Pasangan suami isteri iaitu Dr. Hafizah Md Salleh dan Dr. Ahmad Fahmi Dato’ Mohamad Bustaman merupakan pakar dalam bidang kedoktoran masing-masing.
Biarpun berbeza kepakaran, namun mereka menggalas amanah yang sama iaitu mendidik masyarakat agar menghargai kesihatan.
Ads
Kedua-duanya berusia 37 tahun. Hasil perkahwinan selama 13 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia 12, 9 dan 7 tahun.
Dr. Hafizah merupakan doktor perubatan keluarga di sebuah hospital kerajaan. Anak jati Perlis ini pernah menuntut di Maktab Rendah Sains MARA Taiping seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia (USM).
Dr. Hafizah juga baharu saja menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM). Sebagai doktor perubatan keluarga, beliau bertanggungjawab merawat pesakit dari pelbagai peringkat usia bermula bayi sehinggalah warga emas di samping memberi konsultasi kesihatan.
Sementara Dr. Fahmi pula dilahirkan di Kuantan, Pahang dan kini bertugas sebagai Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial. Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun ini merupakan graduan Universiti Sains Malaysia, University of Hong Kong dan Royal College of Surgeons Edinburgh Scotland.
Sebagai Pakar Bedah Mulut, beliau bertanggungjawab menjalankan pembedahan-pembedahan minor dan major di bahagian mulut dan muka. Bidang ini berbeza dengan pembedahan plastik kerana ia melibatkan tulang. Manakala pembedahan plastik melibatkan kulit serta otot.
MEDIA SOSIAL
Bagi pasangan ini, kerjaya doktor merupakan satu kelebihan buat mereka kerana mudah untuk saling memahami dan bertoleransi dalam segala hal. Apa yang penting ialah disiplin dan bijak membahagi masa.
“Jangan campur adukkan urusan kerja ketika di rumah. Dahulu saya sangat aktif dalam media sosial. Tanpa sedar ia mengambil banyak masa yang sepatutnya saya beri buat diri sendiri. Kini saya lebihkan masa untuk keluarga dan peribadi seperti bersukan serta membaca agar setiap masa saya dapat memperbaiki diri menjadi lebih baik.
Tidak dinafikan kini ramai yang popular dan berpengaruh di media sosial yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk doktor.
Hakikatnya apa yang dipaparkan di media sosial itu bergantung kepada niat kita. Jika anda seorang doktor dan hanya berniat untuk meraih populariti dan likes, tanpa sedar anda sebenarnya telah memalukan profesion kedoktoran yang merupakan satu tugas murni.
Tidak perlu menunjuk-nunjuk apa yang dilakukan kepada pesakit setiap hari semata-mata mahu mendapatkan populariti kerana ia tidak akan kekal lama. Lakukan tugas dengan ikhlas dan jujur. Populariti kita mungkin bukan di media sosial, cukup hanya di hati mereka yang telah kita bantu,” luah Dr. Fahmi.
Ads
Dr. Hafizah pula berpendapat, media sosial boleh dijadikan platform bagi mendidik masyarakat tentang kesihatan. Tidak salah untuk menjadi popular di media sosial asalkan apa yang dipamerkan dan disampaikan adalah benar. Tidak semuanya menunjukkan realiti sebenar. Maka sebab itulah Dr. Hafizah kurang aktif di media sosial.
“Sebagai isteri dan ibu yang bergelar doktor, jatuh bangun dalam kerjaya saya lebih kepada turun naik emosi. Ada ketikanya semangat saya merudum dengan beban kerja, tugasan belajar dan urusan keluarga.
Kadang-kadang hampir putus asa. Doa insan-insan sekeliling terutama keluarga menjadi pendorong buat saya bagi mengharungi segala cabaran.
Suami seorang yang istimewa kerana beliaulah pelengkap untuk setiap kelebihan dan kekurangan saya. Suami juga seorang bapa yang baik.
Sebagai isteri tipulah kalau saya kata tidak cemburu. Paling penting ada tempat istimewa buat saya dalam hatinya. Itu sudah cukup buat saya.
Ads
Untuk berjaya dalam karier jangan banyak mengeluh. Banyakkan bersabar dan bebas daripada hal negatif. Sentiasa berbuat baik dengan semua orang.
Walaupun ada pembantu rumah, tugas sebagai ibu dan isteri tetap diutamakan. Jika tidak sibuk, saya ambil peluang untuk memasak demi mengembirakan anak-anak dan suami,” kongsi Dr. Hafizah.
KANSER PAYUDARA
Menurut Dr. Hafizah, kesedaran tentang kanser payudara sangat penting kerana rawatan segera boleh diberikan jika kanser ini berjaya dikesan peringkat awal.
“Banyak saringan kanser payudara menerusi ujian mamogram ditawarkan di klinik kerajaan serta swasta. Wanita berusia 50 tahun ke atas atau sesiapa sahaja yang mempunyai risiko kanser digalakkan membuat saringan kanser payudara bagi mengesan kanser di peringkat awal.
