Gaya Hidup

Bakal Sambut Kelahiran Anak Keempat, DYNAS MOKHTAR Teruja Nak Dapat Baby Girl!

Pelakon dan pengacara, Dynas Mokhtar bakal menimang cahaya mata perempuan yang juga merupakan anak keempatnya yang dijangka dilahirkan pada Jun hadapan.

Dynas atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar sememangnya teruja dengan kehamilan kali ini dan bakal menimang seorang lagi anak perempuan. Menerusi perkahwinan terdahulu, Dynas dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Khyra Khalyssa dan Mohamed Haqaish.

 

Baru-baru ini, selebriti yang juga merupakan seorang usahawan ini menganjurkan majlis baby shower untuk dirinya yang bertemakan rona merah jambu. Umum mengetahui Dynas bakal menimang cahaya mata perempuan berdasarkan perkongsian dirinya mengenai kehamilan kali keempat ini.

“Kehamilan anak keempat ini tidak dirancang dan saya juga berasa risau risiko dan komplikasi ketika mengandung pada usia menjelang 40-an ini. Saya harap anak keempat ini adalah yang terakhir,” ujar Dynas.

Ditanya hamil pada usia menjelang 40-an, Dynas mengakui berbeza berbanding ketika mengandung pada usia 20 dan 30-an.

“Terus terang, saya memang berasa cepat penat sepanjang mengandung anak keempat ini. Saya masih lagi berlakon ketika dapat tahu diri ini mengandung dua bulan. Namun, saya memutuskan untuk berehat seketika dari aktiviti penggambaran sehingga selepas selesai menjalani tempoh berpantang selama 100 hari nanti.

Dari segi persiapan menyambut kelahiran bayi, Dynas  menyediakan kelengkapan bayi yang kebanyakannya baru untuk menerima kehadiran anak keempat dalam keluarga. Setiap kali hamil, Dynas tidak pernah lupa meraikan majlis baby shower untuk meraikan kandungannya.

Untuk rekod, Dynas berkahwin dengan ahli perniagaan, Mohamad Shazrik Che Mohd Din, 40, pada April 2018 dan dikurniakan anak lelaki, Edriel Obil, 4. Menerusi perkahwinan terdahulu, Dynas dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Khyra Khalyssa, 13, dan Mohamed Haqaish, 11.

Share
Published by
Rosmah Idayu