Tatkala seluruh negara diminta mengamalkan social distancing, rupanya masih ada minoriti pasangan sejenis yang susah berenggang. Kisah rumah tangga Puan S ini bukan disiarkan untuk membuka aib sesiapa, melainkan sebagai peringatan bahawa masih wujud sekelompok kaum Nabi Lut dan beratnya dugaan isteri mendepani suami songsang.
“Nama saya S, saya seorang akauntan serta ibu kepada dua cahaya mata”
Tujuan saya berkongsi cerita ini bukanlah mahu membuka pekung di dada, jauh sekali mahu memburuk-burukkan suami atau mendedahkan kekurangan dirinya pada orang lain. Tapi saya harap dengan perkongsian ini dapat membuka mata masyarakat tentang perlakuan di luar tabii manusia dan realiti ‘persahabatan’ lelaki yang sebenarnya.
Perkahwinan saya dan Syed, kini masuk tahun ke-8. Kami berkahwin kerana suka sama suka dan pada awal-awal dahulu, amat bahagia sekali. Setiap hari ibarat musim bulan madu. Usik mengusik dan saling ketawa. Saya benar-benar pernah bahagia… Bagi saya, dialah segala-galanya.
Masuk tahun ketiga bekerja saya dinaikkan pangkat. Pendapatan saya lebih stabil daripada Syed tapi saya tahu, suami adalah syurga isteri. Dengan niat mahu meringankan bebannya, saya ambil tugas membeli barang keperluan rumah kami, bayar ansuran apartmen dan bil-bil setiap bulan.
Anehnya gaji Syed semakin lama, semakin kurang. Sepertinya tidak mencukupi setiap bulan untuk menampung belanja lain. Bahagian yang patut dibayar terpaksa saya lunaskan. Kalau tidak, menimbunlah tunggakannya. Dari sebulan dua, melarat hingga berbulan-bulan. Saya redha berkorban demi keselesaan kami anak-beranak.
Bila ditanya ke mana gaji Syed, jawabnya tidak ada. Perniagaan merosot. Tiada jualan. Syarikat rugi dan macam-macam lagi. Kadang-kadang pasal duit, kami bergaduh besar. Jadi disebabkan malas bergaduh, maka saya hadam dan telan saja sikapnya.
Mula Berubah
Perubahan Syed tidak berlaku secara drastik. Dia mula suka ke gimnasium untuk membina badan sekitar tahun 2017. Ada masanya kawan-kawan gym suami datang lepak di rumah. Badan semua berotot dan sasa. Ada seorang dua yang lembut. Wajah putih bersih, bibir merah dan bercukur alis… macam pelakon Thailand!
Mereka suka datang sewaktu ketiadaan saya dan anak-anak. Bila balik rumah, saya tahu mereka datang bila sinki ada pinggan-pinggan kotor. Habuk dan puntung rokok merata. Syed sekarang sejak diberi unpaid leave oleh majikannya, selalu merungut stres. Tak ada duit. Jadi untuk hilangkan bosan, dia ajak mereka ke rumah.
Oh yea, waktu itu sebenarnya memang mencurigakan. Syed selalu main telefon, senyum seorang diri dan paling ganjil, syok ambil selfie! Bila ditegur, dia ajak pula saya bergambar katanya untuk di post ke Facebook. Sebagai isteri, saya masa tu langsung tiada syak wasangka tapi maaf cakap, sudah dua tiga bulan juga kami tidak berhubungan intim.
Kantoi Bercinta
Dua hari sebelum arahan PKP dikuat kuasakan, Allah nak tunjuk sikap sebenar Syed. Kebetulan hari tu saya kurang sihat dan dapat cuti separuh hari, jadi saya pulang dengan tujuan mahu berehat. Masa itu hanya bantal yang terbayang. Anak-anak sengaja saya biarkan di taska dulu kerana tidak larat.
Tapi sampai saja di apartmen, saya lihat pintu tak berkunci dengan beberapa pasang selipar lelaki di luar. Dengan lagak terhendap-hendap, saya berjingkit masuk ke dalam. Ya Allah! Tiba-tiba tegap di depan mata, seorang lelaki yang cukup saya kenali, iaitu suami saya sedang bersama seorang lelaki lain berasmaradana di ruang tamu kami.
Sempat saya beristighfar panjang sebelum dunia jadi gelap segelap-gelapnya. Saya terus pengsan. Entah berapa lama begitu, buka mata saja saya sudah terbujur di atas sofa. Ayat pertama yang saya dengar adalah ucapan maaf. Berkali-kali Syed mohon maaf di atas dosa yang dilakukan tadi.
Jijiknya saya melihat dia… memikirkan hubungan maksiatnya itu dan entah beribu kali telah dibuat sewaktu ketiadaan saya ke pejabat. Sungguh, saya tak sangka sampai begitu sekali. Tidak pernah terlintas dia bernafsu pada kaum sejenis, pada kawan-kawan sado yang selalu datang ke rumah. Ah, saya benci dan meluat melihat mukanya!
Petang itu saya menggeletar seluruh badan. Saya berlalu keluar tanpa sepatah kata apabila teringatkan anak-anak yang menunggu di taska. Hati saya hancur. Berkecai-kecai luruh ke hujung kaki. Tapi hendak menangis pun tak guna. Saya hilang respek pada dia, lebih teruk lagi kerana dia curang dengan kaum sejenisnya.
Membisu
Sehari selepas peristiwa itu, negara diarahkan Perintah Kawalan Pergerakan. Maka saya hanya mampu stay at home bersama anak-anak dan Syed walaupun meronta-ronta hati ini mahu pulang ke rumah ibu bapa saya. Syed ada cuba-cuba memujuk dan minta saya lupakan hal tersebut. Dia janji tak buat lagi.
Sebenarnya saya dah tawar hati dengan Syed. Terkenang betapa pengorbanan selama ini, untuk dia, hanyalah sia-sia belaka. Tapi kerana simpati, saya berusaha memaafkan perbuatan suami dengan sumpah, “Akan gugur satu talak ke atas saya jika dia mengulangi maksiat keji itu”. Syed setuju.
Kini sepanjang PKP di rumah, kami lebih banyak membisu daripada bercakap. Anak-anak pun hairan, kenapa Mama asyik berkurung dalam bilik. Saya jadi begitu setiap kali nampak Syed capai telefonnya. Saya ragu-ragu jika itu semua cuma alasan untuk berhubung kekasih gelapnya.
Entahlah, saya makin bingung di rumah. Ingatkan kalau PKP berakhir dapatlah bawa masalah ini ke pejabat agama. Rancangan saya supaya Syed diberi kaunseling dan kemudian kami sama-sama dekatkan diri dengan Tuhan. Tapi nampaknya PKP dilanjutkan! Saya buntu sekarang. Doakanlah agar saya kuat dan bertemu penyelesaian terbaik untuk masalah kami ya!
This website uses cookies.