Pengesanan dan rawatan awal memastikan rawatan terbaik dapat diberikan.
Kini ramai bekas pesakit kanser yang berjaya memberi inspirasi buat kaum wanita tentang pengesanan awal di samping berkongsi kehidupan selepas menjalani rawatan kanser.
Malang sekali bagi mereka yang masih menolak rawatan kanser payudara di hospital sebaliknya memilih rawatan alternatif yang kita tahu belum tentu selamat. Wahai wanita, sayangilah payudara anda,” jelas Dr. Hafizah. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan calang-calang pemimpin, orangnya cecah usia 63 dan suka bertudung bawal, ayuh kenali sosok wanita pertama dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur ini.
Pengalaman luas terhadap isu pembangunan bandar menjadikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkemampuan untuk memacu Kuala Lumpur menjadi bandar raya terbaik.
Pelantikan Dr Maimunah sebagai Datuk Bandar DBKL berkuatkuasa bermula Khamis iaitu 15 Ogos 2024 bagi menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.
Ini sekaligus menjadikan beliau wanita pertama yang dilantik memegang jawatan tertinggi DBKL tersebut.
Pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
LATAR BELAKANG
Dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 26 Ogos 1961, Dr Maimunah kini berusia 63 tahun dan sering tampil dengan gaya klasik – berbaju kurung dan bertudung bawal ketika bekerja.
Dr Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.
Selain itu, Dr Maimunah juga telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Antaranya pengiktirafan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom, Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG) dan Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.
Beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Instagram @maimunahsharif
Instagram @maimunahsharif
Instagram @maimunahsharif
Instagram @maimunahsharif
Instagram @maimunahsharif
Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya selama 6 tahun dan merupakan wanita Asia pertama yang memegang jawatan tersebut.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).
Dengan pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti, beliau adalah individu yang bertanggungjawab mengembalikan kedudukan UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan.
Seorang yang tegas dan lantang namun dalam masa yang sama cukup peramah, saksikan video Dr Maimunah ini…
“Apa yang ibu bapa ada dan mampu berikan itu hanyalah bonus. Ilmu boleh jana pendapatan. Tetapi pendapatan tak semestinya boleh menjana ilmu. Biar bermula dari bawah agar merasa susah senang berniaga.”
Cukup mendalam pesanan usahawan hebat, Dato’ Hajah Sharifah Shareen Almashoor atau Dato’ Shareen buat 2 anak perempuannya. Satu ketika dulu nama usahawan jelita berusia 42 tahun ini pernah tular di media sosial.
Beliau disanjung sebagai ikon usahawan yang rajin berbagi rezeki. Sehingga kini beliau masih aktif melakukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan antaranya misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Pahang.
Dato’ Shareen merupakan pemilik Hotel The Lov Penang.
Walaupun industri hotel kini terjejas kerana pandemik COVID-19 namun beliau mengambil inisiatif lain dengan menjadikan hotel tersebut sebagai ruang acara bagi majlis perkahwinan untuk akad nikah serta majlis harijadi.
Selain itu, Dato’ Shareen turut mengendalikan bisnes keluarga iaitu ‘Saudagar Arab Malaysia’ yang hampir 40 tahun beroperasi secara tradisional.
Namun bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020, Dato’ Shareen menukarkannya kepada online.
Hasilnya, jualan kurma ketika itu melonjak dan tertinggi dalam sejarah 40 tahun pengimportan kurma dan makanan sunnah Timur Tengah oleh Saudagar Arab Malaysia.
KEUNTUNGAN 5 ANGKA KETIKA PKP
Beliau pernah berkongsi di mana dua anak perempuannya, Puteri Balqis (19) dan Puteri Zara (16) berjaya meraih keuntungan 5 angka dalam online business mereka yang mula dilakukan ketika fasa PKP dahulu.
Menurut Dato’ Shareen, ketika itu beliau menggalakkan anak-anaknya untuk mula membuat online business. Mereka telah menjual baju raya dan biskut.
DEDAHKAN ANAK DENGAN BISNES SEJAK AWAL
“Sebenarnya sejak mereka di bangku sekolah lagi saya dah dedahkan mereka dengan aktiviti bisnes.
“Saya sering membawa mereka ke kelas-kelas bisnes yang saya ikuti contohnya online class. Walaupun ketika itu mereka tidak faham sangat sebab masih sekolah rendah.
“Saya juga tak pernah kisah kalau mereka tak gunakan ilmu itu. Sebab saya yakin walaupun mereka tidak menggunakannya waktu itu tetapi sekurang-kurangnya ilmu itu dah ada dalam diri mereka.
“Tahap keyakinan pun bertambah. Cuma belum diguna pakai saja lagi.
“Selain itu, setiap kelas yang saya kendalikan untuk agen-agen ataupun bila saya dapat jemputan untuk buat talk, saya akan bawa mereka bersama. Memang berbeza zaman mereka dengan zaman kita dulu.
