Ramai wanita yang tersenyum meleret di penghujung Ramadan ini kerana rata-rata berat badan dah menyusut. Beli baju time hujung-hujung puasa ni seronok jer sebab dah KURUS. Tapi masuk raya ketiga, baju dah mula sendat dan mula lah salah fabrik baju atau salah kan diri sendiri sebab salah pilih saiz. Mana tak nya sebab macam-macam dah masuk ke dalam perut, rendang, ketupat, lemang, lodeh, nasi tomato dan sebagainya. Makan macam balas dendam sebulan berpuasa.
Jadi, untuk mengelakkan masalah baju raya sendat, ketat dan tetas setiap wanita perlu menjaga makan walaupun tergoda dengan juadah hari raya yang begitu istimewa. Berdiet bererti mengehadkan jumlah pengambilan sesuatu jenis makanan tertentu mengikut keperluan tubuh tanpa menjejaskan kesihatan diri. Ia memang berkesan membantu mengurangkan berat badan tetapi jika tidak dilakukan dengan betul, ia hanya akan membawa kemudaratan kepada tubuh.
- Jumlah kalori yang diperlukan oleh tubuh
Diet yang salah apabila anda mengambil makanan lebih sedikit kalori daripada jumlah yang diperlukan oleh tubuh. Wanita dewasa memerlukan 1600 – 2000kcal kalori sehari manakala bagi lelaki pula, mereka memerlukan lebih kurang 2000 – 2500kcal kalori sehari. Semakin aktif diri anda bermakna semakin banyak kalori yang diperlukan oleh tubuh. Tetapi, setiap 8000kcal lebihan kalori yang terkumpul dalam badan anda sebenarnya akan menaikkan berat badan sebanyak 1 kilogram.
- Katakan tidak pada makanan berlemak?
Apabila berdiet anda langsung tidak mengambil makanan berlemak? Kecur liur melihat makanan yang berasaskan santan yang dijamu ketika berkunjung di pagi raya? Anda sebenarnya salah jika langsung tidak menjamah makanan yang berlemak. Makanan berlemak ini sebenarnya salah satu elemen penting dalam kalori yang diperlukan oleh tubuh. Apa yang perlu anda lakukan adalah menghindarkan lemak yang jahat. Lemak perlu dalam pengambilan makanan tetapi biar rendah lemak.
Tubuh kita memerlukan 50 gram lemak setiap hari. Tidak semua lemak itu jahat kerana terdapat juga lemak yang baik serta diperlukan oleh tubuh untuk meningkatkan tenaga. Lemak akan menjaga otot-otot di dalam tubuh kita agar tetap licin. Anda seharusnya memilih lemak baik yang banyak diperoleh daripada sumber kekacang dan minyak zaitun.
- Memilih kelompok makanan tertentu
Pernah kah anda mendengar teman menyatakan dia sedang berdiet protein atau berdiet karbohidrat? Amalan menghindar kelompok makanan tertentu membuatkan anda tidak mendapat khasiat yang diperlukan oleh tubuh. Amalan makan buah-buahan atau sayur-sayuran semata-mata membuatkan tubuh kekurangan vitamin atau mineral diperoleh daripada komponen makanan yang diperlukan oleh tubuh.
Hakikat sebenarnya sewaktu menjalankan program diet, tubuh kita memerlukan keseimbangan antara makanan yang masuk ke dalam tubuh dengan nutrisi untuk menjaga agar tubuh tetap sihat dan cergas. Tubuh memerlukan air yang banyak, beberapa vitamin penting, karbohidrat, sedikit lemak, mineral, serat dan oksigen. Apa yang penting, anda perlu memastikan agar program diet banyak menggalakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ini akan membantu tubuh anda membangunkan sistem imun.
- Mendapat nasihat doktor
Jika anda sudah membuat keputusan untuk mengurangkan berat badan dengan berdiet maka sebak-baiknya dapatkan nasihat doktor yang bertauliah serta pakar tentang pemakanan dan penurunan berat. Jika anda mempunyai sebarang penyakit berterus-terang dengan mereka. Pakar ini dapat menjelaskan tentang kandungan nutrisi yang sebenar yang perlu diambil.
- Makan hanya ketika lapar
Kita boleh mengehadkan makanan yang masuk ke dalam tubuh tetapi, lagi disekat makanan lebih pula cepat terasa lapar. Jadi, apabila berbuka puasa makan dalam jumlah yang sedikit dahulu. Jangan pula makan semua yang ada di atas meja. Kemudian baru mengambil makanan yang berat sedikit. Biar jumlahnya sedikit tetapi kerap. Jika terasa lapar semula baru tambah pemakanan anda. Makan mengikut perlu bukan nafsu.