Luar biasa penangan Marie Kondo! Siapa sangka, dari sekadar hobi mengemas rumah untuk dapat duit sampingan kini menjadikan Marie terkenal di seluruh dunia dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda menerusi bisnesnya KonMari.co.
Ads
Marie Kondo atau lebih dikenali sebagai Konmari merupakan perunding pengurusan, penulis dan personaliti TV. Bukan sahaja berkemahiran melipat baju malah dia mempunyai method untuk mengemas rumah, rak atau kabinet yang berselerak.
Ibu tiga cahaya mata ini juga merupakan pengasas KonMari.co dan penulis buku dan kisahnya pernah disiarkan di Netflix.
Setakat ini Marie sudah pun menerbitkan empat buah buku mengenai prinsip susun atur dan pengurusan yang diperkenalkan menerusi Konmari.co.
Karya terbaharu Marie, ‘Kurashi at Home’ telah dilancarkan pada 15 November lalu. Kurashi membawa maksud cara hidup yang mengetengahkan cara mudah untuk tenang dan gembira terhadap rutin harian.
Marie mula bergelar pakar mengemas profesional di Jepun ketika berusia 19 tahun selepas dia secara tidak sengaja menawarkan servis mengemas rumah rakannya untuk mendapatkan wang tambahan.
Dia kemudian merasakan khidmat tersebut boleh dijadikan sebagai bisnes dan kerjaya terbaik buatnya. Bertitik tolak dari situ, Marie melancarkan buku The Life-Changing Magic of Tidying Up yang asalnya ditulis dalam Bahasa Jepun kemudian diterjemah ke Bahasa Inggeris sebelum memasuki pasaran buku di Amerika Syarikat pada tahun 2014.
Ads
Mengejutkan apabila buku tersebut laris dijual. Bagaimana pun waktu itu Marie belum begitu fasih berbahasa Inggeris dan ia mengehadkan jelajah promosi bukunya.
Mujur wartawan bebas dan penulis buku, Penelope Green yang membuat ulasan mengenai buku tersebut memberi komen positif sekaligus menjadikan ia buku terlaris di New York Times.
Memetik laporan portal Observer buku tersebut telah diterjemah kepada 44 bahasa termasuk Korea, Cina, Indonesia, Sweden dan Sepanyol serta mencatat 8 juta naskhah berjaya dijual di seluruh dunia.
Marie kini berusia 38 tahun dan berkahwin dengan Takumi Kawahara pada tahun 2012. Wanita yang mencintai kekemasan ini juga disenaraikan 100 Most Influential People 2015.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Walaupun penampilannya keanak-anakan, namun pemilik kafe ini mempunyai visi yang jelas dalam mengejar matlamat perjalanan perniagaan.
Menghabiskan masa remaja di depan ketuhar tidak disia-siakan Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, 26, demi merealisasi semangat jiwa muda mengejar impian.
Rasa kasih yang tidak pernah putus terhadap kanak-kanak serta mahu sering berdamping dengan mereka telah mencetus gagasan pusat belajar memasak untuk kanak-kanak dan kafe yang diberi nama Gula Cakery.
Bagaimanakah anda boleh mencebur diri dalam perniagaan dalam usia yang muda?
Menceburi diri dalam dunia perniagaan datang daripada sikap saya yang tidak tahu duduk diam. Sejak usia 16 tahun, saya sudah pandai mencari duit poket dengan membuat kerja sambilan seperti bekerja di Nando’s, Topshop dan pernah menjadi pembantu peribadi di sebuah syarikat di kota raya.
Sebaik tamat sekolah menengah saya terus cuba bergiat aktif dalam perniagaan secara kecil-kecilan. Mula berjinak-jinak berniaga dengan menjual kek di flea market dan pusat membeli-belah ketika itu.
Bagaimanakah mendapat idea untuk membuka kelas masakan untuk kanak-kanak dan kafe sekali gus?
Saya memperoleh ijazah pendidikan awal kanak-kanak dalam masa yang sama suka membuat kek. Tidak mahu melepaskan kedua-duanya maka saya rangkumkan menjadi satu dengan mengajar kanak-kanak membuat kek.
Hendak mengajar di rumah seperti tidak sesuai dan saya memang mempunyai impian untuk membuat sekolah yang betul-betul untuk kanak-kanak belajar membuat kek. Malah orang dewasa juga tidak dipinggirkan.
Gula Cakery Cafe pula terbentuk apabila ramai pelajar saya sering memuji masakan ibu di dalam kelas. Pada saya tidak salah untuk memperkembangkan sayap perniagaan dengan membuka kafe ini.
Apakah matlamat anda dalam perniagaan ini?
