Pembelian barang-barang keperluan secara atas talian memang memudahkan tugas terutama wanita yang bergelar seorang ibu. Tidak perlu membuang masa mengunjungi pusat membeli-belah dan kuasa membeli hanya di hujung jari sahaja.
Namun, sikap kita yang suka menyimpan kata laluan atau password di dalam komputer riba atau laptop telah mengundang padah kepada seorang ibu di Sydney, Australia. Ini terjadi selepas anaknya lelakinya telah membeli sebuah patung edisi terhad Coles Stikeez berharga AS$10,000 (RM40,830) secara atas talian tanpa pengetahuannya baru-baru ini.
Wanita yang berusia 47 tahun itu telah merayu kepada eBay untuk memulangkan semula wang tersebut kerana dia tidak mampu untuk membayar pembelian tersebut. Donna Jacob merupakan ibu kepada kanak-kanak yang berumur tujuh tahun itu adalah pengidap autisme. Kanak-kanak tersebut telah membeli satu daripada 100 unit patung Golden Billy Banana di laman eBay.
Menurut laporan, kanak-kanak lelaki itu menggunakan komputer ibunya yang secara automatik akan mengisi butiran kad kredit pada borang pembelian dan mengesahkan pembelian.
Ibunya hanya sedar mengenai transaksi jualan itu selepas menerima email pengesahan daripada eBay. Rupa-rupanya ibu kepada kanak-kanak tersebut pernah melarang anaknya yang merupakan pengumpul koleksi Coles Stikeez membeli patung Golden Billy Banana tersebut.
“Ia sudah semestinya bukan dalam bajet keluarga kami. Saya merayu kepada penjual atas talian itu tetapi tidak diendahkan. Begitu juga PayPal yang menyatakan wang tidak dapat dikembalikan,” kata Donna Jacob kepada stesen penyiaran Channel Seven baru-baru ini.
Bagaimanapun, eBay akhirnya berjanji untuk memulangkan AS$10,000 setelah dihubungi pihak media berhubung isu itu. Begitulah kuasa media yang boleh membantu mereka yang memerlukan.
Sumber: KOSMO
“KIDS SMARTWATCH Ni Boleh Ganti HARNESS Demi Keselamatan Anak,” Kongsi Peah Ahmad
Mak-mak yang berkerjaya tentu menghadapi masalah ketika ‘melepaskan’ anak-anak ke sekolah. Lebih-lebih lagi terdapat pelbagai aktiviti di sekolah yang membuatkan mak-mak terpaksa bergantung harap kepada pakcik van untuk menghantar dan mengambil anak-anak ke rumah atau ke transit. Kalau nak bagi anak-anak handphone memang tak dibenarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Dalam hati tak keruan memikirkan anak-anak, badan sahaja di pejabat tapi fikiran di sekolah mereka.
Tertarik dengan perkongsian Peah Ahmad pemilik Butik Vendor, Malvita yang beroperasi di dua buah lokasi iaitu Pulau Pinang dan Kedah tentang Kids Smartwatch untuk anak sulungnya, Min Jasmin Lateefa yang baru berusia 5 tahun.
Di laman Instragamnya Peah ada berkongsi dengan Kid Smartwatch ini, “Baru ni saya belikan Min smartwatch kat shoppe. Since jadual dia tahun ni agak pack, tuisyen la, kelas mengaji lah. So kadang-kadang perlu jugak untuk dia call atau ping abah dia yang kadang-kadang terlupa atau ralit nak amik dia,” katanya.
Ketika dihubungi Peah menjelaskan lagi tentang manfaat Kid Smartwatch ini, “Sebenarnya mak dia yang excited bila nak beli jam ni. Zaman mak dia dulu tak ada jam yang boleh call. Saya terpanggil untuk membeli jam ini adalah demi keselamatan anak dan juga memudahkan hubungan apabila dia jauh dari pandangan seperti menghadiri kelas tuisyen dan sebagainya. Jam tangan ini ada GPS so at least boleh pantau dia ke mana-mana.
Jam ni ada banyak kelebihannya seperti mempunyai alarm. Kalau pergi shopping mall, kita click button alarm dia, akan berbunyi macam siren kecik tu. So boleh tahu atau trace dia ada di mana. Kalau nak pakaikan dia harness mungkin sudah tak sesuai lagi sebab dah besar.
