tembakau dikenal pasti sebagai penyebab utama kanser lidah kerana kedua-duanya memiliki sifat karsinogenik atau mudah menyebarkan kanser.
Gejala
- Sakit kerongkong yang berlarutan.
- Timbul tompok-tompok putih atau merah, benjol atau ulser di dalam mulut yang sukar pulih.
- Sakit semasa menelan.
- Sering rasa kebas dalam mulut.
- Pendarahan tanpa sebab pada lidah.
- Kadang-kadang sakit telinga.
Sekiranya gejala ini berlarutan selama lebih tiga minggu, terutamanya bagi seorang perokok tegar atau selalu mengamalkan minuman keras, anda WAJIB membuat pemeriksaan segera di hospital.
Faktor
- Rokok
- Minuman keras (alkohol)
- Human papillomavirus (HPV)
- Kebersihan mulut yang rendah
Bagaimana kisah arwah Andre yang viral kerana dibunuh kanser lidah? Baca selengkapnya luahan si isteri (telah dialih bahasa) menerusi Facebook Rezy Selvia Dewi.
Selamat Jalan Suamiku
“Mii, ulser dalam mulut abbi ni buat hilang selera makan.” Sepulangnya dari kerja, suamiku menolak untuk makan walaupun terhidang lauk ayam kegemaran.
Setiap hari suami selalu mengeluh sakit ulser di atas lidahnya yang tak pernah sembuh. Sudah 2 minggu, tapi aku kurang menghiraukan keluhannya kerana fikir ia sekadar ulser biasa.
“Mii, tadi di pejabat ada medical checkup, ini hasilnya…” sambil menunjukkan selembar kertas hasil pemeriksaan. Aku ingat betul saat itu, bulan April 2016.
“Kesihatan abbi ada masalah, cuma kata doktor, abbi kurang nutrisi, abbi kurang gizi ni. Ummi sibuk sangat dengan Zuma, hehehe,” gurau suamiku saat itu.
Memang anak kami baru berusia 1 tahun, jadi sebagai ibu, akulah orang yang paling sibuk kerana anakku mulai aktif.
Aku memang terlalu sibuk, sampai tak sempat memerhatikan suami. Aku diam saja ketika dia merokok tanpa henti. Aku tak pernah marah.
Dan aku pun tak pernah tahu, apa makanan yang dimakannya di pejabat. Makanan sihatkah? Atau bukan? Itulah kesalahan terbesarku.
3 minggu kemudian, ulser di mulut suami masih lagi belum hilang. Malah katanya sampai sakit di kepala dan telinga.
“Abbi… esok periksa doktor ya, biar diberi ubat sepatutnya.” Suamiku pun mengangguk.
Keesokan harinya, pemeriksaan doktor mendapati dia hanya kurang makan sayur dan buah. Ubat yang dibekalkan pula hanya balm khas untuk disapu pada ulser.
“Kalau 2 minggu lagi belum sembuh, periksa lagi ya,” pesan doktor tersebut.
2 minggu kemudian, sakit ulser itu masih juga tak sembuh. Doktor hanya menambah antibiotik tapi sampai habis pun belum juga ada tanda-tanda sembuh.
Kali ini, dia dirujuk ke pakar bedah mulut dan pemeriksaan kali ini mendapati ia mungkin berpunca akibat masalah gigi bongsu.
“Oh, ulser di lidah ni sebab ada gigi bongsu, tapi posisinya abnormal. Mungkin itu sebabnya susah nak sembuh. Gigi ni mesti dibedah dan dibuang,” kata mereka.
Bulan Jun 2016, saat awal Ramadan, suamiku tak puasa kerana bakal menjalani pembedahan gigi. Maka dicabutlah gigi bongsu yang dikatakan. Tapi anehnya selepas seminggu berlalu, ulser masih lagi terasa dan sakit di kepala kian menjadi-jadi. Lidahnya pula tidak boleh digerakkan ke kiri.
Dari situ, dia bertemu pula pakar saraf dan seterusnya membuat fisioterapi lidah. Selepas enam kali terapi masih tiada perubahan, doktor mengesyorkan pemeriksaan MRI.
