Bahaya Obesiti, Doktor Dedah Wanita HAMIL Lebih Berisiko Alami Keguguran!

Kegemukan melampau atau obesiti boleh mengundang pelbagai kesulitan dalam hidup. Jika dikecilkan skopnya kepada wanita, bagi yang sudah berkahwin pula anda mungkin berdepan dengan risiko keguguran.

Menurut Prof Dr Imelda dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, risiko keguguran pada tiga bulan pertama meningkat sebanyak 21 peratus bagi ibu hamil yang obes. Namun perkara paling penting yang meningkatkan kebarangkalian tersebut ialah usia wanita itu sendiri. Jelasnya, semua bayi perempuan dilahirkan dengan semua ovum telurnya di dalam ovari seumur hidup. Tiada lagi ovum atau telur baru yang dibuat selepas dilahirkan.

Apabila usia wanita semakin meningkat, kerosakan DNA atau baka boleh berlaku pada telur wanita, dan risiko keguguran bertambah bila kita semakin tua sehinggalah menopos. Kerosakan baka inilah yang menyebabkan sindrom seperti Down syndrome, Edwards Syndrome dan Patau syndrome.

Jika telur yang dipersenyawakan mempunyai kerosakan baka dan embrio mempunyai sindrom, kebanyakannya akan gugur sendiri dalam masa 3 bulan pertama. Lebih kurang 60 dalam 100 keguguran semasa tiga bulan pertama disebabkan oleh kerosakan baka ini.

Tiada apa yang anda makan boleh menyebabkan masalah ini, tiada rahim yang kotor, tiada jamu atau maajun yang boleh mencegah masalah ini dan tiada ubat herba Cina yang boleh mengelakkan keguguran. Semua wanita yang sihat dan subur mempunyai risiko keguguran dan ini boleh berlaku kepada sesiapa saja.

Lihat gambar 1
Dalam 100 ibu hamil berusia 20-24 tahun, 10 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 25-29 tahun, 12 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 30-34 tahun, 15 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 35-39 tahun, 25 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 40-44 tahun, 50 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 45 tahun ke atas, 90 akan gugur.

Jika anda juga mempunyai berat badan yang obes, 32 kajian perubatan melibatkan 265 ribu wanita telah membuktikan yang risiko keguguran bertambah sebanyak 21%.

(Lihat gambar 2)

Ini bermakna, jika wanita itu obes,

Dalam 100 ibu hamil berusia 20-24 tahun, 12 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 25-29 tahun, 14 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 30-34 tahun, 18 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 35-39 tahun, 30 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 40-44 tahun, 60 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 45 tahun ke atas, hampir semua akan gugur.

Jadi perkara yang anda boleh buat untuk meningkatkan kesuburan dan mengurangkan keguguran ialah gaya hidup cergas, bersenam dengan kerap, amalkan pemakanan yang sihat, supaya berat badan anda sihat. Banyak kajian perubatan telah membuktikan yang senaman semasa hamil tidak menyebabkan keguguran.

Bagi wanita yang disahkan mempunyai masalah PCOS, pengambilan ubat metformin juga boleh mengurangkan risiko keguguran. Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat.

Prof Dr Imelda Balchin

Sumber: Prof Dr Imelda, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur

 

Share
Published by
Suzi