Kalau Min pergi kelas tuisyen jika terjadi kelas drag atau habis kelas awal, dia boleh voice message inform atau call terus abah dia. Kalau abah dia tak sempat saya boleh ambil alih tugas mengambil dia di kelas tuisyen. So far bagi saya Kids Smartwatch ni okay. Sebab as a parents boleh kontrol masa dia,” terang Peah yang merupakan graduan UiTM.
Menurut Peah Kid Smartwatch ini tidak memudaratkan kerana mempunyai aplikasi asas sahaja untuk call and message. Berpadanan lah dengan harganya RM39. Tak ada aplikasi lain seperti You Tube dan sebagainya. Kalau ada You Tube memang tak beli la. Menariknya jam ini boleh diaktifkan mengikut keperluan. Jika berada dalam bilik darjah boleh set SLEEP MODE. “Untuk message pula, dia buat siap-siap dah group. So kalau Min voice tanya abah kat mana, mak dia dalam tu tahu la abah dia belum amik dia lagi.
By the way Kid Smartwatch ni sesuai untuk anak-anak yang berusia 5tahun ke atas. Mungkin tahun ni birthday anak boleh hadiahkan jam ni,” jelas Peah yang mencadangkan untuk beli sim card onexox hanya RM30 untuk 28 bulan.
Nampak Sebaya Dengan Anak, Rahsia DATIN SULIZA SALAM Minum Jus Dari 5 Bahan
Kesempatan mengabadikan Datin Suliza Salam bersama ketiga-tiga anaknya sebagai penghias muka depan Nona bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Seronok melihat hubungan mesra yang terjalin di antara Datin Suliza Salam dengan anak-anaknya, Izzati Zainal Nazeri, Falahi Zainal Nazeri dan penyanyi Ismail Izzani Zainal Nazeri.
Anak-anak Datin Suliza Salam bukan sahaja mewarisi kejelitaannya malah turut memiliki ‘mata kucing’ yang menjadi jolokan buat penyanyi ini. Usik-mengusik di antara 3 adik-beradik ini hanya disaksikan oleh Datin Suliza dan sekali-sekala mencelah.
Terhampur pertanyaan kepada anak-anak Datin Suliza, adakah kerap orang cakap mereka akrab seperti adik-beradik. Jawab Izzati, “Memang ramai dan selalu sangat orang cakap kami macam adik-beradik,” sambil hujung mata menyoroti kepada ibunya.
Datin Suliza bersyukur kerana mampu kekal awet muda walau di usia 54 tahun. “Saya bersyukur bila orang kata saya macam adik-beradik dengan anak-anak. Pada saya tak ada sebarang rahsia cuma tak rugi menjaga amanah Allah SWT. Badan kita ni adalah amanah Allah SWT jadi kita kena jaga.
Cara saya menjaga amanah Allah SWT ini dengan menjaga makan. Petua kecantikan senang saja setiap pagi saya memang amalkan ambil jus. Boleh minum apa juga jenis jus tapi yang saya amalkan adalah lobak merah, epal, peria, beetroot dan celery. 5 bahan ini saya campur, blend dan minum. Jus ini sangat baik untuk menambah tenaga. Kadang-kadang tukar-tukar juga,” tutur Datin Suliza yang kini bahagia dengan kehidupannya.
Selain menjaga pemakanan rupanya Datin Suliza yang popular dengan lagu Untuk Sekali Lagi juga mengamalkan pemakanan jamu. “Saya juga ada makan jamu. Memang dari kecil mak saya ajar makan jamu. Biasanya jamu yang dibuat sendiri. Saya juga mengamalkan minum kunyit tu. Saya amalkan sampai sekarang, sebenarnya kunyit itu adalah antiseptik yang terbaik. Sejujurnya mengamalkan pemakanan alami itu adalah terbaik,” ungkap Datin Suliza.
Tambah Datin Suliza, menikmati hidup yang bahagia juga salah satu faktor untuk kelihatan muda. “Memang dalam hidup ini tak ada orang yang dapat lari dari masalah, itu biasa. Hidup kan? Tapi you deal with it and try to be as good as you can. Daripada segi pemikiran, memang selalu kena berfikiran positif. Bila kita happy kita tak tertekan penyakit pun dijauhkan, insyaallah. Kadang-kadang sakit datang bila rasa tertekan dan depresi.