Hari Aidilfitri, suami lebih memilih tidur dan tidak mahu beraya dengan saudara mara. Sakit di kepalanya semakin kerap, jadi aku biarkan dia beristirahat saja di bilik.
“Mii, ada benjol kat lidah abbi, cuba tengok.”
Benar. Aku terlihat sebiji benjol kecil sebesar biji jagung pada lidahnya yang sakit. Kata doktor, benjolan ini mungkin seketul tumor dan sekali lagi dia perlu menjalani pembedahan membuangnya.
Tanggal 13 Ogos 2016, kami kembali menemui doktor untuk mengetahui hasil makmal terhadap benjol yang dibuang.
“Suami usianya berapa tahun?”
“28 doc.”
“Sudah ada anak?”
“Sudah, baru usia setahun doc.”
Doktor pun menghela nafas panjang. Ada perasaan tak enak saat itu.
“Hasil pemeriksaannya kurang bagus. Suami puan positif terkena kanser lidah.”
Masa itu seolah detak jantungku berhenti. “Kanser?”
Tiba-tiba mataku jadi gelap, sebuah beban serasa berat menindih badanku. Aku diam tanpa berkata apa-apa. “Kanser?” tanyaku.
Kutatap wajah suamiku, dia hanya terdiam. Pucat.
Seluruh pemeriksaan sudah kami lakukan – ujian makmal, USG, CT Scan, Bone Scan.
“Dari hasil pemeriksaan, 3/4 lidah suami puan sudah terkena kanser. Dia mesti dibedah untuk membuangnya,” kata doktor yang merawat.
Ya Allah… apa lagi ni? Dibuang lidah? Kenapa harus suamiku yang mengalaminya? Kami pun pulang dengan perasaan tak menentu, nanti kita periksa lagi ya bii, dapatkan second opinion.
Esoknya kami periksa lagi. Doktor melakukan endoskopi dari lubang hidung dan daripada kabel kecil kamera itu, terlihat jelas gambar di monitor.
“Wah, kansernya dah merebak ke kerongkong.”
Masa itu terlihat banyak benjolan merah berhampiran peti suara.
“Boleh tahu sudah stage berapa doc?”
“Stage 4 puan.”
“Terus… bagaimana?” tanyaku perlahan.
Kata doktor, suamiku perlu menjalani rawatan kemoterapi 3 kali dan radiasi selama 30 kali.
Wajah suamiku yang putih bertambah pucat. Dia hanya terdiam. Aku terbayang beratnya derita yang harus dialaminya kelak.
Awal September 2016, kami pulang ke kampung selepas suami mendapat cuti sakit sehingga sembuh.
Kami tekad mahu berikhtiar dengan cara alternatif dan herba. Masa itu suami cuma mampu menelan ubat yang direbus atau cecair.
Pada masa yang sama, aku disahkan hamil dan berita tersebut cukup menggembirakan kami berdua. Semangat suami kelihatan kembali semula.
5 bulan berubat, tapi Allah seperti belum memberi jalan kesembuhan. Kondisi suami semakin teruk. Lalu akhirnya kami tinggalkan rawatan tradisional.
Berat badan suamiku mula turun dengan drastik. Daripada 65kg kini tinggal 40kg. Dia makin tenat dan kemuncaknya setiap hari dia muntah darah. Mukanya lemas dan sangat pucat.
Selepas itu, kami kembali membuat segala rawatan moden. Kemoterapi dan radiasi, semuanya dicuba satu persatu tanpa henti. Dalam pada itu juga, aku selamat melahirkan anak kedua kami yang ditunggu-tunggu selama ini.
Tiada tanda-tanda sembuh sehinggalah menjelang hari terakhirnya di sisiku. Kuhampiri suami yang terbaring lemah. Tubuh badannya penuh dikeliling segala peralatan hospital dan wayar yang berselirat.
Waktu itu tekanan darahnya sangat tinggi, nadinya terlalu cepat hingga menunjukkan angka 200 di skrin monitor. Berkali-kali doktor menyuntik ubat anti sakit tapi suamiku masih mengeluh kesakitan.
