Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mendamba kehadiran cahaya mata. Sama ada cepat atau menangguhkan dahulu peluang untuk melahirkan anak, terpulang kepada pasangan masing-masing. Namun, tahun berganti tahun hasrat menimang cahaya mata masih tidak kunjung tiba. Usai rawatan di klinik Obstetrik dan Ginekologi doktor menyarankan agar menurunkan berat badan. Apakah kaitan berat badan dengan kehamilan?

Tahukah anda?

Ads

Penambahan bilangan individu dengan masalah obesiti sejak akhir-akhir ini sememangnya membimbangkan. Mengikut bancian NHANES (National Health and Nutrition Survey) pada tahun 2009 – 2010, 31.9 peratus wanita di dalam lingkungan umur reproduktif (20 ke 39 tahun) di dapati obes (Body Mass Index, BMI >30). Ini melebihi 4 kali ganda berbanding 7 peratus pada tahun 1980. Obesiti telah dilihat sebagai perkara biasa di dalam masyarakat.

Masalah obesiti ini bukan sekadar memberi kesan kepada rupa paras fizikal dan emosi semata-mata, bahkan turut menyebabkan banyak masalah kesihatan termasuk masalah kesuburan wanita. Di kalangan yang mampu hamil, komplikasi lain sepanjang kehamilan boleh timbul disebabkan atau dikaitkan dengan obesiti.

Mengapakah obesiti boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil ?

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pakar SALAM Senawang, Negeri Sembilan,  Dr Alinawati Mohd Ali, tisu adipos (tisu lemak) merupakan salah satu organ endokrin (penghasilan hormon) yang aktif. Ketidakseimbangan fungsi organ endokrin di kalangan wanita obes ini akan menyebabkan rintangan kepada hormon insulin (insulin resistance) dan penambahan hormon androgen (hormon seksual lelaki). Perubahan ini akan merencatkan proses ovulasi (perlepasan telur dari ovari) yang akhirnya membuatkan wanita tidak subur.

Info

Anovulasi (ovulasi terencat) adalah merupakan salah satu kriteria bagi Sindrom Polisista Ovari (PCOS – Polycystic Ovarian Syndrome). 5 hingga 10 peratus wanita menghidapi masalah ini dan kerap dikaitkan dengan obesiti.

Tambahnya, kebanyakan wanita ini turut mengalami masalah haid yang tidak teratur, tidak datang haid dalam tempoh masa yang panjang (amenorrhea) atau haid yang terlalu sedikit (oligomenorrhea). Ada kalanya haid terlalu kerap atau berpanjangan hingga menyebabkan anaemia (kurang darah). Selain menyebabkan perencatan proses perkembangan, kematangan dan perlepasan telur (ovulasi), obesiti juga dipercayai memberi kesan negatif kepada kualiti telur (oosit) dan penerimaan dinding rahim.

Adakah terdapat perbezaan respons terhadap rawatan kesuburan di kalangan wanita obes?

Ads

Sebahagian kajian perubatan menunjukkan respons negatif di kalangan wanita obes. Perkembangan folikel telur didapati tidak mencukupi dan bilangan folikel juga berkurangan berbanding wanita yang mempunyai BMI normal. Terdapat juga kajian lain yang menunjukkan keperluan dos ubatan yang lebih tinggi bagi merangsang ovulasi semasa rawatan kesuburan. Risiko kegagalan rawatan IVF juga bertambah dengan penambahan BMI. Data menunjukkan penurunan kadar kehamilan, kadar kelahiran hidup dan pertambahan kadar keguguran selepas rawatan IVF berbanding wanita dengan BMI yang normal (<25).

Bahaya OBESITI Terhadap Wanita Berkahwin, Usah Gadai Kebahagiaan & Segera Jaga PEMAKANAN!

Obesiti dan Kehamilan

Ads

Kehamilan bagi wanita obes biasanya dikaitkan dengan risiko yang lebih daripada biasa. Di peringkat awal kehamilan risiko keguguran dianggarkan sekitar 16 peratus di kalangan wanita obes berbanding 10 peratus bagi wanita dengan BMI normal.

  1. GDM (Gestational Diabetis Mellitus) atau Diabetes Mellitus (pregestational) adalah merupakan masalah perubatan yang kerap dialami oleh wanita hamil yang obes. Keadaan ke rintangan terhadap insulin seperti yang telah disebutkan sebelum ini merupakan punca utama yang dikaitkan. Prevalen bagi penyakit GDM bertambah sebanyak 0.92 peratus bagi setiap pertambahan 1 kg/m2 BMI.

Oleh itu semua wanita hamil sama ada dalam kategori berat berlebihan (BMI antara 25-30) mahupun obesiti (BMI 30 ke atas) perlu untuk menjalani ujian gula dalam darah (MGTT) untuk memastikan status masing-masing. Biasanya ujian ini dijalankan sekali atau dua kali sepanjang tempoh kehamilan. Wanita yang menghidapi GDM atau pregestational diabetes memerlukan pemeriksaan gula darah dan pemeriksaan kehamilan yang lebih kerap bagi memastikan bacaan gula darah terkawal.

Pengawalan gula yang bagus boleh mengurangkan kemungkinan;

  • Mendapat saiz bayi yang lebih besar,
  • Air ketuban yang berlebihan,
  • Jangkitan faraj mahupun saluran kencing,
  • Kelahiran pramatang dan kesukaran bersalin.
  1. Penyakit darah tinggi (Hipertensi) kehamilan dan Pre-Eclampsia adalah masalah kesihatan kedua yang dibimbangkan. Risiko ini dilihat berganda bagi setiap pertambahan 5 kg/m2 BMI sebelum kehamilan. Penyakit ini mampu untuk menyebabkan gangguan multi organ selain meragut nyawa ibu dan bayi sekiranya ia berterusan ke tahap yang serius.

Tempoh peringkat awal kelahiran (first stage of labour) bagi ibu hamil yang obes dianggarkan lebih panjang. Prosedur induksi kelahiran juga dilihat lebih kerap dijalankan untuk ibu hamil yang obes. Ini mungkin berkaitan dengan masalah-masalah perubatan seperti yang telah disebutkan. Obesiti turut dikaitkan dengan pertambahan risiko kelahiran secara pembedahan yang mencecah 7 peratus berlebihan berbanding ibu dengan berat badan yang normal.HAMIZATUL MAIZAN MOHAMED

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI