Bagi peminat drama siri Charlie’s Angels era tahun 1970an dan 1980an pasti mengenali wanita yang membawa watak Kelly Garrett ini. Walaupun wanita cantik yang popular dengan nama Jaclyn Smith ini telah mencecah usia 75 tahun namun masih ‘disunting’ oleh pengarah filem untuk berlakon dalam filem mereka.
Jaclyn Smith merupakan bintang ‘Angels’ yang telah diundang untuk membuat penampilan kameo dalam filem Charlie’s Angels: Full Throttle (2003) dan Charlie’s Angels (2019), hebat bukan. Selain itu Jaclyn Smith turut mendapat perhatian jenama produk kecantikan ternama seperti Wella Balsam dan Max Factor sebagai jurucakap produk tersebut sewaktu zaman kegemilangannya dahulu.
Kagum melihat penampilan pelakon terkenal Hollywood ini yang tetap cantik walaupun sudah meniti usia 70an. Sudah tentu Jaclyn Smith ini begitu menjaga kecantikannya. Mungkin rahsia kecantikannya terdapat dalam set penjagaan wajah yang telah dilancarkan pada tahun 2010, kolaborasi bersama suami tersayang, Dr. Brad Allen.
Wanita cantik ini mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan pada tahun 1985 lagi dengan mengeluarkan koleksi pakaian dan aksesori yang dipasarkan di Gedung Kmart. Cita rasa Jaclyn Smith yang tinggi dalam penampilan membuatkan koleksi rekaannya sentiasa mendapat perhatian. Lihat saja, gaya wanita yang telah bercucu ini.
Kini, selain menguruskan perniagaannya Jaclyn Smith turut aktif dengan aktiviti kemanusiaan di bawah AbilityFirst untuk menyokong dan membantu kanak-kanak kurang upaya. Di samping kesibukan tugas hakikinya wanita cantik ini tetap berpeluang menghabiskan masa lapangnya dengan berkebun dan bermain dengan cucu.
Sumber: www.jaclynsmith.com
“Jadilah Wanita Yang Berduit Kerana Wanita Yang Cantik Dah Banyak!” Ifa Raziah Mahu Kaum Hawa Berdikari
Sering membawa watak antagonis, jelmaan wanita yang bermasalah itu sedikit sebanyak terpalit dalam kehidupan Ifa Raziah. Siapa sangka kalau sebaliknya beliau adalah seorang wanita yang sangat kelakar, malah lebih dari itu bergelar usahawan yang sangat menginspirasikan. Kini Ifa mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni selama lebih dua dekad untuk memajukan bisnes pengurusan acara, StarVendors Event Sdn Bhd.
Seorang yang tegas berpendirian, karakter Saripah Raziah Mustapha selaku Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors menjadi kekuatannya dalam mengendalikan urusan syarikat.
Tidak seperti di layar perak, selebriti itu bijak memainkan peranan sebagai pemimpin, sekaligus menambah keyakinan sesiapa pun yang datang berurusan. Daripada individu berprofil tinggi seperti Menteri, pegawai kerajaan dan swasta, agensi atau badan korporat, ahli perniagaan hinggalah petugas media serta orang ramai, Ifa Raziah sentiasa profesional ketika bekerja.
Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, Ifa Raziah juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health. Produk pelangsingan Solid Molid dan produk Miss Diva Skincare yang diasaskan sejak lima tahun lepas antara yang mendapat permintaan tertinggi ketika musim PKP lalu. Beliau juga giat menjual korset Ifa Raziah Wonder Suit by Jovian.
“Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni. Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, antara yang terbaru adalah sebagai peserta dalam program Terpaling Juara. Kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating dan membantu menularkan program tersebut.
Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes.
Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak. Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil monitor saja bisnes yang mereka uruskan.” Ifa Raziah
VERSATIL
Terkenal sebagai seorang wanita yang ekspresif, statement beliau iaitu, “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” mencuit perhatian.
Pernah menjulang trofi Artis Versatil Popular dua tahun berturut-turut di ABPBH29 & ABPBH30, Ifa Raziah yang berstatus Dato’ mula terlibat dalam industri seni sejak tahun 90-an lagi. Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
Tidak keberatan berkongsi sejarah, wanita jelita berdarah peranakan Melayu-Arab dan ibu kepada dua cahaya mata itu tenang bercerita. Menurutnya, bakat nyanyian yang terpendam sebenarnya mula dikesan sejak zaman kecil lagi.
