
Tiada siapa yang dapat menyangkal perasaan indah sebaik sahaja ‘naik pangkat’ memegang gelaran sebagai nenek. Saat mengharungi momen sebegini adalah suatu detik yang luar biasa dalam hidup.
Bagai tak puas menatap saat pertama kali melihat cucu lahir ke dunia ini. Mungkin ini yang dirasakan oleh penyanyi bersuara emas mendendangkan lagu-lagu keroncong ini.


Dapat dibayangkan perasaan teruja Hetty Koes Endang atau lebih mesra disapa Bunda Hetty ini saat pertama kali menatap cucunya yang telah diberi nama Arlo Astrodistira Arsanda ini.
Berita gembira itu telah dikongsikan penyanyi lagu Kasih ini di laman media sosialnya serta berkongsi wajah cucu pertamanya, “Alhamdullillahirobilalamin, telah lahir ke dunia cucu Bunda,” tulisnya.


Anak perempuan Bunda Hetty, Afifah Womariah Yusuf telah selamat melahirkan anak lelaki pada 11 Ogos lalu dengan berat 3.11 kilogram.
Dalam pada itu Bunda Hetty telah mendedikasikan ucapannya terhadap puteri bongsunya yang baru berusia 24 tahun itu. Tergambar perasaan sarat dengan kasih dari seorang ibu di setiap bait tulisannya.



“Selamat sekali lagi untuk kedua ayah dan ibu baru, ibu yang kuat, sihat dan semua mendoakanmu nak,” tulis Bunda Hetty penuh kasih dan sayang terhadap anak dan menantunya.
Afifah dan suaminya, Faldo Arsanda berkahwin pada 21 November 2020 di Jakarta dengan sekali lafaz. Sebelum itu pasangan sama cantik sama padan ini telah bertunang sekitar bulan Jun 2020.

Menariknya ketika majlis pertunangan tempoh hari apabila pertembungan budaya antara adat Bugis Makassar dan Padang.
Kongsi Bunda Hetty, “Pertemuan antara adat Bugis Makassar dari keluarga suami Bunda dan juga adat Padang dari keluarga anakanda Faldo menjadi fokus utama kemeriahan yang sederhana kemarin. Khidmat, initimate, dan memorable. Mohon doa dari semua,” kongsi isteri kepada Dr. Yusuf Erwin Faisal ini.
Sesegar Udara Pergunungan, Kini KEBERSIHAN UDARA Dalam Kereta Juga Mampu Terjamin Bebas Pencemaran!