Melihatkan keadaannya yang cukup mencemaskan, doktor menenangkanku sambil berkata suamiku sudah tak dapat ditolong lagi.
Seluruh badanku terasa gementar. “Benarkah tak ada lagi harapan,” tiba-tiba aku merasakan ketakutan yang luar biasa.
Aku berbisik ke telinganya, “Aku tak mahu kehilanganmu bii.” Kupegang erat jari-jemarinya. “Buka matamu bii,” dan aku ingat dia cuma tersenyum lemah.
Pukul 4 petang, doktor menghulurkan surat persetujuan. Di situ tertulis agar aku tidak akan mengambil apa-apa tindakan pun jika sebarang perkara berlaku pada suamiku.
“Abbi… inilah yang terbaik yang diberikan Allah buat kita. Maafkan ummi, tak bisa menjagamu selama ini. Ummi ikhlas abbi pergi. Ummi terima semua dengan ikhlas.”
Kubimbing suamiku menyebut kalimah Laaillaha illallah muhammadur Rasullullah… kuulang berkali-kali sampai tepat jam 4.40 petang, dia pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Tak ada lagi yang bergerak di sana. Kudakap kemas tubuh suamiku, kukucup bibirnya dan kuusap matanya… Inna lillaahi wainna ilaihi raajiun.
Selamat jalan suamiku. Jemput aku dan anak-anak kita di pintu syurga-Nya.
Kredit: Tribunnews
Sambut Anniversary Ke-3, Gaun Eksklusif & Wedding Mewah SYAHRINI Cipta Kenangan Tersendiri!
27 Februari lepas, genap tiga tahun usia perkahwinan selebriti popular Indonesia, Syahrini dan Reino Barack. Walau sudah tiga tahun tapi kemewahan dan gilang-gemilang persandingan figura ini masih terpahat di ingatan peminat.
Mana tidaknya, resepsi Syahrini diadakan penuh eksklusif bukan hanya dari segi lokasi dan dekorasi dewan. Malah busana yang dipakai juga dihasilkan pereka fesyen bertaraf antarabangsa!
Sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan tahun ini, Syahrini dan suami tercinta menikmati makan malam penuh romantik di sebuah restoran di Singapura. Momen indah tersebut dikongsikan Syahrini di laman Instagramnya.
Melihat perkahwinan Syahrini, tak ubah seperti majlis perkahwinan diraja. Daripada busana persandingan, aksesori sehinggalah dekorasi dewan, Syahrini sangat memahami apa yang diinginkan untuk hari bersejarahnya agar tampak serba mewah, eksklusif dan unik.
Sesuai dengan kehendak dan impian majlis perkahwinan yang diidam-idamkan Syahrini selama ini. Bertuahnya dia!
Sah bergelar suami isteri pada tanggal 27 Februari 2019, pasangan romantis ini meraikan hari istimewa mereka bersama rakan artis, media dan peminat pada 3 Mei 2019. Difahamkan hanya 120 tetamu dijemput meraikan resepsi persandingan Syahrini dan Reino Barack.
Bukan saja terpegun dengan gaun kembang mewah ala Cinderella yang terletak cantik di tubuh langsing Syahrini, venue resepsi persandingan yang digelar sebagai Dinner Silaturahmi turut menjadi perhatian khalayak kerana diadakan di Four Seasons Hotel, Jakarta. Sebuah hotel berkelas antarabangsa yang terkenal di serata dunia kerana servis dan kualiti lima bintang!
Begitu juga gaun eksklusif yang digayakan Syahrini iaitu ilham pereka ternama Indonesia, Sebastian Gunawan yang turut pernah menghasilkan busana selebriti Hollywood, Halle Berry.
Syahrini juga selesa memilih rekaan Sebastian ketika pernikahannya di Jepun. Memetik laporan media Indonesia, Sebastian Gunawan atau lebih mesra disapa Seba terkejut ketika dihubungi adik Syahrini iaitu Rani pada awal Februari 2019 apabila diminta membuat gaun perkahwinan Syahrini dalam masa yang singkat iaitu empat hari sahaja.