Saya mempunyai matlamat untuk membekalkan pendekatan pembelajaran holistik kepada kanak-kanak dan home bakers.
Manakala untuk kafe pula saya mahu menyediakan ruang yang selesa buat ibu bapa dan anak-anak mereka menikmati makanan yang disediakan. Dalam masa yang sama kanak-kanak boleh bermain di ruang yang disediakan tanpa perlu pantauan ketat oleh ibu bapa.
Apakah cabaran memulakan perniagaan pada usia yang muda?
Apa sahaja bidang yang kita ceburi pasti akan ada cabaran. Bagi saya cabaran itu tidak melihat usia. Setiap cabaran yang datang saya terima dengan positif dan mengambilnya sebagai salah satu pembelajaran berguna dan membantu memperkenalkan jenama kita di mata masyarakat.
Pernah juga diperlekehkan oleh orang lama dalam dunia perniagaan disebabkan usia setahun jagung ini tetapi, saya yakin orang yang lebih berusia mempunyai pengalaman lebih. Saya berharap dapat belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam membina perniagaan ini.
Siapakah pendorong kuat dalam mencapai kejayaan ini?
Keluarga adalah pendorong utama saya mengecap kejayaan ini. Walaupun mereka sama seperti saya langsung tidak mempunyai ilmu dalam perniagaan tetapi sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan.
Ibu dan bapa saya mempunyai latar belakang dalam bidang latihan (training), abang pula dalam bidang rekaan dalaman manakala kakak pula seorang akauntan. Garapan kepakaran mereka banyak membantu saya dalam perniagaan untuk terus mengorak langkah ke hadapan.
Pada pandangan anda mengapa wanita perlu mempunyai kerjaya sendiri?
Pada pandangan saya wanita masa kini memang perlu bekerja. Bekerja yang dimaksudkan tidak semestinya bekerja di pejabat.
Wanita sekarang beruntung kerana mempunyai banyak peluang bekerja dari rumah. Bekerja di rumah atau di pejabat tetap sama iaitu untuk belajar berdikari dan membantu menjana pendapatan keluarga. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tan Sri Michelle Yeoh bukan suatu nama yang asing bagi peminat dunia seni tempatan dan antarabangsa. Anak kelahiran Ipoh, Perak ini telah mempertaruhkan bakat dalam bidang lakonan sehingga diterima oleh pengiat seni di Hollywood. Usaha wanita yang mempunyai ketinggian 163 sentimeter ini nyata berbaloi.
Filem lakonan Tan Sri Michelle Yeoh bukan calang-calang dan berjaya melakonkan watak sebagai ‘Gadis Bond’ yang diidamkan oleh pelakon wanita seluruh dunia. Bergandingan dengan pelakon terkenal, Pierce Brosnan dalam filem Tomorrow Never Dies yang ditayangkan pada tahun 1997 benar-benar mencipta namanya di persada dunia.
Walau bagaimanapun, dalam filem Crazy Rich Asian tan Sri Michelle Yeoh membawakan watak sebagai ibu kepada pelakon Hendry Golding benar-benar melekat di hati seluruh peminatnya. Hampir 30 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, nampaknya bakat wanita yang pernah mendapat gelaran Miss Malaysia Pageant 1983 ini masih diperlukan. Projek terbaharunya termasuk melakonkan watak adiwira terbaharu, Shang-Chi oleh Marvel Film.
Terbaharu, Tan Sri Michelle Yeoh telah mencipta sejarah, apabila telah dinobatkan sebagai salah seorang daripada 100 Most Inspiring and Influential Women 2020 oleh British Broadcasting Corporation (BBC). Segala usaha dan jerih perih wanita yang berusia 58 tahun ini nyata ‘terbayar’ dengan penghargaan sedemikian rupa.
Siapa yang tidak bangga melihat nama tersenarai begitu. Tan Sri Michelle Yeoh juga teruja apabila melihat namanya tersenarai. “Great honour to be part of the list along with all these amazing influential women,” tulisnya di laman media sosialnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Benarlah, pengalaman hidup menjadikan siapa kita pada hari ini. Banyak yang kita belajar maka banyaklah juga pengalaman yang akan kita dapat.
Puan Sri Normala Samsudin, 57, yang terkenal dengan gelaran ‘Wanita Melayu Terakhir’ kini bahagia menjalani kehidupan peribadi membawa status isteri kepada bekas ahli politik, Tan Sri Azmi Khalid.
Siapa pun dirinya kini, Puan Sri Normala sentiasa menyantuni ibu yang kini berusia 84 tahun. Baginya doa dan restu ibu amat penting dalam kehidupan seorang anak.
