Saban hari gejala obesiti atau berlebihan berat badan kian meningkat dan ini cukup membimbangkan. Akibatnya, golongan ini akan mudah diserang masalah kesihatan seperti kencing manis, penyakit jantung dan strok.
Namun begitu, tidak bermakna orang yang kurus tidak berisiko untuk terkena penyakit. Terlalu taksub untuk kurus pun tidak bagus untuk kesihatan. Sumber yang dipetik dari www.howstuffworks.com terdapat beberapa masalah kesihatan yang boleh menghantui mereka yang terlalu kurus.
TULANG MUDAH RAPUH ATAU OSTEOPOROSIS
Bagi yang berbadan kurus, lemak adalah sangat diperlukan. Ini kerana salah satu fungsi lemak ialah menghasilkan estrogen. Baik lelaku mahupun wanita, estrogen bermanfaat untuk kesihatan tulang. Tanpanya tulang mudah menjadi rapuh dan rosak.
MASALAH REPRODUKSI
Kekurangan berat badan boleh menyebabkan beberapa masalah reproduksi bagi wanita. Akibat terlalu kurus kemungkinan kitaran haid akan terjejas malah berisiko untuk berhenti seterusnya sukar untuk hamil. Kitaran haid yang tidak teratur mempengaruhi lapisan rahim. Menurut kajian, wanita yang terlalu kurus ketika hamil berisiko 70% untuk mengalami keguguran di trimester pertama.
ANEMIA
Mereka yang terlalu kurus lebih mudah mengalami anemia iaitu kekurangan sel darah merah. Ini disebabkan kurangnya zat besi, vitamin B12 dan folat. Gejala anemia ialah mudah letih, tidak bertenaga, degup jantung tidak teratur, sesak nafas dan pening.
KURANG DAYA TAHAN BADAN
Sistem kekebalan badan adalah benteng utama yang memerlukan bahan bakar daripada makanan yang diambil. Mereka yang kurang berat badan cenderung untuk makan dalam porsi kecil dan jarang. Sistem kekebalan badannya tidak mendapat bahan bakar yang cukup lantas mudah diserang selesema ketika perubahan cuaca.
KENCING MANIS DAN PENYAKIT JANTUNG
Siapa kata kencing manis dan penyakit jantung hanya menyerang mereka yang berlebihan berat badan. Badan yang terlalu kurus juga mudah diserang penyakit kerana daya tahan badannya kurang. Faktor keturunan juga boleh mempengaruhi. Ini lebih merbahaya kerana sangat berisiko diserang kencing manis dan penyakit jantung. AMY MOHD
This website uses cookies.