Satu lagi, perasaan ingin nampak okay tu kena ada. Ada setengah orang tu, bila dah meningkat usia sudah malas nak nampak cantik. Bagi saya bergaya tetap kena ada tak kira usia, tetapi dengan bersesuaian dengan usia kita. Macam usia saya tiba-tiba nak pakai ketat-ketat, tak boleh lah macam itu. Bergaya sangat perlu tetapi kena bersesuaian dengan peringkat umur.
Bercerita tentang pendidikan anak-anak pula, Datin Suliza lebih selesa memberi kebebasan kepada anak-anaknya untuk memilih bidang yang diminati. “Saya percaya kalau kita sebagai mak dan ayah restu apa juga pilihan anak-anak, insyaallah apa yang diusahakan pasti akan berjaya.
Tapi sebaliknya kalau kita paksa anak-anak jadi sesuatu dalam masa yang mereka memang tak boleh nak terima memang agak susah lah. Tinggal lagi kalau kita tetap mendoakan pun insyaallah. Macam Ismail Izzani, dia kata nak jadi penyanyi.
Saya cakap boleh nak jadi penyanyi tapi kena buat betul-betul. Bukti kepada saya Ismail boleh berjaya dalam bidang ini. Namun, bagi saya istilah anak yang berjaya sudah cukup bila anak-anak itu patuh kepada kita sebagai mak dan ayah mereka,” kata Datin Suliza sambil tersenyum menatap wajah anak-anaknya.
“Anugerah Ini Untuk Ibu Saya” Keikhlasan Abang Viva Jadi Inspirasi, Tetamu Beri ‘Standing Ovation’ Di Nona Superhero Award!
Malam Nona Superhero Award menoktahkan pelbagai kenangan suka dukanya, malam tadi. Kemuncak majlis apabila hero banjir Malaysia, Abang Viva melangkah ke pentas bersama ibu tercinta, Norbibah Hashim untuk menerima penghargaan khas Majalah Nona.
Saat itu, semua tetamu memberikan standing ovation sebagai tanda penghormatan terhadap keikhlasan Azwan Omar!
Dari Melaka ke Hotel One World Petaling Jaya, kehadiran Abang Viva bersama ibu bapanya semalam merupakan antara detik-detik manis penerima anugerah Nona Superhero Award bersama 25 penerima anugerah utama yang lain.
Ternyata bantuan solo Abang Viva sewaktu banjir melanda pada hujung tahun lalu, menyentuh hati rakyat Malaysia.
Meskipun bukan siapa-siapa, tapi keikhlasannya membawa bot, meredah air keruh dan menyelamatkan mangsa banjir cukup menyedarkan kita bahawa tindakan pantas itu menyelamatkan banyak nyawa.
Majlis yang berlangsung pada Rabu, menyaksikan sebanyak 23 kategori anugerah Nona Superhero disampaikan kepada lelaki-lelaki unggul yang menjadi pencetus revolusi Malaysia sepanjang 2021.
Diperindahkan oleh penaja utama, IDW Design & Build Sdn Bhd, majlis bermula seawal jam 7.30 malam untuk sesi karpet merah.
Suasana ruang legar Topaz Ballroom, Hotel One World Petaling Jaya bertambah elegan dengan satu sudut khas yang menampilkan konsep rekaan dalaman sentuhan IDW Design & Build Sdn Bhd yang ‘menangkap’ mata para tetamu untuk mengabadikan foto kenangan.
Laluan khas menyaksikan penampilan ramai public figures termasuk YM Tengku Datin Sri Zawyah, Puan Sri Faridah Idris, Datin Adzliana Hassan, Wak Doyok, Dr Say Shazril, Mawar Karim serta ramai usahawan berjaya negara yang menunjukkan sokongan penuh terhadap Majalah Nona.
Kehadiran tetamu utama iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Haji Omar dan Puan Sri Nooraisha Farizan; Ketua Setiausaha MEDAC iaitu Dato’ Suriani Ahmad; YM Tengku Hishammudin Zaizi dan Datin Hezita Hafiz serta Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv iaitu Syamil Fahim Mohamed Fahim menambah keserian majlis.
