Memang ralit tengok video-video masakan yang dikongsikan Anis Nabilah di media sosial. Bukan hanya berkongsi menu tradisi dan sajian Barat, dessert pun ada! Bersandarkan personaliti menarik Anis dan kepetahannya di depan kamera membuatkan peminat ternanti-nanti posting terbaharu wanita genit ini.
Yang pasti, aura Anis atau nama penuhnya Anis Nabilah Umaruddin cukup terkesan di hati penonton. Malah cef selebriti yang mula bersinar dalam rancangan masakan Icip-Icip pada tahun 2007 ini makin bertapak kukuh dalam industri kulinari tanah air.
Waktu itu Icip-Icip ditayangkan di saluran Asian Food Channel (AFC) dan merupakan program masakan pertama Malaysia disiarkan dalam saluran berkenaan sekaligus menjadikan dia individu termuda tampil dalam AFC. Bakat mengacara dan memasak Anis turut disiarkan menerusi My Taste of Hong Kong di saluran TLC Asia dan Eating Wild di AFC.
Bakal meniti usia 35 tahun pada 18 November depan, Anis mempunyai pengaruh besar dalam bidang kulinari. Setiap video masakan yang dikongsi wanita bertubuh ramping ini pasti mendapat perhatian penggemar makanan. Malah, Anis juga menjadi antara pencetus fenomena Thermomix dalam penyediaan makanan mudah dimasak menggunakan teknologi serba canggih berkenaan.
Berbekalkan kepakaran dan minat terhadap bidang penyediaan makanan sejak kecil lagi membuatkan Anis mampu berdiri setanding cef selebriti popular lain. Mempunyai keluarga besar dan ramai, anak keempat daripada lapan beradik ini mengakui berdepan banyak cabaran sepanjang menceburi karier masakan. Namun dia tetap tidak patah semangat untuk berjaya di samping mahu berkongsi pengalaman dengan masyarakat.
“Sewaktu mula-mula ingin membina kerjaya sebagai seorang cef selebriti, ramai yang mempertikaikan kebolehan saya. Status saya yang masih bujang, belum mempunyai anak dan umur yang muda menjadikan mereka meragui kebolehan saya memasak.
Tapi saya tidak mempedulikan komen-komen negatif tersebut kerana saya memang melakukan perkara yang saya minat dan tujuannya adalah untuk menambah dan berkongsi ilmu. Bahkan ia tidak ada kaitan langsung untuk mengejar popularity,” jelas Anis yang memiliki kelulusan diploma Food Institute of Malaysia (FIM).
“Ibu saya ada berpesan, whatever you do in your life, you have to make a difference. Jadi, saya percaya sebagai seorang cef selebriti, kerja saya bukan hanya memasak tetapi untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dan bermakna bukan hanya kepada diri sendiri tetapi orang lain juga.
Diharapkan, dengan perkongsian resipi dan cara memasak ini dapat menarik orang-orang muda di luar sana untuk mula belajar memasak walaupun sesetengah orang mungkin menganggap memasak ini sesuatu yang remeh dan tidak penting.
Sebenarnya, bila pandai memasak kita akan tahu apakah bahan-bahan yang digunakan untuk menyiapkan hidangan makanan tersebut. Ini kerana untuk menjadi sihat ia bermula daripada apa yang kita makan.
Selain itu, mempunyai kebolehan memasak juga akan membuatkan anda menyediakan makanan yang sihat untuk keluarga dan orang yang tersayang”, ungkap penerima Nona Culinary Award ini.
Kredit foto: Instagram Anis Nabilah