Saat berita perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan diumumkan pada hujung minggu lalu, ia bukan saja menggembirakan hati rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang bahkan seluruh Malaysia turut teruja dengan perkhabaran tersebut. Selain memilih wanita Sweden sebagai bakal isteri, perkahwinan Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra juga mencipta sejarah tersendiri apabila baginda bertitah agar cenderamata sempena sempena istiadat perkahwinan itu nanti disumbangkan kepada badan kebajikan Kelantan seperti Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK), Rumah Anak-Anak Yatim dan Orang Tua serta Persatuan Bulan Sabit Merah.
Ternyata, keluarga diraja Kelantan sangat dekat dengan sifat kesederhanaan dan mementingkan kebajikan rakyat. Memetik pengumuman Ketua Istiadat Pejabat Istana Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal … istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung secara sederhana dan tertutup pada malam 19 April di Istana Balai Besar, Kota Bharu.
“Sukacita saya dengan hormatnya menjunjung titah perintah Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan akan melangsungkan perkahwinan pada Jumaat, 13 Syaaban 1440H bersamaan 19 April 2019 di Istana Balai Besar.
Baginda berharap agar sekalian rakyat dapat mendoakan perkahwinan baginda kelak dipermudahkan dan dirahmati Allah sehingga Jannah.”
Menurut kenyataan Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean lagi, bakal isteri baginda merupakan kenalan lamanya iaitu Sofie Louise Johansson berusia 33 tahun.
Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra diputerakan pada 20 Januari 1974 di Kota Bharu, Kelantan dan merupakan putera kedua daripada empat beradik.
Sumber: Bernama