Bahagia Bergelar Isteri Dr Ahmad Idham Selama 22 Tahun, AMY AZIZ Kongsi Keistimewaan Suami

Baru-baru ini pengarah, penerbit filem dan pelakon, Dr Ahmad Idham telah dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Luar Negeri. Sebelum ini beliau bergelar Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Dr Ahmad Idham yang memulakan kariernya sebagai pelakon dan popular dengan drama bersiri ‘Cinta Antara Benua’ serta ‘Cinderella’ kini bahagia bersama keluarga dan dikurniakan empat cahaya mata.

Keluarga bahagia Dr Ahmad Idham dan Amy Aziz.
Dr Ahmad Idham kini bergelar Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Luar Negeri.

Isteri tercintanya, Amy Aziz sentiasa menjadi tulang belakang di saat susah mahupun senang. Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada tahun 1999 dan antara pasangan yang jarang dilanda gosip rumahtangga. Berikut perkongsian Amy Aziz kepada Nona bagaimana dia menjaga kebahagiaan rumahtangga selama 22 tahun.

Empat cahayamata kesayangan Dr Ahmad Idham dan Amy Aziz.

“Bila berkahwin dengan seorang selebriti, saya perlu bersedia dengan segala dugaan dalam perkahwinan. Kami amalkan toleransi dan tak cepat melatah jika ada sebarang gosip. Alhamdullilah kami mampu harunginya bersama. Bohonglah kalau kata tak pernah bergaduh, yang penting jangan pendam dalam hati.

Suami seorang simple man dan sentiasa tenang dalam menangani masalah. Saya pula jenis yang tak suka pendam. Saya akan luah semuanya baru rasa lega. Kami juga tak akan sesekali bergaduh depan anak-anak. Mereka sedang membesar, kalau kita tunjuk sikap tak baik secara tak langsung mereka akan buat perkara yang sama kelak. We are their role model.

Saya sentiasa menyokong dan bangga dengan setiap kejayaan suami. Berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D.) adalah pencapaian terbesar suami sekaligus mendidik anak-anak tentang betapa pentingnya ilmu. Arwah ayah saya adalah penyokong tegarnya kerana sentiasa berbangga dengan pencapaian suami.

MILIKI ANAK ISTIMEWA
Sebagai manusia biasa pasangan ini juga tidak terkecuali daripada menerima ujian. Anak sulung mereka, Ahmad Firdaus Ahmad Idham, 21, merupakan seorang anak istimewa. Ketika usianya dua tahun Ahmad Firdaus diserang sawan dan doktor mengesahkan dia mengalami focal encephalitis sehingga mengalami kesukaran berjalan dan bertutur.

Anak sulung mereka yang merupakan anak istimewa, Ahmad Firdaus Ahmad Idham kini berusia 21 tahun. Kacak!

“Kini banyak perubahan positif berlaku pada dirinya seperti pandai berdikari, lebih berani dan yakin. Setiap perkembangan walau sedikit tetap menjadi kebanggaan kami. Hanya ibu bapa yang memiliki anak istimewa saja faham keadaan seperti ini.

Kami mempunyai banyak support system iaitu keluarga dan teman-teman rapat. Alhamdulillah hingga ke hari ini Ahmad Firdaus tidak pernah dikecam atau dihina dengan keadaannya itu. Ahmad Firdaus bertuah kerana disayangi ramai orang.

Kami sentiasa memberikan yang terbaik buat Abang sama seperti anak-anak yang lain. Sebagai ibu, saya sentiasa ada untuk Ahmad Firdaus. Sekurang-kurangnya bila saya sudah tiada nanti saya dah tinggalkannya dalam keadaan selamat dan pandai berdikari.

Ahmad Firdaus seorang yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Semua perkara dianggap penting baginya. Sehinggakan saya sering bercakap pada diri sendiri dan anak-anak yang lain “If only Abang is normal I’m sure he would be the smartest among all”

Anak-anak yang lain memang rapat dengan anak sulung. Kerana sejak kecil kami didik mereka saling menghormati, prihatin dan tak pandang rendah kepada orang lain. Tak semua keluarga bertuah dikurniakan anak istimewa seperti keluarga kami.

Sebagai ibu saya layan mereka seperti sahabat termasuk berkongsi cerita, pendapat mahupun masalah. Selalunya mereka lebih selesa dengan saya kalau berkongsi masalah atau meluah perasaan. Jika ada sebarang masalah berkaitan anak-anak, saya akan update kepada suami.

Amy bersama satu-satunya anak perempuannya dalam keluarga mereka.

Sekarang ini kami ada banyak masa untuk mengaji dan solat berjemaah. Kami juga sering berpesan kepada mereka, kalau nak kesenangan di dunia jangan lupa Allah SWT. Harapan kami dapat melihat kejayaan mereka sebelum menutup mata.”

Tiga lagi anak pasangan ini ialah Ahmad Aydeel, 17, Kintan Myra, 15, dan Ahmad Khaliff, 11.

AWET MUDA DI USIA 45
Segalanya bermula dengan amalan gaya hidup sihat. Antara rutin sihat dan cergas saya ialah workout

tiga kali seminggu dan sesekali turun bermain golf bersama suami. Saya tak makan nasi setiap hari namun masih mengikut diet seimbang. Saya juga tak ambil suplemen kerana kurang percaya dengan cara ‘segera’ untuk kurangkan berat badan. Bagi saya amalan gaya hidup sihat itu yang terbaik.

Dikurniakan anak istimewa telah mencetuskan idea untuk Amy dan suami menubuhkan Eden Firdaus School pada Februari 2016. Ia sebuah sekolah pendidikan khas dan terapi sempurna buat anak-anak istimewa (OKU).

Sekolah ini dikhususkan bagi mempersiapkan kanak-kanak istimewa ini menempuh dunia luar sekaligus menjadikan mereka seorang yang mampu berdikari tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Harapan kami agar Eden Firdaus School menjadi hab sekolah pendidikan khas terkemuka suatu hari nanti. Semoga usaha ini mendapat sokongan kerajaan.”

Amy mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak dan pernah menubuhkan Tadika Sinar Indah Montessori di Ampang sekitar 1998-2010.

Kredit foto: IG @amyabdaziz

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad