Balik Dari OUTSTATION, KAKITANGAN SYARIKAT Positif COVID-19, Kini Anak Pula Di HOSPITAL

Sekarang ini penularan wabak Covid-19 semakin menjadi-jadi. Gelombang kedua yang melanda negara membuatkan kes semakin meningkat dari hari ke hari. SOP langsung tidak di ambil peduli. Saranan kerajaan juga menggalakkan kakitangan untuk bekerja dari rumah tetapi terdapat sektor yang memerlukan mereka masih menjalankan urusan di pejabat.

Baru-baru ini ada perkhabaran yang menarik perhatian. Seorang kakitangan disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari bekerja di luar kawasan. Belum lagi saranan PKPB dikuatkuasakan namun tempat persinggahan atas urusan kerja itu berada di negeri yang mencatat jumlah kes paling tinggi di Malaysia. Kisah yang dikongsikan Harlina Arshad ini boleh membuka mata masyarakat terutamanya majikan untuk mengambil serius soal kesihatan kakitangan.

“Perjuangan saya melawan Covid-19 terasa sungguh lama. ‘Penginapan’ sementara di hospital hampir membuatkan saya depress. Mana tidaknya, asyik memikirkan tanggungjawab yang terabai kepada suami dan paling penting, anak-anak yang masih kecil. Anak kedua saya juga disahkan positif walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.

Semuanya bermula apabila saya keguguran baru-baru ini. Selesai cuti berpantang, saya masuk ke pejabat seperti biasa. Apabila diarahkan untuk ke luar kawasan atas tugasan rasmi di Selatan tanah air, saya terima dengan hati yang terbuka. Tugas itu adalah amanah, tak apalah kan? Itu bisikan hati saya.

Selesai sesi mesyuarat, kami sama-sama makan tengah hari. Saya duduk berselahan seorang ahli mesyuarat tanpa mengetahui keadaan kesihatan beliau ketika itu. Itu juga adalah satu-satunya masa saya membuka pelitup muka. Masa makan kan? Mestilah buka mask! 30 minit lebih kurang masa saya bersama ketika lunch hari itu,” tulisnya.

Ikutkan jadual perjalanan Harlina, dalam sebulan itu terlalu kerap dia ke luar kawasan. Ke sana sini memandu sendiri dan berjumpa ramai orang. Penat jangan ceritalah. Sehingga pada suatu hari, dia mulai terasa kepenatan dan badan mulai menunjukkan tanda.

“Disebabkan penat, saya mengambil MC. Masih sihat lagi tapi keesokannya harinya, dalam perjalanan nak ke lif untuk balik rumah, terasa sakit pada pinggang dan sendi. Lepas itu mula pening-pening dan sakit kepala. Bila berdiri, rasa hendak jatuh! Sejak itu saya memang duduk di rumah. Memang selepas itu badan semakin sakit dan saya ambil keputusan ke klinik. Anak-anak saya hantar ke rumah ibu.

Enam hari selepas pulang dari outstation, saya mendapat perkhabaran ahli mesyuarat yang duduk sebelah saya sewaktu lunch break disahkan positif akibat jangkitan dari suaminya. Tiba-tiba anak saya yang sulung pula mula menunjukkan tanda-tanda selsema, batuk dan sakit-sakit badan. kami terus ke hospital untuk buat swab test. Tak tunggu lama, esoknya suami hubungi hospital untuk tahu keputusan.”

ANAK UMUR 2 TAHUN POSITIF COVID
Seperti yang dirasai, Harlina disahkan positif. Tetapi, anaknya yang menunjukkan tanda-tanda negatif. Namun, ia tidak hanya sampai di situ.

“Wakil dari Pejabat Kesihatan menghubungi saya untuk ambil keterangan dan ambulans akan datang mengambil saya jam lima petang. Saya terpaksa menyuruh mereka tunggu di pagar guard house dan siren dimatikan. Bimbang nanti jiran-jiran panik. Dalam ambulans, hanya Allah tahu perasaan saya. Dan dalam ambulans juga saya menangis. Saya tak mahu mengalirkan air mata depan Aina, anak saya. Entah balik entah tidak… Adakah ini pertemuan terakhir saya dengan suami dan anak-anak.