Biarpun mempunyai jadual padat dan terpaksa ke luar negara seminggu sebelum pernikahan Syahrini, pereka fesyen profesional ini mampu merealisasikan gaun impian selebriti kesayangan Indonesia berkenaan dengan cukup mewah, anggun dan berjaya memukau pandangan tetamu yang hadir.
Tampil lebih eksklusif daripada rekaan persalinan yang pernah dihasilkan untuk Syahrini, gaun mewah kembang yang dipakai suri hati Reino tersebut merupakan gaun dari koleksi Sebastian Gunawan Sposa yang dicipta khusus untuk gaun perkahwinan.
Penampilan Syahrini pada resepsi Dinner Silaturahmi berkenaan lebih terserlah bak puteri kayangan dengan pemakaian mahkota dari pereka aksesori terkemuka, Rinaldy A. Yunardi yang dicipta khas semata-mata untuk majlis resepsi Syahrini di Jakarta!
Selain busana dan aksesori yang digayakan, dekorasi majlis juga tidak kurang hebatnya. Mengambil khidmat dekorasi perunding perkahwinan, Lotus Design, suasana di ruang dewan dihiasi dengan kelopak bunga teratai pelbagai saiz berwarna putih salju. Sepadan dengan penataan warna suci tersebut dari gerbang pintu masuk sehinggalah di atas singgahsana.
Untuk menghidupkan lagi efek mewah dan klasik, Lotus Design menyerikan ruang siling dewan dengan juraian kristal, bunga-bungaan berwarna putih dan lampu candelier. Ternyata, idea kreatif itu berjaya menyerlahkan suasana mewah dan tampak sempurna tatkala mempelai berarak masuk menuju pelaminan.
Pernah Buat ‘Biopsy’ Di Leher 4 Kali, DATIN EINA AZMAN Selamat Dibedah & Mohon Doa Kesembuhan!
Sekian lama tidak mengemaskini media sosial, akhirnya Datin Paduka Eina Azman membuka mulut mengenai tahap kesihatan diri kepada peminat setia. Dalam entri terbaharu Datin Paduka Eina di Instagram, selebriti cantik ini memuat naik gambar dirinya memakai persalinan hospital dengan branula di tangan dan kelihatan wajah Datin Paduka Eina yang letih.
Enggan terus membuatkan peminat berteka-teki dengan situasi yang dialami, isteri kepada Datuk Paduka Kaiser tersebut berkongsi sisi peribadi. “Salam semua. Alhamdulillah after 6 hours plus saya dah bangun. Ramai yang whatsapp and DM tanya saya kenapa tak ada update apa-apa sangat di IG.
Dan masih terlalu ramai yang nak tahu saya sakit apa. Lately ni saya kurang sihat. Saya dah pernah buat biopsy sebanyak 4 kali di leher dari tahun 2016 sehingga hari ini. Dan sakit saya masih tak hilang.
Hari ni saya berjaya buat surgery selepas 2 tahun sebab tempat biopsy yang saya pernah buat beberapa kali sebelum ini masih bengkak dan sakit. This is my second option dari Prince Court ke Gleneagles. Hopefully selepas surgery ni sakit saya akan hilang selamanya. Doakan saya.”
Sebelum ini nama Datin Paduka Eina pernah jadi bualan hangat warganet apabila didakwa memotong giliran pemberian vaksin pada 25 Mei lepas di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak.
Bagaimanapun pihak hospital terbabit tampil menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menjelaskan pemberian vaksin yang diberi kepada Datin Paduka Eina dan suami berdasarkan rujukan daripada doktor pakar disebabkan masalah kesihatan dan komorbid.
Datin Paduka Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman kini berusia 26 tahun dan bergelar isteri kepada usahawan Datuk Paduka Kaiser pada 31 Ogos 2014. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata kembar iaitu Arianna Aubrey dan Karl Kareef.
Moga Datin Paduka Eina segera sembuh dan kembali aktif mewarnai bidang seni serta dapat segera berkongsi video masakan beliau.
.
Kredit: Instagram Eina Azman