Bakal Timang Cahayamata Lelaki, Raja Syahiran & Uyaina Arshad Senarai Nama Bermula Huruf U

Tahniah diucapkan buat pasangan selebriti Uyaina Arshad dan Raja Syahiran bakal menimang cahaya mata lelaki yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Berita gembira tersebut dikongsi Uyaina menerusi hantaran dalam Instagram sempena acara gender reveal (pengumuman jantina) semalam. Uyaina dan Syahiran berkongsi momen majlis pengumuman jantina anak mereka di Janda Baik, Pahang semalam.

“Alhamdulillah, kami bakal menerima kehadiran anak lelaki. Saya kini sedang menunggu hari untuk bersalin. Pada mulanya, saya dijangka melahirkan anak pada awal September tapi doktor katakan mungkin pada bila-bila masa sahaja saya boleh bersalin.

“Saya memohon doa orang ramai agar proses melahirkan cahaya mata sulung berjalan lancar dan dikurniakan anak soleh yang baik,” kata Uyaina.

Mengulas mengenai nama anak, Syahiran mendedahkan mereka masih belum memutuskan nama penuh yang mahu diberikan kepada cahaya mata mereka.

“Nama penuh anak belum kami muktamadkan lagi. Kami berdua sudah ada beberapa pilihan nama yang mempunyai maksud indah tetapi kami masih belum dapat memilih yang terbaik.

“Insya-Allah, permulaan nama itu akan bermula dengan Raja dan kemudian nama kedua akan dimulakan dengan huruf U,” kata Syahiran.

Menjengah laman Instagram milik Uyaina, keterujaan bakal ibu ini dapat dilihat melalui perkongsian di laman sosial miliknya serta para peminat yang mendoakan semoga proses kelahiran bakal berjalan dengan lancar.

“Bismillah, Alhamdulillah. It’s a boy (dia lelaki). Doakan keluarga kecil kami,” tulisnya ringkas.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut yang terdiri daripada peminat mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan mendoakan urusan bersalin dipermudahkan nanti.

“Tahniah. Tak sabar nak tunggu baby (bayi) ‘Raja’ lahir. Semoga dipermudahkan urusan kelahiran.

Untuk rekod, sehari sebelum umat Islam berpuasa awal April lalu, pelakon dan pengacara itu berkongsi berita gembira dan mengesahkan dirinya sedang hamil anak sulung dengan usia kendungan memasuki tiga bulan.

Namun begitu, perjalanan awal kehamilan Uyaina diuji apabila tidak sampai dua minggu berkongsi berita gembira, Uyaina terpaksa menjalani pembedahan membuang apendiks selepas mengalami kesakitan teruk pada bahagian bawah perut sebelah kanan.

Selang beberapa hari selepas membuang apendiks, bekas pengacara program Wanita Hari Ini itu sekali lagi diuji apabila doktor memaklumkan dia mengalami keradangan pada dinding rahim hingga memaksa pembedahan dilakukan sekali lagi.

Uyaina dan Raja Syahiran bernikah di Colony Star Boulevard di ibu negara pada 20 Disember 2021 yang lalu.

Share
Published by
Rosmah Idayu