Baju Sedondon & Jalan Pimpin Tangan ‘Diapit’ Bunga, YDP AGONG & RAJA PERMAISURI Macam Pengantin Baru!

Alahai, romantiknya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah! Meskipun sudah berpuluh tahun berkahwin namun kemesraan di antara Seri Paduka Baginda berdua masih mekar. Tak ubah macam pasangan yang baru bergelar suami isteri!

Yang pasti, momen indah yang berjaya dirakam jurukamera Foto Penerangan ini telah mencuit hati rakyat di media sosial. Rata-rata mereka memuji sisi romantis dan penyayang Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Hajah Azizah.

Mana tidaknya, sudahlah tampil dengan busana sedondon warna pic… siap jalan berpegangan tangan di kelilingi bunga-bungaan dan ketawa riang lagi. Terserlah aura bahagia dan ceria di wajah baginda berdua.

Difahamkan ia adalah reaksi spontan Tuanku berdua sewaktu melalui kanopi bunga di Majlis Perasmian Royal Floria Putrajaya 2019 di Taman Botani Putrajaya, petang tadi. Seperti tahun-tahun sebelumnya, festival Floria Putrajaya tahun ini diadakan bermula 31 Ogos ini hingga 8 September depan.

Sejak ditabalkan sebagai KDYMM Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu, Seri Paduka berdua menjadi inspirasi dan disenangi rakyat jelata kerana keperibadian Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Hajah Azizah yang cukup dekat di hati rakyat.

Pasangan diraja ini telah berkahwin pada 6 Mac 1986. Baginda dikurniakan empat orang putera dan dua orang puteri;

  • Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SIMP.
  • Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SSAP.
  • Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
  • Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
  • Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
  • Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Titah Tunku Hajah Azizah kepada petugas media beberapa hari sebelum Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 berlangsung, baginda bersyukur dikurniakan suami yang baik hati, sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan sepanjang 46 tahun mengenali Tuanku Abdullah, tidak pernah didengar baginda meninggikan suara.

“Tuanku ni baik. Hatinya cukup baik, tidak pernah gosip, ‘membawang’, tak pernah cakap orang jahat, tidak pernah komen, sentiasa bercakap lemah-lembut dan tidak kasar. Tuanku juga baik dengan semua orang dan layan orang tidak kira siapa pun mereka, terutama yang susah.”

 

Kredit foto: Instagram Istana Negara & Foto Penerangan

 

 

 

Share
Published by
Suzi