Ketika berusia 17 tahun, beliau pernah mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Asia Bagus (1992) tapi disebabkan peperiksaan SPM ketika itu, Ifa terpaksa menarik diri.
“Saya mengeluarkan album solo pertama bergenre pop balada iaitu I Miss You, I Love You pada tahun 1996. Zaman itu Malaysia dilanda gelombang dangdut, jadi saya cabar diri hasilkan album dangdut pula setahun kemudian.
Single lagu Ser…Ser…Ser… berjaya melonjakkan nama saya sebagai penyanyi dangdut popular. Saya juga mula aktif berlakon pada waktu yang sama, malah untuk rekod pernah membintangi beberapa buah filem dan teater, berpuluh drama serta telefilem tempatan.
Menjelang era 2000-an, saya tubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Ifa Raziah Entertainment dan keluarkan album ketiga iaitu Gemerincing Rindu.
Saya juga pernah keluarkan single lagu Panas bersama penyanyi Cat Farish yang berjaya layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 2008 dan peringkat akhir Hits 1 RTM tahun yang sama.” Ifa Raziah
Bakat Ifa Raziah seterusnya berkembang dalam bidang pengacaraan TV apabila beliau ditugaskan sebagai pengacara program Wanita Hari Ini selama tiga tahun bermula 2008.
Tidak sekadar petah berbahas isu semasa, wanita kelahiran Jitra, Kedah itu sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai pelawak apabila menyertai Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Syok.
Berkat sifat disiplin yang tinggi, rezeki Ifa Raziah dalam bidang seni terus mengalir tanpa henti. Bekas peserta program GegarVaganza ini terus mencatat satu demi satu kejayaan berskala besar ekoran strategi hidupnya, ingin sentiasa relevan dengan trend semasa.
Kerana itulah gaya dan penampilan diri beliau sentiasa berevolusi, stail mekap pun up-to-date!
USAHAWAN
Menyedari betapa luasnya manfaat berniaga, Ifa Raziah mengorak langkah berani sebagai pengasas StarVendors pada tahun 2019. Sebagai syarikat pengurusan acara, StarVendors dianjurkan sebagai festival membeli-belah dengan penyertaan ramai selebriti dan pelbagai jenama terkenal di Malaysia.
Menggunakan pengaruh seni, pengunjung yang datang juga boleh bertemu mesra artis kesukaan mereka dan menikmati persembahan yang diadakan.
Pencapaian terbesar Ifa Raziah adalah apabila acara Festival StarVendors Mega Raya yang dianjurkan pada bulan Ramadan lalu melakar sejarah di The Malaysia Book of Records sebagai penganjuran paling lama selama 75 jam tanpa henti.
“Dengan rekod keseluruhan pengunjung mencecah 2.8 juta orang, saya sebenarnya amat terharu dengan pengiktirafan ini dan tidak menjangka mendapat sambutan yang amat luar biasa.
Jadi saya nak menjemput lebih ramai artis dan usahawan untuk sertai StarVendors. Kami dah susun banyak program hebat di 11 venue sepanjang 2023.
Inilah satu-satunya platform yang dapat memperkenalkan branding anda dengan baik selain online. Usahawan boleh turun padang berjumpa pengunjung secara fizikal sambil mereka pegang sendiri produk anda.”
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Entrepreneur Award, Ifa Raziah ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Bobo Cinta
Dandanan: Hamidi Jamili
Busana: Daniel Zharif, Jovian Mandagie, Maglifestyle
Lokasi: W Kuala Lumpur Hotel
Korbankan Kerjaya Lakonan, AYU RAUDHAH Puas Hati! Enam Anak Membesar Depan Mata
Nama Ayu Raudhah sebelum ini pernah memuncak apabila mewarnai dunia lakonan tempatan dalam drama ‘Sutera Maya’ bagi slot Akasia yang ditayangkan di TV3, sekaligus berjaya meletakkan namanya sebaris dengan aktres popular sedia ada.
Bagaimanapun, Ayu atau nama penuhnya, Raudhah Che Wan yang aktif berlakon sejak tahun 2007 mulai memperlahankan rentak seninya selepas berkahwin dengan pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zaquan Adha.
