Beku seketika bila tak tahu nak masak apa untuk berbuka. Mungkin sebelum ini sibuk dengan kerja dan jarang atau sesekali je masuk dapur. Ni dalam keadaan PKP dan berpuasa, puas juga buka buku resipi untuk fikir apa menu yang ingin dihidangkan buat santapan keluarga tercinta.
Apa kata kita cuba resipi yang dikongsi oleh Puan Far Ahmad melalui laman FB beliau. Menurutnya resipi Mi Kari Nyonya ini terbukti memenuhi standard mi kari kantin sekolah paling sedap yang pernah dimakan.
Bahan-bahan pun tak ada yang pelik-pelik. Mudah sangat nak dapat kecuali kerang musim PKP ni.
Bahan untuk stok ayam
2 keping daging ayam bahagian dada
2 kiub ayam
Rebus ayam dengan kiub ayam sehingga ayam empuk. Keluarkan ayam dan carik-carik isinya dan ketepikan. Stok ayam guna untuk buat kuah nanti.
Udang pun saya celur dalam stok ayam ni. Udang jangan celur lama sangat nanti kejung isinya. Angkat udang dan kopek kulit.
Sambil kita tunggu stok ayam tu ready bolehlah buat sambal cili
Bahan-bahan sambal cili
12-15 tangkai cili kering
3 biji cili merah/cabai
3-4 bawang putih
2 sudu besar udang kering
1 inci belacan
Garam dan gula secukup rasa
Semua bahan diatas kita kisar halus. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga garing. Garing ni satu level up dari pecah minyak. Siap angkat ketepikan. Ok kita buat pula kuah mi.
Bahan-bahan kuah mi
2.5 liter stok ayam (jika ada air rebusan udang/ketam/kerang boleh masuk sekali)
3 sudu besar rempah kari daging
2 batang serai dititik (ketuk-ketuk jangan hancur)
½ sudu besar gula merah (saya letak gula kelapa)
3 tangkai daun kari
2 cawan santan
2 keping asam keping
garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar kuah mi
3 batang serai (potong kecil ambil yang bahagian hijau muda/putih)
1 sudu besar ketumbar
5 ulas bawang putih
2-3 biji bawang besar (bergantung saiz)
Kisar sampai halus semua bahan kisar ni
Bahan aksesori
12 keping tauhu pong
Fish ball
Fish cake
Isi ketam
Kerang
Udang
Pelakon utama
Mi kuning
Bihun
Cara membuat kuah mi
Panaskan minyak dan tumis serai, daun kari dan bahan kisar hingga wangi dan naik minyak. Masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. Masak sampai garing.
Masukkan stok ayam, asam keping dan gula merah/gula kelapa. Biarkan mereneh. Perisakan dengan gula garam secukupnya atau campak jer maggi cukup rasa. Biarkan kuah mendidih baru masukkan santan. Kacau jangan tinggal lama mendidih akhir sekali masukkan fish ball, fish cake dan tauhu pong. Masak secukupnya… siap kuah mee kari.
Pelakon utama tu celurkan je biar lembut. Gabungkan dua mi tu dalam mangkuk barulah nyonya style.
Sumber: FB Far Ahmad
This website uses cookies.