Menggalas gelaran sebagai individu berpengaruh atau ‘Very Important Person’ (VIP) bukannya mudah. Ia satu kurniaan daripada Allah SWT yang sebenarnya menuntut tanggungjawab besar sebagai seorang khalifah di muka bumi ini.
Bukannya terlalu taksub mahukan kemasyhuran serta menunjukkan kemewahan di dunia yang pasti tidak boleh dibawa ke sana kelak. Yang tinggal hanyalah amal jariah yang dimanfaatkan dari kurniaan rezeki itu buat insan-insan yang berhak.
Sedarlah bahawa segala pangkat serta kemasyhuran itu tidak akan ke mana jika di akhirat sana kita bukan siapa-siapa di sisi Allah SWT. Apa yang paling penting ialah menjadi khalifah yang boleh memberi manfaat di muka bumi ini. Barulah tinggi kedudukan kita sebagai seorang yang memegang gelaran ‘Very Important Person’
di sisi Allah SWT.WANITA BERTARAF VIP
Bagaimana menjadi seorang wanita bertaraf VIP yang boleh memberi manfaat serta inspirasi? Pertamanya ialah kita mesti mengetahui tujuan. Tidak semua orang dikurniakan status VIP oleh Allah SWT. Ditambah pula dengan kebijaksanaan mahupun pengaruh, kita mesti yakin bahawa itu adalah satu anugerah daripada Allah SWT.
Jangan kata kita yang paling pandai sebaliknya itu adalah anugerah dan segala nikmat yang diberikan tujuannya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan cara memberikan manfaat kepada ummah.
Tiada gunanya seseorang itu bijak tetapi tidak berkongsi ilmu. Tiada gunanya seseorang itu kaya kalau tidak bersedekah. Tiada gunanya seseorang itu kalau berpengaruh tetapi tidak membantu insan-insan yang memerlukan. Begitulah caranya untuk memberikan manfaat.
Kedua ialah tahu siapa yang memberi, kenapa diberi dan merasakan kita sentiasa dilihat oleh Allah SWT. Kita akan disoal atas segala nikmat yang Allah SWT berikan sama ada ia digunakan untuk mendekatkan atau menjauhkan dari Allah SWT.
CABARAN
Apabila bergelar VIP seseorang itu pastinya tidak akan lari daripada cabaran mahupun halangan yang bukan sedikit. Pertamanya ialah cabaran dalam berumah tangga. Bagaimana hendak menjaga hati suami kita. Sekiranya suami tidak mendapat taraf yang sama dengan kita, haruslah pandai memainkan peranan semasa di medan perjuangan kita.
Contohnya jika kita seorang doktor mahupun pegawai atasan, apabila di pejabat kita adalah seseorang yang berstatus besar. Tetapi jika pulang ke rumah kita mestilah kembali kepada fitrah asal iaitu menjadi wanita biasa, seorang isteri yang taat, tawaduk, menghormati suami, mencintai suami serta melakukan segala aktiviti untuk mendapatkan reda suami dengan tujuan mendapat keredaan Allah SWT.
Kedua, jika seseorang itu bergelap VIP yang berpengaruh dan terkenal kadangkala masalahnya ialah keluarga. Contohnya, kalau berjalan-jalan bersama keluarga kadang-kadang ada peminat yang hendak berjumpa dan bergambar. Maklumlah insan terkenal. Kadang-kadang masa bersama keluarga juga terganggu. Namun kalau keluarga kita faham, boleh.
Ketiga ialah waktu bersama saudara mara terdekat. Contohnya jika ada jemputan perkahwinan yang kadang-kadang susah untuk kita hadir mungkin akan menimbulkan isu di mana orang akan menganggap kita bangga diri dan sebagainya. Sedangkan kita terlalu sibuk dengan urusan kerja dan inilah cabarannya apabila bergelar seorang yang berpengaruh.
TIDAK TERUS HANYUT
Kita mesti ingat, kalau kita VIP di dunia, kita mengharapkan menjadi VIP di akhirat. Sebab ada golongan manusia yang terkenal di bumi namun tidak terkenal di langit. Ada orang yang terkenal di langit namun tidak terkenal di bumi.
Apa yang kita mahukan ialah terkenal di langit sebagai ahli ibadah yang taat, khalifah yang baik dan terkenal di bumi sebagai seorang khalifah yang memberikan manfaat. Dan paling kita tidak inginkan ialah bumi dan langit pun tidak kenal siapa kita. AMY MOHD
This website uses cookies.