Perkahwinannya sejak 13 tahun lalu yang mengambil tempat pada tarikh keramat 21 Januari 2011, itu kemudianya turut disusuli dengan keputusan bertudung sekembalinya Ayu dan suami usai mengerjakan umrah.
Rindu Nak Berlakon Tak Penah ‘Surut’
Ketika ditemui team Nona, kami bertanyakan adakah tiada sekelumit rasa rindu untuk kembali melangkah ke dalam arena seni dan menghiasi kaca televisyen dalam drama dan filem. Ini respon yang diberikan oleh adik kepada usahawan yang juga pelakon Rozita Che Wan.
“Rindu terhadap dunia lakonan itu tidak pernah surut. Tambah lagi kalau tengok drama lakonan sendiri diulang siar di televisyen, lagi menebal kerinduan.
“Kali terakhir saya berlakon drama Cinta Bukan Kristal untuk slot Akasia TV3 pada 2018. Drama itu diterajui Sharnaaz Ahmad dan Ayda Jebat. Saya berlakon watak Ma Su Faridah. Dan sudah enam tahun berlalu.
Dahulukan Keluarga, Ayu Raudhah Korbankan Kerjaya!
“Ikutkan sampai sekarang tawaran berlakon masih kunjung tiba. Tapi sejak merantau ikut tuntutan kerja suami, memang saya fikir banyak kali untuk terima tawaran berlakon.
“Tambah pula, berlakon perlukan pengorbanan masa. Saya pula seboleh-bolehnya nak tengok anak membesar depan mata,” katanya yang turut gembira di kelilingi enam permata hati.
Ketika perhatian lebih terarah kepada keluarga, Ayu mengakui dia pernah berjinak-jinak menceburi dunia perniagaan termasuk mengeluarkan produk kecantikan kulit, pakaian Muslimah dan lelaki serta tudung, serta pernah juga mengusahakan bisnes f&b dahulu.
“Ada kalanya apabila tumpuan berniaga lebih cenderung, suami mula merungut manja sebab masa dengannya tak banyak. Macam idea buka kafe dahulu pun bertitik tolak sebab suami nak makan air tangan saya.
“Tapi lama-kelamaan suami faham. Apa kami lakukan dengan mencari rezeki ini untuk kebaikan bersama termasuk masa depan anak,” katanya.
Ceburi Bidang Perniagaan Antara Pengalaman Bernilai Buat Ayu
Pemenang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 di Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) itu juga percaya pengalaman menceburkan diri dalam bidang perniagaan menjadi harta bernilai buat dirinya sehingga kini.
“Saya tidak belajar tinggi. Saya tak malu mengakuinya, bahkan bangga dengan semangat diri. Saya hanya lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malah tak ada latar belakang jurusan perniagaan pun. Namun saya percaya pengalaman menjadi azimat berharga.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber Foto: Instagram Ayu Raudhah
7 Tahun Bina Legasi & Bakal Ada Wisma Sendiri, ROSMA Bahagia Dapat Kongsi Rezeki!
Siapa sangka, dari penyanyi kini Rosma merupakan salah seorang usahawan berjaya tanah air. Beralih untuk serius dalam bidang perniagaan apabila kerjaya seninya dilihat kurang bersinar, selebriti yang ‘lahir’ daripada program realiti Akademi Fantasia Musim 1 ini tidak lelah mengejar kejayaan. Berkat usaha gigih selama hampir tujuh tahun, Rosma bangga membangunkan legasi KR Successful Sdn Bhd di samping suami tercinta, Khai.
Berpeluang menghubungi Rosma baru-baru ini, Nona dimaklumkan bisnes yang diasaskan sejak tahun 2014 tersebut kian rancak merencana jualan. Apatah lagi sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Rosma mengakui permintaan pelanggan terhadap produknya adalah berlipat kali ganda. “Sekarang memang tengah fokus bisnes. Sebelum PKP ada juga terlibat dengan recording program TV tapi ada beberapa daripadanya terpaksa ditunda buat masa ini.
Bercerita tentang bisnes, alhamdulillah berjalan dengan baik. Lagipun saya dah mula berniaga online dari tahun 2014 jadi bila berlaku macam ni tak rasa sangat sebab kita memang fokus platform digital. Tak dinafikan jualan dapat berganda daripada biasa memandangkan orang duduk di rumah sekarang.