“Walaupun ilmu mereka sedikit tetapi mereka lahir dalam zaman teknologi digital. Soalan yang selalu saya tanya kepada mereka ialah apa peluang perniagaan yang mereka nampak sekarang. Kemudian saya akan bantu dengan menunjukkan jalan kepada mereka. Caranya begini:
Saya akan minta mereka buat dahulu swot analysis.
Cari syarikat mana untuk mereka jadikan role model atau benchmark.
Apa stail perniagaan pilihan mereka.
Berapa target pendapatan mereka untuk 1 tahun, 3 tahun dan 5 tahun. (ini soalan paling sukar untuk mereka jawab)
“Untuk bisnes ‘Zaqis Cookies’ mereka akan mula dengan modal sendiri hasil keuntungan berniaga sebelum ini. Tanpa modal daripada saya pun mereka mampu bergerak sendiri, alhamdulillah.
“Insya-Allah dengan wang terkumpul mereka setakat ini sudah boleh membiayai kos sambung belajar mereka di kolej.
“Walaupun insurance untuk pembelajaran mereka sudah ada tetapi saya tetap mendidik anak-anak agar mendapatkan sendiri apa yang mereka mahu.
“Apa yang ibu bapa ada dan mampu berikan itu hanyalah bonus. Ilmu boleh jana pendapatan. Tetapi pendapatan tak semestinya boleh menjana ilmu. Maka sebagai ibu, saya sokong apa yang mereka minat.
“Saya juga sentiasa berkongsi tentang baik buruk perniagaan. Ini kerana ilmu amat penting dalam dunia perniagaan hari ini. Biar mereka mula dari bawah, rasa susah senang berniaga.
“Pesanan saya buat mereka, berniaga ikut peredaran zaman dan kesesuaian waktu.
“Bukan untuk buat duit semata-mata sebaliknya cari pengalaman dan faham susah senang mencari rezeki. Hidup ini perlu berpijak di bumi yang nyata.”
Kredit Foto: Instagram @datoshareenalmashoor & @_.balqis._
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Pada mulanya memang susah hendak menguasai bahasa Jepun kerana asyik terfikir ‘terpaksa’ belajar disebabkan ingin melanjutkan pelajaran ke sana (Jepun) tetapi akhirnya ia menjadi seronok kerana kita mula faham, fasih dan mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa mereka ketika berada di sana.” Itulah reaksi Aunee Azrina Zulkifli, 28, ketika ditanya mengenai pengalamannya mempelajari bahasa ketiga iaitu bahasa Jepun.
Mengakui tidak rugi sekiranya boleh berkomunikasi selain daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, Aunee Azrina memberitahu ia memberi satu kelebihan kepada diri sendiri pada masa hadapan.
“Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara yang unik kerana selain terdiri daripada pelbagai bangsa, rakyatnya juga boleh bertutur lebih daripada satu bahasa selain bahasa ibunda, bahasa Melayu. Pastinya penguasaan bahasa ketiga memberi kelebihan, tambahan hari ini dengan pelbagai syarikat luar negara membuka perniagaan di sini ia memberi peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan.
“Begitupun, pemilihan bahasa perlulah betul kerana tidak semua bahasa sesuai dan akan digunakan dalam komunikasi harian,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini lagi.
Bagaimanapun jelas Aunee Azrina, pemilihan bahasa ketiga perlulah dibuat dengan betul agar ia tidak merugikan dan membuang masa.
Juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Korea dan Mandarin, Aunee Azrina yang kini bekerja dengan salah sebuah syarikat luar negara di ibu kota berkata, dia bertuah kerana pekerjaannya hari ini memerlukannya berkomunikasi dalam bahasa Jepun.
Ditugaskan di Bahagian Teknologi Maklumat (it), Aunee Azrina yang melanjutkan pelajaran di negara matahari terbit selama empat tahun memberitahu, untuk mendalami bahasa ketiga, selain minat, keyakinan diri juga penting.
Ini kerana katanya, jika kedua-dua kriteria tersebut tiada, kita akan mengalami masalah ketika sesi pembelajaran berlangsung.
“Sebenarnya dalam kehidupan harian, apa yang dilakukan adalah kerana minat dan tanpanya segala-galanya tidak akan berjalan dengan lancar.
“Begitu juga apabila hendak mempelajari bahasa ketiga, dengan minat dan keyakinan diri, menjadikan kita lebih fokus dan mudah memahami.
“Pembelajaran bahasa ketiga akan menjadi lebih seronok sekiranya kita mempraktikkan atau menggunakan bahasa tersebut setiap hari dalam komunikasi harian dan sekiranya tidak, apa yang dipelajari akan ‘membazir’ dan sia-sia kerana tanpa latihan kita akan lupa,” katanya dengan lebih lanjut.
Warna Rasa Ramadan: Bufet iftar istimewa di Royale Chulan Hotels & Resorts. Bulan Ramadan bakal tiba, membawa bersamanya semangat kebersamaan dan kemeriahan iftar yang...