Sebagai mana perasaan anak rantau seluruh Malaysia yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung, begitulah jua insan-insan yang berada di luar negara. Mungkin ada yang terkandas disebabkan pintu sempadan negara ditutup kerana pandemik COVID-19 dan ada juga yang menetap atas urusan tertentu. Hanya jarak memisahkan.
Usahawan jelita, Dato’ Farah Zarina Johari Faisal Stephen atau mesra disapa sebagai Dato’ Farah mempunyai kisah tersendiri. 2 tahun berada di bumi Hawaii memberi pengalaman yang sangat berharga buat Pengarah Brilliant Star Construction (M) Sdn Bhd ini. Berusia 39 tahun, Dato’ Farah memiliki raut wajah yang eksotik.
Beliau merupakan isteri kepada Azril Bruce Philips yang merupakan pakar dalam merekrut juruterbang bagi beberapa syarikat penerbangan di Jepun serta memiliki lesen juruterbang komersil. Biarpun berlainan adat dan budaya namun Dato’ Farah menyifatkan suaminya seorang yang ikhlas menerima dirinya selain tenang, merendah diri, romantik, penyayang dan sentiasa mendahului keluarga dalam semua perkara.
Walau tak dapat pulang ke Malaysia untuk menyambut Ramadan mahupun Syawal, Dato’ Farah tetap positif. Berikut perkongsian pengalaman beliau menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan di Hawaii. Satu pengalaman yang sangat menarik bagi penulis.
“Alhamdulillah, ini kali ke-3 saya melakukan ibadah puasa di negara orang. Pertama, sewaktu saya bekerja di Papua diikuti dengan Texas dan Hawaii. Saya amat bersyukur dapat menjalani ibadah puasa di sini di kala pandemik. Saya berpeluang meluangkan masa yang lebih untuk membaca Al-Quran, mendengar ceramah secara aplikasi Zoom dan solat tarawih. Sewaktu di Malaysia dah lama saya tidak menghadiri kuliah-kuliah agama. Maka, dengan hikmah pandemik ini dapatlah saya meluangkan masa untuk mendengar kembali kuliah agama.
Di sini terdapat masjid dan imam berketurunan Arab. Tahun ini, selepas Hawaii berada di Tier-3 pihak masjid membenarkan jemaah untuk solat di masjid dengan syarat perlu mendaftar secara online 24 hours before the day of prayer untuk memberi peluang secara adil kepada umat Islam yang berada di Honolulu. Namun, saya cuma melakukan solat tarawih di rumah dan ke masjid pada 10 malam terakhir. Selalunya selepas solat di rumah, saya akan menunggu program kuliah pada pukul 9.30 malam di Zoom Meeting.
Di Hawaii kami mempunyai 2 musim iaitu summer dan winter. Disebabkan tahun ini bulan Ramadan hampir dengan musim panas, kami berpuasa lebih kurang 14 jam bermula dari jam 5 pagi sampai 7 malam. Disebabkan Hawaii di bentuk oleh beberapa pulau jadi angin kencang dari laut membuatkan kami amat selesa sekaligus memudahkan urusan berpuasa.
Di sini tiada bazar Ramadan yang besar seperti di Malaysia. Hanya ada Farmer’s Market yang menjual makanan-makanan Asia. Jikas teringin untuk merasa makanan Melayu, saya sering memesan dengan makcik Rapiah Ahmad yang berasal dari Singapura. Selalunya saya akan kongsi makanan itu dengan jiran-jiran dan teman-teman di sini. Sedikit sebanyak dapatlah memperkenalkan makanan Melayu kepada penduduk Hawaii.
Sebelum pandemik, makcik Rapiah sering menyediakan makanan untuk traveler Islam yang bercuti di Honolulu. Menu yang sering disediakannya seperti nasi lemak, nasi ambang, mee soto, pulut kuning, kerutuk daging, satay, kuih-kuih Melayu dan bermacam-macam lagi. Ini memudahkan orang Malaysia dan Singapura yang beragama Islam menikmati makanan halal di Honolulu. Bukan itu saja, walaupun Honolulu terdiri daripada pulau kecil, mini market yang menjual produk halal juga boleh didapati di sini.