Waktu PKP tahun lalu pun sambutan menggalakkan walau ada beberapa kesulitan termasuk dari segi penghantaran. Tapi bila berlakunya PKP kedua ni, kita dah ada pengalaman dan semua tu dapat di atasi dengan mudah. Syukur.”
Mengimbas perjalanan awal menceburi bidang keusahawanan, Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik menjelaskan produk MS SenaRos sudah mula dipasarkan sejak tujuh tahun lalu. “Ia ialah minuman detoks yang membantu meningkatkan metabolisme tubuh badan selain menstabilkan hormon dan sistem pencernaan serta memberi tenaga tambahan. Walau sebagai peniaga, kita nak produk terjual tapi saya lebih suka memberi knowledge kepada pelanggan terlebih dahulu dan menegaskan mereka tentang kepentingan pemakanan.
MS SenaRos ni boleh dijadikan bantuan untuk amalan gaya hidup sihat tapi 80 peratus mereka yang berjaya turunkan berat dan tampil lebih langsing serta sihat terletak pada pemakanan sendiri.”
Tambahnya lagi, “Tak pernah tercetus idea pun nak buat bisnes ni tapi sebab Khai suka berniaga, dia yang bagi idea memandangkan masa saya bersalin anak pertama memang gigih turunkan berat. Bila hamil anak kedua, Khai bagi idea keluarkan produk berkaitan slimming. Dari idea tu, kami ‘cantikkan’ lagi sehinggalah wujudnya MS SenaRos sekarang.
Waktu tengah sarat hamil anak kedua, gigih kami pergi tanya dan bincang dengan orang lab untuk ramuan produk. Elok je lepas saya bersalin, tester produk siap. Memang lepas anak berusia 6 bulan dan saya cuba, terus hilang 10 kilogram dalam masa dua bulan setengah. Sejak itu bisnes makin berkembang. Dekat setahun jugalah saya dan Khai berdua saja uruskan bab packaging, pos dan ambil order. Staf belum ada lagi masa tu. Memang tak cukup tangan dibuatnya.”
Selain produk minuman kesihatan dan detoks MS SenaRos, Rosma juga mempelbagaikan perniagaannya dengan menghasilkan rekaan body suit dan pants pada tahun 2017. Pada Februari lepas pula mereka mengeluarkan packaging MS SenaRos dalam bentuk kotak. Paling membanggakan, impian Rosma dan Khai untuk memiliki wisma sendiri bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Jika kebanyakan usahawan muda selesa berkongsi gaya hidup kepada umum, lain pula situasinya bagi Rosma dan Khai. Biarpun rezeki dalam bidang perniagaan makin melimpah, namun pasangan romantis ini lebih bahagia berkongsi dengan orang sekeliling.
“Kami hidup bersederhana saja. Ada masa, memang perlu reward diri dengan barang yang diidamkan selama ini tapi kami lebih mengutamakan keluarga. Misalnya bawa mereka pergi bercuti dan luang masa bersama-sama. Untuk diri sendiri memang saya tak beriya sangat. Rasanya dalam setahun, baru sekali pergi shopping. Waktu muda dulu memang ketagih shopping tapi sejak kahwin, Khai banyak ajar saya macam mana nak uruskan duit.
Lagi-lagi musim PKP ni, kita pakai apa ada je. Jenis saya memang suka kasut, tapi sekarang ni banyak tengok je dari membeli. Sebab saya fikir ada benda yang jauh lebih penting daripada semua itu. Kalau ada rezeki duit lebih, kita bagi bantuan untuk orang lain lagi baik. Asalkan dapat membantu ikut kemampuan. Dulu saya pernah cakap, ‘Kalaulah ada duit banyak nak tolong orang.’ Jadi bila Allah dah bagi rezeki macam sekarang, saya kena buat.”
Rosma mendirikan rumah tangga bersama Khai yang juga bintang Akademi Fantasia Musim Pertama pada 26 April 2008. Hasil perkongsian hidup selama hampir 13 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Amzar Danish, Nur Amani Damia dan Nur Alya Dhania.
Kredit foto: Instagram Khai Rosma