Demi masa depan anda,keluarga dan sahabat tercinta… Nikmati udara selamat, bersih dan segar ketika dalam perjalanan!
Amway memperkenalkan ATMOSPHERE DRIVE™, sebuah sistem rawatan udara yang direka untuk membekalkan udara yang selamat, bersih dan segar di dalam kenderaan anda.
“Sistem ATMOSPHERE DRIVE™ menggunapakai teknologi penurasan jenama ATMOSPHERE™ yang telah terbukti mampu membekalkan udara yang selamat, bersih dan segar kepada pengguna di dalam kenderaan mereka – dimana pencemaran udara di dalam kereta boleh mencecah 15 kali ganda lebih kotor berbanding dengan udara di luar,” kata Pengarah Pembangunan dan Sokongan Produk Berdaya Tahan Amway, Bill Luke.
“Penggunaan penuras tiga dalam satu yang unik, ia mampu mengekalkan tahap prestasi industri yang tinggi dengan menyingkirkan 99% zarah bawaan udara sehingga sekecil 0.015 mikron di dalam kenderaan anda.”
Teknologi penurasan tiga dalam satu ini, pertama sekali bertindak memerangkap kontaminan kasar seperti rambut dan debu. Kemudian, di peringkat kedua zarah zarah kecil dan asap akan disingkirkan.
Proses ini berupaya menyingkirkan zarah-zarah halus PM2.5 dan kontaminan bawaan udara utama yang lain. Selain itu, penurasan tiga dalam satu ini turut membantu mengurangkan bau yang tidak menyenangkan di dalam kenderaan anda.
“Penuras tiga dalam satu Sistem ATMOSPHERE DRIVE™ bukan sahaja mampu mengurangkan kesan asap rokok dan ekzos, malah bahan pencemar kimia seperti formaldehid, toluena dan sebatian organik mudah meruap (VOC),” tegas Luke.
Ketua Pemasaran Amway Malaysia, Leong Kok Fong ketika berucap pada majlis pelancaran berkata, “Kami percaya ATMOSPHERE DRIVE™ akan mendapat sambutan yang menggalakkan memandangkan 93% daripada rakyat Malaysia memiliki kereta.
Dengan Kadar Penghantaran Udara Bersih (CADR) 30m 3/jam pada kelajuan maksimum, sistem ATMOSPHERE DRIVE™ sememangnya terbukti berprestasi tinggi. Disamping itu, ia juga merupakan sistem rawatan udara di dalam kereta yang pertama dan satu-satunya di pasaran yang mendapat pengiktirafan daripada British Allergy Foundation.”
British Allergy Foundation merupakan sebuah pertubuhan amal perubatan yang bekerjasama dengan pengeluar di seluruh dunia bagi menguji dan mempromosikan sesuatu produk dan perkakasan yang boleh memanfaatkan pesakit yang mengalami masalah alahan.
Produk yang mendapat pengiktirafan seperti Sistem Rawatan Udara ATMOSPHERE™, telah melalui ujian saintifik yang dijalankan oleh makmal bebas mengikut protokol-protokol yang telah ditetapkan oleh pakar alahan ternama.
“Amway telah meningkatkan kualiti udara dalam kediaman untuk lebih daripada 3 juta penduduk di seluruh dunia dan sentiasa menawarkan penyelesaian inovatif bagi membekalkan kualiti udara yang lebih bersih dan selamat – sama ada di rumah atau ketika dalam perjalanan,” tambah Ketua Pemasaran Amway Malaysia, Leong Kok Fong.
“Sistem ATMOSPHERE DRIVE™ memberikan ketenangan minda kepada pengguna, apabila mereka mengetahui bahawa keluarga mereka menghirup udara yang bersih ketika berada di dalam kenderaan mereka.”
Sistem Rawatan Udara Kereta ATMOSPHERE DRIVE™ hanya boleh didapati melalui Pemilik Perniagaan Amway dan boleh didapati di seluruh negara bermula 15 November 2017 dengan harga RM1,887.50 termasuk 6% GST. KR
Mangkat Pada Usia 96 Tahun, Ini Trivia Ratu Elizabeth II Yang Perlu Anda Tahu

Ratu Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun. Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas, memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari, ketika seluruh dunia mengucapkan takziah dan mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda.


Ratu mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral (Scotland) tengah hari tadi selepas 70 tahun bertakhta. Ratu Elizabeth, tokoh paling lama memerintah Britain dan pemerintah tertua di dunia dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’ sejak hujung tahun lalu.
Kemangkatan baginda diumum sejurus selepas pihak istana semalam mengesahkan baginda gering dan doktor amat bimbang terhadap kesihatannya. Semua anak baginda, Charles, Puteri Anne, 72, Putera Andrew, 62, dan Putera Edward, 58, berkumpul di Istana Balmoral di tanah tinggi Scotland. Menyertai mereka ialah anak Charles, Putera Prince William, dan adiknya Putera Harry.

Ratu Elizabeth, dua hari lalu, menyaksikan upacara angkat sumpah Perdana Menteri baharu Britain, Liz Truss, sebagai Perdana Menteri ke-15 di bawah pemerintahan baginda dan dilihat lemah serta bertongkat, namun masih tersenyum ketika bergambar.
Trivia mengenai Ratu Elizabeth II:
1. Ratu Elizabeth II dilahirkan sebagai Puteri Elizabeth Alexandra Mary pada 21 April 1926, di London. Merupakan puteri kepada Putera Albert, Duke of York (kemudian dikenali sebagai King George VI), dan Elizabeth Bowes-Lyon.
Sewaktu zaman kecil, tiada siapa menyangka Elizabeth suatu hari nanti bakal bergelar ratu Great Britain. Dia yang diberi gelaran Lilibet menikmati dekad pertama dalam hidupnya dengan semua keistimewaan kehidupan sebagai keluarga diraja tanpa tekanan untuk menjadi pewaris yang jelas.

Apabila datuk Elizabeth George V meninggal dunia pada tahun 1936, anak sulungnya (bapa saudara Elizabeth) menjadi Raja Edward VIII. Edward, bagaimanapun, jatuh cinta dengan Wallis Simpson dan terpaksa memilih antara mahkota dan pilihan hatinya. Akhirnya, Edward memilih Simpson dan melepaskan mahkota itu.
Peristiwa itu mengubah perjalanan hidup Lilibet, menjadikannya pewaris kepada mahkota British. Ratu Elizabeth II menaiki takhta pada 8 Februari 1952 di Westminster Abbey pada usia 25 tahun selepas kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari 1952. Buat pertama kalinya, upacara pertabalan disiarkan di televisyen, membolehkan orang ramai dari seluruh dunia menyaksikan kemegahan acara itu.

