Bahagia Bergelar Isteri, RAFIDAH IBRAHIM Amal Makanan Sunnah Untuk Sihat & Cantik!

Raut wajahnya tenang dan lembut. Membuatkan sesiapa sahaja tertawan dengan pesona yang dimiliki selebriti Rafidah Ibrahim. Apatah lagi sejak mendirikan rumah tangga pada 5 Mei lepas, nampak makin berseri-seri. Jelas terpancar sisi kebahagiaan Fida di samping suami tercinta. Alhamdulillah!

Mengimbas semula pembabitan Fida dalam industri, nama wanita cantik ini mula dikenali sejak dia menjadi Juara Pencarian Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007. Sering dikatakan mempunyai wajah iras penyanyi nombor satu negara itu, Fida ada pertalian darah dengan Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan berstatus sepupu.

Pernah membintangi drama dan filem sepanjang 14 tahun bergelar anak seni, Fida yang kini meniti usia 35 tahun tampil lebih matang dan anggun. Mengulas perkahwinan bersama jejaka pilihan, jelitawan ini mendedahkan lelaki yang berjaya menambat hatinya merupakan bekas pengurus Fida sendiri iaitu Shahzemir Shahzulkarib berusia 37 tahun.

Difahamkan pasangan ini saling mengenali sejak 17 tahun lalu dan Shahzemir pernah menguruskan kerjaya seni Fida selama 10 tahun. Dia kini merupakan pengarah bagi sebuah syarikat dan kembali menguruskan kerjaya isteri tercinta.

Mesra menyambut panggilan Nona, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Apo Kono Eh Jang ini terbuka berkongsi perkembangan terbaharu buat tatapan peminat.

“InsyaAllah Fida bakal merakamkan single terbaharu berkonsepkan ketuhanan dan nasihat. Bagaimana pun ia masih dalam proses sebab kami baru hantar tulang lagu. Sebenarnya target untuk Ramadan akan datang ni. Cuma tajuk lagu masih bincang yang bersesuaian,” ujarnya memulakan bicara.

Menyentuh kemunculan di majlis hiburan selepas menjadi isteri dan aktiviti seninya, Fida mengakui lebih selektif untuk menerima tawaran kelak. “Memandangkan musim pandemik, Fida memilih untuk tidak berada di kawasan orang ramai berkumpul. Fida lebih selesa fokus pada rumah tangga dan pada watak juga Fida lebih memilih yang bersesuaian dengan Fida.”

Sementara itu, menceritakan detik perkenalan dengan suami tercinta Fida berkata keperibadian bekas pengurus telah memikat hatinya untuk ke fasa lebih serius.

“Fida mula mengenali suami sejak zaman belajar di kampus di Kuantan kira-kira 17 tahun yang lepas. Suami merupakan senior Fida di kampus dan kami bermula dengan berkawan, terlibat dengan banyak aktiviti seni bersama. Fida selesa dengan cara dan sikapnya yang sentiasa supportive.

Alhamdulillah suami sentiasa memberi sokongan kerana suami juga merupakan composer untuk lagu cerita lakonan Fida antaranya Ku Memohon PadaMu iaitu OST Drama Epilog Syurga Cinta, Teriakan Kalbu (OST Drama Kasih Alia), Kau Pergi yang juga salah satu OST Filem Man Sewel Datang KL dan beberapa lagi.”

Ketika ditanya andaian mengenai dirinya yang dikatakan sedang hamil cahaya mata sulung, ini jawapan jujur Fida. “Doakan yang terbaik. Awal lagi.”

Rafidah Ibrahim
Di samping suami tercinta
Fida bersama arwah ibu
Kenangan ketika menang Pencarian Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007

Walau rutin harian bertambah untuk mengurus jadual seni dan tanggungjawab terhadap suami, Fida bagaimana pun bijak membahagikan masa. Dek minat kepada dunia keusahawanan, dia kembali menceburi bidang tersebut dengan mengusahakan produk kecantikan.

“InshaAllah Fida sedang mengusahakan semula perniagaan R Secrets Serum di mana dahulunya syarikat Fida hanya supply dan kini Fida mengambil keputusan untuk membuatnya dan dijual secara komersial.”

Bercerita tentang petua kecantikan yang diamalkan, bintang Epilog Syurga Cinta ini mendedahkan dia dan suami konsisten mengambil makanan sunnah dalam kehidupan harian demi menjaga kesihatan mereka.

“Penjagaan kesihatan Fida mengamalkan sunnah di mana setiap pagi Fida dan suami akan mengambil sekurang-kurangnya 1 biji kurma bersama minuman yang dicampur madu, habatussauda, minyak zaitun dan pati jus delima. Kami juga membuat aktiviti outdoor bersama seperti memanah dan hiking.

Fida lebih mengamalkan cara tradisional untuk menjaga kecantikan diri. Misalnya minyak zaitun dara untuk penjagaan rambut dan kulit yang digunakan secara dalaman dan luaran. Untuk diet pula, Fida suka amalkan ulam-ulaman.”

Patutlah dari dulu sampai sekarang kekal langsing. Selain aktif bersukan, Fida juga amat mementingkan amalan pemakanan sihat. Semoga segala perancangan Fida dan suami dipermudahkan kelak dan menjadi inspirasi ramai.

 

 

Kredit foto: Instagram Rafidah Ibrahim

Share
Published by
Suzi