Gambar yang dimuatnaik Lisa Surihani di laman Instagram miliknya beberapa hari lalu bukan hanya menarik perhatian ramai bahkan mengundang pelbagai reaksi daripada peminat. Tenang memangku anak tersayang, Yusof Leonne yang ralit menghisap botol susu sambil dirinya tekun membaca Al-Quran nyata telah mencetus semangat kepada ramai wanita untuk membuat perkara sama. Mana tidaknya, dalam kesibukan seorang ibu melayan anak-anak dan menguruskan keluarga pun Lisa tetap mencari masa untuk mendalami kitab suci umat Islam ini.
Memandangkan sejak 18 Mac lalu rakyat Malaysia mempunyai ‘banyak masa’ di rumah kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak Covid-19, Lisa bijak memanfaatkan masa yang ada dengan perkara berfaedah seperti menghafaz Al-Quran sebagai ‘santapan’ minda dan rohaninya.
Di kala negara berdepan dengan situasi wabak yang membimbangkan ini, penghayatan terhadap agama sudah pasti menjadi satu amalan yang paling dituntut. Inilah masanya untuk umat Islam mengenang kekhilafan diri dan berubah menjadi insan yang lebih baik.
Tanpa berselindung mengenai kekurangan diri yang disifatkan masih ‘mentah’ dalam menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran, kegigihan isteri Yusry Abdul Halim ini memang patut dijadikan inspirasi. “#dudukrumahchallenge kerana bacaan ku tak sempurna. But my dear sisters (the khadijahs) and friends keep encouraging. Dia galakkan. “Daripada tak buat langsung, Lisa?” Moga istiqamah.
Dengan doa, Ya Allah, rahmatilah kami dengan Al-Quran, jadikanlah ia sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah, ingatlah kami pada apa yang terlupa, ajarkanlah apa yang tidak diketahui. Kurniakanlah kami dapat membacanya siang dan malam. Jadikan ia perisai kami, wahai Tuhan semesta alam.”
Sementara itu, Lisa turut menyertai kempen Malaysia Quran Time yang mula berlangsung pada 23 Mac lalu. Kempen berkenaan diadakan sehingga 31 Mac ini dan digalak dibaca di kediaman masing-masing memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan waktu ini.
Menerusi entri Lisa di Instagram, dia menzahirkan ucapan terima kasih kepada sahabatnya yang juga Pengasas PrettySuci, Tunku Kaiyisah.
Kata Lisa, “Thank you so much Kaisyah for this suggestion to us for reading the Quran together. QuranTime during Quarantine. And thank you so much sebab tak lokek kongsi what you’ve been learning in Sunnah classes as well. Sama-sama we learn.”
Pada 23 Mac lalu juga merupakan ulang tahun kelahiran Lisa yang ke-34. Lisa Surihani mendirikan rumah tangga bersama Yusry pada tanggal 23 Februari 2012. Hasil perkongsian hidup selama 8 tahun mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Yahaira Leanne yang berusia lima tahun dan Yusof Leonne berusia tiga tahun pada 23 April depan.