2.Ratu Elizabeth II berkahwin dengan sepupu jauhnya Philip Mountbatten pada 20 November 1947, di Westminster Abbey di London. Ratu Elizabeth II pertama kali bertemu dengan Philip, anak kepada Putera Andrew dari Greece, ketika berusia 13 tahun.
Ratu Elizabeth II dan Philip mempunyai 3 anak lelaki iaitu Charles dilahirkan pada tahun 1948, Anne lahir pada tahun 1950, Andrew dan Edward—masing-masing lahir pada tahun 1960 dan 1964. Pada tahun 1969, Ratu Elizabeth II secara rasmi menjadikan Charles penggantinya dengan memberinya gelaran Putera Wales.
3. Baginda mewarisi takhta UK sejurus selepas Perang Dunia Kedua, menyertai pentas dunia yang dikuasai tokoh politik seperti Mao Zedong dari China sehingga pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Dwight D Eisenhower.
4. Sepanjang 70 tahun, baginda bertakhta merentasi dua abad yang penuh pergolakan sosial, politik dan teknologi.

5. Baginda menyaksikan keruntuhan empayar British yang tersebar luas hampir ke seluruh dunia selain menyaksikan krisis Brexit dan pelbagai skandal membabitkan keluarga diraja menggugat asas kerajaan baginda.
6.Sepanjang pemerintahannya Ratu Elizabeth kekal sebagai Ratu yang popular dan bukan saja bertakhta di United Kingdom tetapi turut diiktiraf 14 bekas tanah jajahan British termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.
7.Baginda juga adalah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia selain diiktiraf pemerintah agung Gereja England iaitu gereja induk bagi golongan penganut Anglikan di seluruh dunia.
8. Ratu Elizabeth atau nama penuhnya, Elizabeth Alexandra Mary Windsor, adalah satu-satunya monarki yang dikenali oleh majoriti rakyat, dengan imejnya tertera pada setem, mata wang dan syiling.
9.Baginda memerintah selama 70 tahun 7 bulan. Sebagai raja berperlembagaan, Ratu Elizabeth II tidak mengambil berat tentang hal politik dan tidak mendedahkan pandangan politiknya. Bagaimanapun, Ratu Elizabeth II kerap berunding dengan perdana menterinya.

10. Sepanjang hidupnya, Ratu Elizabeth II sering dikelilingi dengan dengan anjing. Baginda juga seorang peminat kuda yang membiak baka tulen dan menghadiri acara perlumbaan selama bertahun-tahun.
Semua stesen televisyen dan radio di UK turut berkabung dengan kemangkatan Ratu Elizabeth dengan menyiarkan pelbagai program mengimbau kembali riwayat kehidupan baginda.
Lagu kebangsaan ‘God Save the Queen’ dimainkan berulang kali, bendera dikibarkan separuh tiang manakala loceng gereja terus berbunyi bagi memperingati wanita yang pernah dikenali sebagai ‘Monarki Global Terakhir’. Tempoh berkabung kebangsaan akan diteruskan sehingga upacara awam terakhir di Westminster Abbey di tengah London.


Manakala upacara Putera Charles dinobatkan sebagai Raja Charles Ke-3, suatu amalan yang bersejarah dan penuh adat istiadat, akan diadakan di bangunan sama yang pada tarikh yang belum lagi ditetapkan.
Sumber: Biography, Reuters & AFP
Raih Emas Olimpik, HIDILYN DIAZ Dapat Duit, Rumah Mewah & Penerbangan Percuma Seumur Hidup!

