Pasangan suami isteri iaitu Dr. Hafizah Md Salleh dan Dr. Ahmad Fahmi Dato’ Mohamad Bustaman merupakan pakar dalam bidang kedoktoran masing-masing.
Biarpun berbeza kepakaran, namun mereka menggalas amanah yang sama iaitu mendidik masyarakat agar menghargai kesihatan.
Kedua-duanya berusia 37 tahun. Hasil perkahwinan selama 13 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia 12, 9 dan 7 tahun.
Dr. Hafizah merupakan doktor perubatan keluarga di sebuah hospital kerajaan. Anak jati Perlis ini pernah menuntut di Maktab Rendah Sains MARA Taiping seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia (USM).
Dr. Hafizah juga baharu saja menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM). Sebagai doktor perubatan keluarga, beliau bertanggungjawab merawat pesakit dari pelbagai peringkat usia bermula bayi sehinggalah warga emas di samping memberi konsultasi kesihatan.
Sementara Dr. Fahmi pula dilahirkan di Kuantan, Pahang dan kini bertugas sebagai Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial. Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun ini merupakan graduan Universiti Sains Malaysia, University of Hong Kong dan Royal College of Surgeons Edinburgh Scotland.
Sebagai Pakar Bedah Mulut, beliau bertanggungjawab menjalankan pembedahan-pembedahan minor dan major di bahagian mulut dan muka. Bidang ini berbeza dengan pembedahan plastik kerana ia melibatkan tulang. Manakala pembedahan plastik melibatkan kulit serta otot.
MEDIA SOSIAL
Bagi pasangan ini, kerjaya doktor merupakan satu kelebihan buat mereka kerana mudah untuk saling memahami dan bertoleransi dalam segala hal. Apa yang penting ialah disiplin dan bijak membahagi masa.
“Jangan campur adukkan urusan kerja ketika di rumah. Dahulu saya sangat aktif dalam media sosial. Tanpa sedar ia mengambil banyak masa yang sepatutnya saya beri buat diri sendiri. Kini saya lebihkan masa untuk keluarga dan peribadi seperti bersukan serta membaca agar setiap masa saya dapat memperbaiki diri menjadi lebih baik.
Tidak dinafikan kini ramai yang popular dan berpengaruh di media sosial yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk doktor.
Hakikatnya apa yang dipaparkan di media sosial itu bergantung kepada niat kita. Jika anda seorang doktor dan hanya berniat untuk meraih populariti dan likes, tanpa sedar anda sebenarnya telah memalukan profesion kedoktoran yang merupakan satu tugas murni.
Tidak perlu menunjuk-nunjuk apa yang dilakukan kepada pesakit setiap hari semata-mata mahu mendapatkan populariti kerana ia tidak akan kekal lama. Lakukan tugas dengan ikhlas dan jujur. Populariti kita mungkin bukan di media sosial, cukup hanya di hati mereka yang telah kita bantu,” luah Dr. Fahmi.
Dr. Hafizah pula berpendapat, media sosial boleh dijadikan platform bagi mendidik masyarakat tentang kesihatan. Tidak salah untuk menjadi popular di media sosial asalkan apa yang dipamerkan dan disampaikan adalah benar. Tidak semuanya menunjukkan realiti sebenar. Maka sebab itulah Dr. Hafizah kurang aktif di media sosial.
“Sebagai isteri dan ibu yang bergelar doktor, jatuh bangun dalam kerjaya saya lebih kepada turun naik emosi. Ada ketikanya semangat saya merudum dengan beban kerja, tugasan belajar dan urusan keluarga.
Kadang-kadang hampir putus asa. Doa insan-insan sekeliling terutama keluarga menjadi pendorong buat saya bagi mengharungi segala cabaran.
Suami seorang yang istimewa kerana beliaulah pelengkap untuk setiap kelebihan dan kekurangan saya. Suami juga seorang bapa yang baik.
Sebagai isteri tipulah kalau saya kata tidak cemburu. Paling penting ada tempat istimewa buat saya dalam hatinya. Itu sudah cukup buat saya.
Untuk berjaya dalam karier jangan banyak mengeluh. Banyakkan bersabar dan bebas daripada hal negatif. Sentiasa berbuat baik dengan semua orang.
Walaupun ada pembantu rumah, tugas sebagai ibu dan isteri tetap diutamakan. Jika tidak sibuk, saya ambil peluang untuk memasak demi mengembirakan anak-anak dan suami,” kongsi Dr. Hafizah.
KANSER PAYUDARA
Menurut Dr. Hafizah, kesedaran tentang kanser payudara sangat penting kerana rawatan segera boleh diberikan jika kanser ini berjaya dikesan peringkat awal.
“Banyak saringan kanser payudara menerusi ujian mamogram ditawarkan di klinik kerajaan serta swasta. Wanita berusia 50 tahun ke atas atau sesiapa sahaja yang mempunyai risiko kanser digalakkan membuat saringan kanser payudara bagi mengesan kanser di peringkat awal.
Pengesanan dan rawatan awal memastikan rawatan terbaik dapat diberikan.
Kini ramai bekas pesakit kanser yang berjaya memberi inspirasi buat kaum wanita tentang pengesanan awal di samping berkongsi kehidupan selepas menjalani rawatan kanser.
Malang sekali bagi mereka yang masih menolak rawatan kanser payudara di hospital sebaliknya memilih rawatan alternatif yang kita tahu belum tentu selamat. Wahai wanita, sayangilah payudara anda,” jelas Dr. Hafizah. Amy Mohd
This website uses cookies.