Apabila saya disahkan positif, seorang lagi anak perempuan saya, Aisyah di bawa unutk swab test. Keputusannya dalam 24 jam. Hari ini, deria bau dan rasa mula hilang. Dada pula mula sakit dan sukar bernafas. Keesokannya suami menghubungi saya dan Aisyah disahkan positif!

Baru sesaat tadi saya dapat berita Aisyah positif, fikiran dah mula membayangkan sampai ke ajalnya. Allahuakhbar… Saya mula tak senang duduk. Setiap setengah jam saya hubingi suami untuk tahu keadaaan di sana sedangkan saya sudahpun berada di Hospital Sunga Buloh. Beberapa jam selepas itu, suami beritahu Aisyah dah naik ambulans. Fikiran saya menerawang membayangkan Aisyah naik ambulans seorang diri. Dia takut orang yang dia tak kenal. Nak lagi dengan orang yang lengkap PPE, lagi dia takut…dan itu membuatkan saya lebih tak senang duduk.

Saya berwuduk dan solat hajat. Doa banyak-banyak minta Allah lindungi Aisyah dan seluruh ahli keluarga. Dah hampir satu jam, Aisyah masih tak sampai. Rupa-rupanya suami beritahu ambulans terpaksa patah balik kerana tak sampai hati melihat Aisyah meraung. Tiba id hospital, kami dapat duduk satu wad. Sebaik Aisyah masuk pintu bilik, saya menangis sekuat hati. Tak hirau langsung orang keliling. Air mata Aisyah pun gugur sebaik melihat saya depan mata. Nampak sangat wajahnya keliru,”kata Harlina.

PERJUANGAN SELESAI
Hampir 10 hari di hospital. Harlina hanya hilang deria bau dan rasa. Sekejap sahaja demam, batuk, selsema dan sakit tekak. Dan doktor beritahu, virus Covid sedang mengganggu sistem badan.

“Dada masih sakit, susah untuk bernafas. Aisyah sihat. Di hospital, 24 jam kami perlu memakai mask. Ya Allah…nikmatnya kalau ada di rumah, makan di rumah dan main-main macam biasa. Kasihan Aisyah. Langsung tak ada simptom tapi terpaksa ‘terpenjara’ di sini. Masa ini, saya sangat-sangat menghargai saat-saat di luar. Boleh juga buka mask sekejap.

Akhirnya perjuangan kami hampir tamat. Kami dibenarkan pulang. Sementara di hospital, macam-macam rupa-rupanya terjadi di luar. Terlalu banyak berita palsu mengenai kami bertebaran di sosial media. Ada yang mengatakan sebuah kedai di pusat membeli-belah tutup kerana kami sedangkan sejak balik dari outstation, kami tidak ke mana-mana.

Lebih sedih apabila penduduk kawasan perumahan ibu saya mula menuding jari dan takut bertemu ibu. Penyebar berita palsu sakan buat fitnah. Mujur ada yang tahu mengenai kami dan menjelaskan keadaan sebenar. Sakit, tapi apakan daya, saya tak mampu nak tutup mulut orang.

Apabila berlakunya keadaan ini, saya bersyukur kerana doa keluarga dan kawan-kawan menjadi asbab kesembuhan. Ramai yang memberi semangat kerana saya terlalu down dan letih. Memang sangat penting kata-kata semangat saat itu.

Dan, perkata paling penting adalah jaga SOP. Virus Covid merebak dengan sangat…sangat pantas. Mujur kami tidak ada penyakit kronik. Kami berjuang tanpa ubat. Bayangkan andai ini terjadi pada mereka yang berisiko tinggi?” akhiri Harlina.

Share
Published by
Anis Nor Tajul Arus