BERTENAGA
Bersempena ulang tahun penerbitan Majalah Nona ke-35, turut diadakan adalah acara memotong kek sebagai simbolik meraikan momen tersebut.
Ini disusuli dengan acara pelancaran apps IDW Design yang menawarkan pelbagai ciri-ciri rekaan hiasan dalaman terbaik, laksana pakar interior designer di hujung jari.
Majalah Nona membariskan lelaki-lelaki unggul yang menjadi pencetus revolusi Malaysia sepanjang 2021.
Sebagai kesinambungan Nona Superwoman Award, fenomena ini diteruskan dalam Nona Superhero Award buat julung kalinya bagi mengiktiraf kecemerlangan dan prestasi lelaki ikonik melalui 23 kategori anugerah daripada pelbagai kerjaya.
Editor Pengurusan Nona, Kiffy Razak dalam ucapan beliau berkata, majlis pengiktirafan yang diadakan buat kali pertama ini cukup bermakna kerana ia adalah tanda penghargaan wanita kepada golongan lelaki.
“Sempena ulang tahun ke-35 Majalah Nona, saya bersyukur kerana majlis pengiktirafan ini dapat juga dilaksanakan meskipun negara masih dilanda pandemik COVID-19 dan musibah banjir hujung tahun lalu.
Kami di Majalah Nona terpanggil untuk menghargai golongan lelaki-lelaki hebat yang menjadi wira sebenar sepanjang menempuh tahun 2021 yang mencabar.
Setiap individu yang diraikan pada malam ini juga adalah antara yang turut terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi namun masih mampu bertahan dengan semangat yang kuat. Tahniah kami ucapkan.” Kiffy Razak
Dengan pematuhan SOP yang ketat, pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial sepanjang majlis berlangsung, malam pengiktirafan yang dihoskan oleh Radin Amir Effendi ini turut diserikan persembahan artis terkemuka Malaysia, Dato’ Jamal Abdillah dan Noryn Aziz.
Majlis bertemakan Glam Suit ini ditaja sepenuhnya oleh syarikat pembinaan dan reka bentuk dalaman IDW Design & Build Sdn Bhd.
Ia telah distrimkan secara langsung melalui YouTube, Facebook dan Instagram Majalah Nona bersama hashtags rasmi #nonasuperheroaward dan #nonasuperhero.
Syabas dan semoga kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang pada tahun 2022!
SENARAI PENERIMA ANUGERAH
Nona Superhero Award
Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah
Nona Superhero Award
Azwan Omar
Nona Men’s Corporate Award
Datuk Kamarudin Meranun
Nona Men’s Social Media Influencer Award
Ariz Ramli
Nona Men’s Business Mentor Award
Datuk Wira Dr Azizan Osman
Nona Men’s Legend Award
Dato’ Jamal Abdillah
Nona Men’s Fashion Designer Award
Rizman Nordin & Ruzaini Jamil
Nona Men’s Style Icon Award
Awal Ashaari
Nona Men’s Inspiring Award
Syed Saddiq
Nona Men’s Chef Celebrity Business Award
Datuk Dr Redzuawan Ismail
Nona Men’s Celebrity Achievement Award
Dato’ Sri Eizlan Yusof
Nona Men’s Charity Award
Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus
Nona Men’s Paralympic Award
Abdul Latif Romly
Nona Best Interior Designer Award
IDr Lokman Hakim Ahmad Subki
IDr Rabiatul Adawiyah Rasol
Nona Best Men’s Innovative Interior Designer Award
IDr Lokman Hakim Ahmad Subki
Nona Best Halal Skincare Award
Aliff Kadir & Zirra Abdullah
Nona Best Beauty Supplement Award
Muhammad Iddin Syah
Nona Best Men’s Fashion Brand Award
Muhd Hilmi Che Azman
Nona Best Business Strategies Award
Dr CK Koh
Nona Best Innovative F&B Business Award
Vincent Lua
Nona Outstanding Business Award
Hafiz Hiew
Nona Successful Young CEO Award
Safwan Ismail
Nona Best Men’s Halal Beauty Award
Mohd Faizul Rohban Ahmad
Foto: Nu Ideaktiv