Segala pengorbanan, titik peluh dan usaha gigihnya selama ini terbalas apabila Hidilyn Diaz menerima ‘durian runtuh’ daripada kerajaan, individu perseorangan dan syarikat korporat negara kelahirannya, Filipina selepas kejayaan meraih pingat emas dalam sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.
Rezeki yang dinikmati Hidilyn hari ini ibarat bulan jatuh ke riba. Dia yang sebelum ini anggota tentera udara sama sekali tidak menyangka keputusan untuk memilih sukan sebagai kerjaya nyata mengubah nasib hidupnya.
Apatah lagi selepas dia berjaya mencipta sejarah tersendiri menjadi atlet sulung Filipina yang meraih pingat emas dalam temasya sukan terbesar dunia tersebut. Tidak hairanlah, jaguh angkat berat Filipina ini dilabel sebagai khazanah bernilai buat negara berkenaan.
Atas pencapaian luar biasa yang dipamerkan Hidilyn dan berkat kesungguhan serta iltizamnya, dia menerima pelbagai insentif dan hadiah menarik. Tidak hanya syarikat awam dan korporat, pengusaha restoran turut tidak ketinggalan memberi ‘buah tangan’ kepada atlet kebanggaan mereka. Semuanya sebagai pencetus semangat buat rakyat Filipina agar terus komited dan berjaya dalam bidang sukan.
Hidilyn dikhabarkan menerima wang tunai bernilai 3 juta peso daripada kerajaan Filipina menerusi Presidennya, Rodrigo Duterte.
Memetik laporan portal www.preview.ph, Hidilyn turut menerima wang tunai daripada ahli perniagaan terkenal Filipina iaitu Ramon Ang, Manny Pangilinan dan wakil Timbalan Speaker, Mikee Romero.

Sementara 2.5 juta peso lagi diberikan dari pihak bandar kelahirannya, Zamboanga dan 5 juta peso daripada Phoenix Petroleum hasil persetujuan pengerusinya, Dennis Uy. Dianggarkan, jumlah wang tunai yang diterima Hidilyn adalah sekitar 40.5 juta peso!
Tidak hanya menghargai pemenang pingat Olimpik tersebut dengan pemberian wang tunai, Phoenix Petroleum turut menghadiahkan bekalan petrol seumur hidup kepada atlet berusia 30 tahun ini.
Keceriaan berganda buat Hidilyn apabila syarikat penerbangan Philippine Airlines berbesar hati memberikan tiket penerbangan percuma seumur hidup dengan menikmati penerbangan sejauh 80,000 batu setiap tahun. Langkah sama turut diambil Air Asia Philippine Spokesperson, Steven Dailisan yang mengeluarkan kenyataan rasmi akan memberi tiket penerbangan percuma seumur hidup kepada Hidilyn.
Ini termasuklah Cebu Pacific yang menghadiahkan 25 trip penerbangan percuma kepada wakil pasukan Filipina di Olimpik Tokyo 2020.
Tidak cukup dengan itu, jaguh Filipina ini juga ditawarkan tiga kediaman daripada syarikat perumahan berbeza. Salah satunya ialah unit kondominium mewah di Eastwood bernilai 14 juta peso dari Megaworld Corporation, rumah dan lot tanah di Tagaytay seperti yang diumumkan President Philippine Olympic Committee dan rumah bernilai 4 juta peso dari Century Properties!
Pengeluar kenderaan Foton Motor Philippines juga tidak terkecuali meraikan kemenangan Hidilyn dengan menghadiahkan sebuah van baharu atas kejayaan luar biasanya. Presiden syarikat berkenaan, Rommel Sytin menjelaskan pihaknya akan memberi Foton TransVan yang memiliki 13 tempat duduk.
Jenama kecantikan Filipina, Ever Bilena Cosmetics dalam pada itu turut menghadiahkan produk EBCI bernilai 1 juta peso. Begitu juga L’Oreal Group yang menawarkan Hidilyn servis dan produk kecantikan berjumlah 2 juta peso.
Hidilyn juga dapat menjamu selera dengan aneka hidangan daripada seleksi restoran menarik yang memberi menu hidangan pilihan untuknya sepanjang hayat.
Bagaikan mimpi, bukan hanya nama Hidilyn akan dimasukkan dalam sejarah Filipina bahkan sebuah arca dirinya juga akan dibina sebagai monumen di Joaquin F. Enriquez Memorial Sports Complex.
Mengimbas kembali kejayaan Hidilyn di pentas Olimpik Tokyo 2020, atlet dunia ini memenangi pingat emas acara 55 kilogram wanita selepas berjaya melakukan angkatan seberat 224 kilogram sekaligus memecahkan rekod sukan Olimpik. Ia merupakan pingat emas pertama Filipina dalam sejarah sukan Olimpik.
Sebelum menyertai temasya Olimpik pada awal Ogos lepas, Hidilyn dilaporkan terkandas di Melaka dan mendapat bantuan daripada komuniti angkat berat di Jasin, Melaka yang membenarkannya untuk meneruskan latihan di sana.