Gaya Hidup

“Badan Saya Rasa Ringan Sekarang,” Turun Hampir 15Kg, Jasmin Hamid Akui Jalani Bariatrik Demi Nak Sihat!

Memang jelas nampak makin kurus aktres ini. Kata Jasmin Hamid, selepas menjalani pembedahan bariatrik kira-kira empat bulan lepas berat badannya kini turun hampir 15 kilogram. Bukan saja kelihatan lebih ceria dan menarik malah pelakon Badai Semalam ini juga tampil sihat bertenaga.

Berkongsi perkembangan terkini, Jasmin atau nama sebenarnya Jasmiah Abdul Hamid tanpa berselindung mengakui melakukan prosedur pintasan perut berkenaan demi menjaga kesihatan.

Apatah lagi pada September tahun lalu dia pernah dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan kerana didiagnosis ada cyst dan perubahan hormon dalam badan hingga terjadi pendarahan rahim.

Rentetan masalah kesihatan itu juga menyebabkan dia berdepan masalah berat badan. Jasmin juga pernah dimasukkan ke CCU pada Mei 2022 kerana mengalami serangan jantung.

Artikel https://www.nona.my/sembunyi-sakit-sedih-fizikal-dikutuk-jasmin-hamid-dedah-ada-cyst-dibedah/

“Syukur alhamdulillah. Badan saya rasa bertambah ringan sekarang. Berat badan saya dah turun hampir 15 kg. Ramai yang tegur keadaan badan saya sekarang yang makin slim.

Cuma ada juga cakap-cakap yang kelakar, tanya saya sakit kencing manis ke? Kenapa kurus?

Laa kan saya buat Bariatic Surgery dengan Dr Mustafa untuk turunkan berat badan saya yang dah terlebih. Sekarang tumit saya dah tak sakit lagi, alhamdulillah.

Makin senang masa solat sebab badan dah kurang berat. Apa pun jangan risau Dr Mustafa akan pantau berat badan yang ideal untuk ketinggian saya supaya nampak kurus sihat. Saya dah boleh pakai baju-baju lama saya balik.”

Jasmin Hamid yang meniti usia 50 tahun menjalani pembedahan Sleeve Bariatrik dengan Dr Mustafa Mohamed Taher Al-Khafaji di Cengild Medical Centre pada Februari lepas. Dr Mustafa ialah doktor bariatrik terbaik di Asia Pasifik.

“Selama ni saya dengar cerita orang je. Itulah inilah tapi bila dah buat sendiri, baru tahu apa sebenarnya problem yang ada dalam perut kita. Macam kes saya pula, saya ada lubang besar dekat ulu hati saya.

Patutlah selama ni kadang-kadang saya rasa senak perut. Ingatkan angin tapi rupanya perut dah masuk ke ulu hati dan Dr Mustafa dah settlekan problem saya tu. Alhamdulillah.”

Khabarnya Jasmin terpanggil untuk melakukan prosedur tersebut dengan Dr Mustafa selepas diperkenal oleh rakan artis, Zarina Zainuddin.

Semoga aktres versatil ini dikurniakan kesihatan yang baik dan menjalani kehidupan lebih bermakna dan berjaya pada masa akan datang.

Jasmin Hamid sah bergelar isteri kepada Nazmir Abdul Rahim yang juga bekas pengurusnya pada 19 November 2021.

Share
Published by
Suzi