Hujung tahun lalu, pelakon cantik ini telah mengambil keputusan untuk berkahwin dengan suaminya, A’dale Adham Ayahudin. Sebelum ini, Dayana Roza juga telah berkongsi berita gembira tentang kehamilannya. Ramai yang medoakan agar kesihatan wanita cantik ini dan bayinya berada dalam keadaan baik.
Dalam diam rupanya Dayana atau nama sebenar, Nur Dayana Kamsun Baharin telah selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 20 Julai lalu yang juga jatuh pada sambutan Aidiladha.
Bayi comel yang diberi nama Astrid Raheeya itu merupakan penyeri hidup pasangan sama cantik sama padan ini. Selepas lebih sebulan melahirkan anak sulungnya baharu pelakon ini tampil memaklumkan bahawa bayinya lahir tidak cukup bulan atau pramatang.
Menurut wanita yang mirip selebriti Scha AlYahya ini, sepatutnya melahirkan anaknya bulan depan. Namun sudah rezeki, bayi comel ini lahir lebih awal daripada yang sepatutnya.
“Alhamdulillah keadaan serta kesihatan saya dan anak semuanya okey. Anak sulung saya dilahirkan dengan berat 2.4 kilogram jam 11.00 malam di sebuah hospital swasta di ibu kota.
Keadaan hingga saat ini semua terkawal. Cuma ikutkan perihal lahir tak cukup bulan ini sudah jadi perkara biasa dalam hidup keluarga saya.
“Saya sendiri lahir tak cukup bulan. Malah adik saya pun mengalami situasi sama seperti saya dan anak. Jadi saya rasa tak pelik. Cuma syukur tak ada komplikasi apa apa dekat anak saya,” katanya kepada BH Online.
Lebih melucukan, sebelah siang sebelum melahirkan anaknya, Dayana mengakui begitu rancak menikmati hidangan makanan raya.
“Saya bedal macam macam termasuk lemang, rendang dan sebagainya. Sebelah petang sebelum dimasukkan ke hospital, saya sebenarnya mengalami pendarahan. Tapi tidaklah teruk sangat.
“Hinggalah membawa ke malam saya selamat melahirkan anak. Takut juga sebab saya lahir tak cukup bulan bimbang apa apa terjadi. Tapi semua baik baik saja. Seminggu juga saya bermalam di hospital,” katanya lagi.
Pelakon yang digilap bakat menerusi program realiti, Anak Wayang itu sempat berkongsi cerita yang emosinya sendiri tak stabil ketika hamil.
“Mujur juga emosi itu tak terbawa bawa lepas saya melahirkan anak. Masa berbadan dua, saya akui agak stres. Tak pasti apakah ia ada kaitan dengan situasi semasa COVID-19 atau perkara lain.
“Saya mula fikir bukan bukan ketika itu. Sekarang saya nak berehat betul betul dan beri tumpuan penuh dekat anak. Harap suami tak cemburu pula,” selorohnya.
Kata Dayana lagi, ketika hamil, dia juga mula mengamalkan pengambilan minuman susu kambing selain makanan tambahan lain.
“Malah hingga sekarang saya terus amalkan rutin minum susu kambing dan makanan tambahan itu. Lagipun saya menyusu badan dan perlu banyak tenaga serta khasiat untuk diri sendiri serta anak,” katanya.
Ditanya mengenai nama anak yang dipilih, ia adalah keputusan bersama suaminya.
“Astrid itu kalau dicari maksudnya di internet membawa maksud keindahan dan kekuatan. Raheeya pula diambil daripada nama arwah ibu suami saya.
“Cuma ejaan asal arwah ibu mentua dieja Rahiya. Tapi saya ubah ejaannya jadi Raheeya dan membawa maksud seperti setia serta penyayang,” katanya.