Baki Akaun Pernah Zero, Hutang Keliling Pinggang, Kini Rina Hashim Buktikan Berkatnya Rezeki Yang Dikongsi

Sekuat apa pun digenggam, bila ia belum rezekimu pasti akan hilang. Begitulah prinsip yang dipegang Nurina Hashim, wanita Kelantan yang juga pengusaha emas 916 ketika bisnesnya di ambang kerugian dahulu.

Bukan sekadar peramah dan mudah didekati, tapi Rina juga memiliki aura positif yang menyenangkan. Mungkin bagi yang baru mengenali, pasti tidak menyangka bahawa pengasas Makeydaps berusia 35 tahun itu pernah jatuh terduduk dalam perniagaan.

Enggan terus bersedih, usaha dan tindakan Rina beralih industri menjadi titik tolak kejayaannya hari ini.

Rina Hashim mesra digelar ‘Mama’

 

Keluarga sumber kekuatan Rina

 

Rina bersama suami dan anak-anak kesayangan

 

“Sebelum mulakan bisnes sekarang, saya pernah berniaga macam-macam sejak usia 17 tahun.

Bila masuk umur 22 tahun, saya bekerja di syarikat landskap sebagai kerani kemudian dinaikkan pangkat ke bahagian projek dan jualan. Selang beberapa tahun kemudian, saya mulakan bisnes emas 916.

Tapi nak dijadikan cerita, bisnes pada hujung tahun 2019 mengalami kejatuhan. Waktu tu saya telah difitnah macam-macam sampaikan saya langsung tiada apa-apa.

Bayangkan team tinggalkan saya dan saya terpaksa mula semula bisnes dari bawah dengan hati yang hancur dan maruah yang tercalar.

Saya betul-betul sedih masa tu. Dengan baki zero dalam akaun, hutang keliling pinggang dan tanggungan keluarga yang banyak, saya cuba bangkit dengan seribu kepayahan.

Produk Makeydaps diusahakan dengan resipi istimewa

 

Bisnes kambing dan ayam perap Makeydaps

 

Team Rina mula berkembang pesat

 

Dalam tangan saya cuma ada modal beberapa puluh ringgit saja. Dengan niat mencari rezeki yang halal, saya mulakan produk pertama, chicken chop Makeydaps berharga RM6.

Dengan beraninya saya masak chicken chop 50 bungkus pada hari pertama, tanpa ada tempahan dari sesiapa. Hanya tawakal je waktu tu, saya terus pergi jual ke sekolah-sekolah di kawasan rumah dan alhamdulilah, jualan tu habis dalam masa dua jam saja.

Hari kedua saya tingkatkan kepada 100 bungkus. Dan berkat rezeki Allah bagi, jualan itu licin dan sejak itu permintaan chicken chop saya meningkat tinggi.

Saya mula lantik pekerja dan bina team. Cabaran saya waktu tu adalah buang ego kerana saya seorang yang berego tinggi waktu tu. Tapi tengoklah bagaimana masa mengubah segalanya. Peristiwa ini juga menjadikan saya seorang yang berbeza…” Rina Hashim

Rina kini mampu memiliki kedai operasi sendiri

 

KEBERKATAN

Rezeki yang berkat adalah rezeki yang di dalamnya ada keredaan daripada Allah SWT, suami dan ibu bapa.

Rina juga memegang kepercayaan bahawa rezeki dari titik peluh sendiri akan lebih berkat jika kita mampu membuat ramai orang bahagia daripada rezeki yang dikongsikan. Dan kita tanpa rasa ragu-ragu untuk berbahagi rezeki tersebut.

Ketika ekonomi global dilanda krisis pandemik, terdapat segelintir bisnes yang meningkat lebih baik berbanding sebelum wabak COVID-19.

Bimbingan dan latihan turut diberikan

 

“Alhamdulilah kini saya mampu ada kedai dan team sendiri. Mereka juga bermula daripada zero dan kini masing-masing mampu mengubah hidup mereka bersama bisnes yang saya mulakan.

Tak dinafikan terdapat juga struggle tersendiri dalam bisnes saya. Dari segi pengeluaran produk, situasi staf yang tak boleh bekerja terlalu ramai pada satu-satu masa sedikit melambatkan.

Selain itu ada juga struggle dari aspek mendapatkan pembekal dan kos bahan mentah yang meningkat.” Rina Hashim

 

Menjadikan Rasulullah SAW dan mentor bisnes, Datuk Wira Dr Azizan Osman sebagai idolanya, Rina meletakkan harapan tinggi agar penyertaannya dalam program realiti TV, Pencarian Nona Superwoman bakal melonjakkan nama beliau sebagai ikon wanita lain.

“Saya berharap kisah ini dapat menjadi inspirasi dan wanita lain juga mampu bangkit dari keadaan mereka sekarang. Jangan ‘stucked’ dengan masalah yang datang kerana saya tahu pasti ramai yang sebenarnya berusaha untuk keluar dari belenggu yang ada tapi kurang kekuatan dan kadang-kadang takt ahu cara bagaimana untuk bangkir semula.

Harapan saya adalah dengan melalui program Ini, saya mampu memberi manfaat kepada ramai orang di luar sana. Supaya mereka sedar bahawa hidup adalah pilihan kita, mahu senang atau susah, kaya atau miskin.

Sewaktu dilahirkan kita tak pakai tag kaya atau miskin. Kita semua sama. Yang membezakan adalah cara kita berfikir dan tindakan kita,” akhiri wanita dari Pasir Mas itu.

Saksikan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.

Share
Published by
Norzalina