Bahaya Pestisid Dalam Bahan Makanan, Alternatif Terbaik Pilih Sayuran Organik

Kekhuatiran terhadap bahaya pestisid atau racun perosak di dalam bahan makanan membuatkan ramai orang kini beralih ke sayuran atau buah-buahan organik. Biarpun sedikit mahal daripada biasa, namun ia lebih terjamin dalam pelbagai aspek. Antaranya dapat menghalang penyebaran alahan yang kian berleluasa akibat pengambilan makanan harian yang tercemar dengan pestisid.

Produk yang ditanam secara organik amat memerlukan perhatian yang rapi sebelum ia dipasarkan. Banyak kesabaran yang mengiringi pertumbuhannya, tidak seperti tanaman biasa yang telah dicemari pestisid bagi mencegah serangga atau makhluk perosak yang lain. Akibatnya, kita yang memakan sayuran atau buah-buahan tercemar ini turut menerima natijah kesihatan jika tidak berhati-hati!

KEBAIKAN

LEBIH SELAMAT

Tanaman organik sememangnya bebas daripada semburan kimia atau pestisid sewaktu proses penanamannya. Jika dilihat daripada komposisi kandungan kimia, ia jauh lebih aman dan selamat daripada tumbuhan non-organik. Pun begitu, kita seharusnya tetap berwaspada kerana jikalau kebun tanaman tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menyebabkan penyebaran salmonella, patogen dan sebagainya. Justeru, pastikan produk organik yang dibeli dicuci bersih sebelum ia selamat dimakan.

LEBIH MENYIHATKAN

Menurut penelitian, produk-produk organik lebih tinggi kandungan fito-kimia yang berfungsi untuk meningkatkan aktiviti enzim. Enzim ini pula berperanan untuk meleraikan agen karsinogenik yang mendorong risiko kanser.

KANDUNGAN TINGGI ZAT

Melalui proses penanaman secara organik, nutrien yang terkandung di dalam produk organik anda lebih terpelihara segar. Menerusi kajian, sayuran atau buah-buahan organik mengandungi lebih banyak zat besi, karotena serta vitamin C jauh lebih tinggi untuk kebaikan tubuh.

RASA LEBIH ENAK

Buah-buahan serta sayuran organik memiliki rasa yang lebih enak, rangup dan berjus. Bagi mereka yang memiliki deria rasa yang sensitif, pasti dapat mengenal sayur yang dicemari pestisid melalui rasa pahitnya (walaupun setelah dicuci), sementara sayur organik pula terasa lebih lazat.

TAHAN LEBIH LAMA

Sayuran dan buah-buahan organik masak serta matang dengan sempurna. Tanpa campur tangan manusia, ia juga memiliki pertahanan semula jadi lebih baik terhadap hama mahupun cuaca. Oleh itu, mengapa tidak menanam sendiri beberapa jenis tanaman organik di rumah, seperti tomato atau cili yang hanya selangkah dari pintu rumah kita?

TIP

  • Vitamin B dan C mudah larut dan hilang di dalam air. Pastikan anda tidak merendam atau membasuh sayur terlalu lama.
  • Basuh sebelum memotong sayur atau buah-buahan kepada potongan kecil. Potongan yang kecil akan menyebabkan bahagian dalam sayur terdedah.
  • Jangan masak terlalu lama. Cara memasak yang paling sihat ialah secara stim atau menggunakan ketuhar dalam waktu yang singkat.
  • Makan secara mentah lebih mudah dan berkhasiat. Selain dibuat ulam-ulaman, anda juga boleh menyediakan salad campur.

 

Share
Published by
Rosmah Idayu