Seronok melihat keakraban Datin Sri Normala dan ibunya yang dipanggil ‘Mak’ walaupun kini mereka terpaksa berjauhan disebabkan kekangan COVID-19. Pun begitu, mereka sentiasa berhubung melalui panggilan video setiap hari untuk melepaskan rindu.
“Ketika kecil saya sudah merasa hidup susah. Hidup membantu keluarga, melihat bagaimana Mak yang bergelar ibu tunggal mencari wang demi keluarga. Saya melihat Mak seorang yang sangat kuat. Macam-macam usaha yang dilakukan Mak demi mencari sesuap nasi antaranya dengan menoreh getah, berkebun dan sebagainya.
Semua kerja-kerja orang perempuan saya dah belajar sejak kecil. Dalam erti kata lain persediaan saya untuk menjadi seorang isteri seperti memasak dan melakukan kerja-kerja rumah sudah dididik oleh ibu sejak awal lagi.
Saya kagum dengan Mak kerana semangatnya yang luar biasa telah menjadikan siapa saya sekarang ini. Antara kata-kata Mak yang paling terkesan dalam hidup saya ialah tentang hikmah perceraian. Ketika saya pernah gagal dalam perkahwinan, demi menjaga hati saya, Mak berkata soal jodoh Allah yang tentukan. Semua yang terjadi ada hikmah dan kita kena sabar. Ringkas saja kata-katanya tetapi penuh makna tersirat.
PEREMPUAN KENA RAJIN KE DAPUR
Bagi saya orang perempuan perlu ada usaha untuk belajar memasak. Sedap atau tidak itu bukan perkara utama. Apa yang penting adalah usaha dan sentiasa praktis walaupun tak pernah pegang senduk. Saya sendiri sejak usia 9 tahun sudah pandai memasak. Sebagai anak sulung pagi-pagi lagi saya sudah ke dapur untuk masak cekodok dan lempeng pisang.
Saya dan adik perempuan memang diajar untuk tahu memasak sejak kecil. Bukan hanya belajar tanak nasi atas dapur kayu dan membuat kuih-kuih kampung bahkan kami juga belajar bagaimana cara nak kukur kelapa. Selain menoreh getah, ibu juga adalah penjual kuih-kuih kampung.
Siang Mak menorah getah, malam pula sediakan bahan-bahan untuk buat kuih. Sebelum Subuh kuih dah siap untuk dihantar kepada penjual. Walaupun untung tak besar namun dapatlah juga beli baju sekolah dan pensil. Lagi pun niat saya bantu Mak buat kuih nak cari duit belanja sekolah. Lama-lama jadi seronok pula bila dapat upah bantu buat kuih. Hasilnya, kita menjadi anak-anak yang sentiasa ingat kesusahan orang tua yang membesarkan kita.
NASIHAT
Doa ibu sangat penting kepada anak-anak. Saya sering mengingatkan anak-anak perempuan tentang tanggungjawab sebagai isteri. Dalam rumahtangga perlu banyak bersabar dan berkompromi. Walaupun adakalanya kita rasa kita betul tetapi cuba bercakap secara baik dengan suami. Kalau di tempat kerja kita seorang ketua, di rumah kita tetap seorang isteri dan ibu. Sentiasa berdoa agar suami mudah lembut hati.
Wanita zaman dulu lebih banyak bertenang dan sabar. Selalunya orang-orang yang lebih tua akan sentiasa ada untuk memberikan nasihat. Contoh Mak saya, walau macam mana pun kehidupannnya dalam rumahtangga ibu tidak pernah bising atau tunjuk depan anak-anak. Tidak bercerita sana sini.
Sebaliknya pula yang berlaku pada zaman ini. Ada masalah sikit terus kongsi di media sosial. Ini sebenarnya satu ‘penyakit’ merbahaya. Bagaimana buruknya keadaan rumahtangga atau terguris hati dengan suami jangan sesekali memuat naik status di media sosial. Saya sendiri tak menyokong perbuatan ini.
Bagi saya tanpa ilmu seseorang itu tak akan mampu pergi lebih jauh. Sebagai wanita juga kita perlu bekerja. Jangan terlalu bergantung kepada duit suami terutama pada zaman sekarang. Harus ada prinsip ‘saya perlu bekerja’. Maka, setiap anak perlu dididik dengan pelajaran. Sekurang-kurangnya dengan adanya ilmu mereka tahu untuk handle kehidupan yang kian mencabar.
Sekarang ini saya banyak menguruskan kerja-kerja di rumah termasuk berkebun seperti menanam ulam ulaman, pokok pisang, pokok rambutan dan sebagainya. Memandangkan anak-anak pun dah besar maka masa saya lebih banyak di Perlis. Selain itu, saya juga aktif dengan aktiviti hiking.”
Kredit Foto: Instagram @normalasamsudinofficial
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...