SUAMI DIDIAGNOS KANSER
Sebelum suami didiagnos dengan kanser, beliau berulang alik dari Kuala Lumpur-Osaka 2 kali sebulan atas urusan kerja. Saya pula menguruskan bisnes keluarga dalam bidang construction. Suami disahkan mempunyai sel kanser yang very rare dan agresif di gelar Mesothelioma. Selepas mengetahui keadaannya, saya meninggalkan Malaysia selama 10 hari. Disebabkan di Malaysia jumlah pesakit kanser ini sangat rendah kami berangkat ke Texas, Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan rawatan.
Alhamdulillah, sepanjang ketiadaan saya di Malaysia, bapa dan keluarga banyak membantu menguruskan hal-hal syarikat. Dalam tempoh menemani suami ke Texas untuk rawatan, saya masih berulang alik ke Malaysia beberapa kali setahun atas urusan kerja. Selepas setahun, saya tanya suami sama ada mahu terus tinggal di AS sementara waktu atau pulang ke Malaysia. Suami yang masih perlu membuat rawatan susulan memilih untuk menetap di situ kerana segala rekod perubatannya ada di AS. Disebabkan perlu kembali ke tanahair untuk bekerja, saya bercadang untuk menetap di Hawaii kerana lokasinya lebih dekat dengan Malaysia.
Mungkin sudah rezeki kami, pada pertengahan Desember 2019 suami ditawarkan bekerja di sebuah anak syarikat penerbangan All Nippon Airways (ANA) berpengkalan di Honolulu, Hawaii. Sedikit sebanyak ia memudahkan urusan kami dan Hawaii adalah pilihan yang tepat.
HIDUP DALAM PANDEMIK
Sebelum pendemik iaitu pada Januari 2020, suami sudah pun memulakan tugasnya di Honolulu manakala saya berada di Malaysia. Setibanya di Hawaii pada Februari 2020, saya terkejut kerana melihat ramai yang kurang peka dengan coronavirus waktu itu. Pelancong-pelancong masih membanjiri Hawaii seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Namun saya puji kerajaan Hawaii kerana setelah Amerika Syarikat mengistiharkan national emergency, pintu masuk ke Hawaii ditutup buat pelancong dan undang-undang diperketatkan. Ini dapat dilihat dari rekod kes coronavirus di Hawaii. Ia mencatatkan kes paling rendah di Amerika Syarikat sehingga sekarang.
Hingga kini saya tidak dapat berulang alik ke Malaysia. Masa dihabiskan dengan mengeksplorasi keindahan pulau ini bersendirian atau dengan suami. Saya juga sempat melawat beberapa kedai di Waikiki yang memberi peluang kepada peniaga-peniaga di Hawaii memperkenalkan produk mereka. Sempat juga saya bertanya, bolehkah jika saya membawa produk dari Malaysia untuk dipamer dan dijual di kedai mereka. Jawapan yang diberi sangat positif. Sempat juga saya fikir, suatu hari nanti mungkin saya boleh memperkenalkan produk makanan Malaysia atau berkolaborasi dengan pereka fesyen dari Malaysia.
SAMBUT RAYA DI HAWAII
Jika tiada aral, saya dan suami merancang untuk pulang ke Malaysia pada Jun ini. Tapi sebelum itu, kami bercadang ke Pulai Maui, Hawaii untuk beraya sekaligus menyambut ulang tahun kelahiran suami di sana. Disebabkan lebih 30 peratus penduduk Hawaii sudah menerima vaksin penuh, Hawaii State Government akan membenarkan penduduk Hawaii yang mempunyai pasport vaksin dan fully vaccinated to bypass quarantine untuk melancong ke beberapa pulau di Hawaii.
Pulau Maui adalah pulau favorit saya. Bila kerajaan negeri membenarkan penduduk Hawaii untuk terbang ke mana-mana pulau tanpa perlu kuarantin, saya terus mengusulkan pada suami untuk terbang ke sana.
Perkara pertama yang akan saya lakukan bila pulang ke tanahair, semestinya selepas kuarantin di Malaysia saya ingin meluangkan masa bersama keluarga. Kedua, ke pejabat bagi menyelesaikan segala kerja. Kalau boleh saya ingin bertemu teman-teman di Malaysia tetapi saya akan lebih berwaspada kerana setelah setahun lebih tidak melakukan kegiatan sosial disebabkan COVID-19, tidak mungkin saya akan ambil mudah walaupun sudah menerima suntikan vaksin,” akhirinya.
Kredit Foto: Instagram & Facebook Dato’ Farah Zarina
BACA JUGA : 100 Kuntum Mawar, Kek Unicorn & Sebentuk Cincin. Menyinari Detik Lamaran DATO’ FARAH & AZRIL BRUCE