Membesarkan anak tanpa suami di sisi pasti sangat mencabar. Dialah ibu, dialah bapa. Namun sesukar manapun, anak-anaklah sumber kekuatan sebenar bagi wanita yang bergelar ibu tunggal.
Nona senaraikan 9 ibu tunggal yang cukup dikenali ramai dan wajar digelar ‘superwoman’ kerana cekal membesarkan anak-anak serta berjaya mengubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik. Malah, mereka kini juga semakin cantik dan berkeyakinan tinggi.
HIDAYAH Tiga tahun bergelar ibu tunggal, balu kepada arwah Abam Bocey iaitu Siti Nor Hidayah Mohd Ali, 30, kini tenang menjalani kehidupan bersama anak lelakinya, Hamzah. Mesra disapa Hidayah, dia kini ligat berniaga. Ternyata, usahanya membuahkan hasil apabila rangkaian bisnesnya makin berkembang.
Untuk info, Hidayah dan Abam berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 3 tahun. Namun jodoh mereka tidak panjang apabila Abam menghembuskan nafas terakhirnya pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
RITA RUDAINI Sedar tak sedar sudah sembilan tahun pelakon versatil, Rita Rudaini bergelar ibu tunggal kepada dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 14, dan Airit Qaqa Arjuna. Rita dilihat berjaya menerapkan didikan dengan caranya yang tersendiri sama ada dalam bidang akademik mahupun agama.
Sekian lama tidak muncul dalam dunia lakonan, Rita kini mengorak langkah ke dunia bisnes. Ternyata, ia menjadi cinta baharu buat Rita yang awet muda pada usia 47 tahun.
ERRA FAZIRA Aktres jelita yang terkenal dengan gelaran primadona filem Melayu. Pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek kini beruisa 49 tahun. Terdahulu, Erra pernah mendirikan rumahtangga dengan komposer serta ahli kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003, namun berpisah tiga tahun kemudian.
Ads
Setahun kemudian Erra bertemu jodoh pula dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin. Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, yang kini berusia 14 tahun. Namun, jodoh mereka hanya bertahan selama tujuh tahun dan bercerai pada Februari 2014.
ZIANA ZAIN Hampir empat tahun melayari hidup sebagai ibu tunggal, penyanyi terkenal Ziana Zain kini lebih senang memberikan fokus terhadap karier dan keluarga. Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 54, pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas ketua pramugara, Armin Zaharin pada 9 Mei 1998.
Mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, 23, Muhammad Ammar, 19, dan pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh yang kini berusia 14 tahun. Selepas dua dekad hidup bersama, mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.
RAJA AZURA Pelakon dan pengacara, Raja Azura atau Kak Engku sudah 13 tahun berstatus ibu tunggal. Walau sudah bercerai, hubungan Raja Azura dan bekas suami masih mempunyai hubungan baik.
Ads
Untuk info, Raja Azura berkahwin dengan Adzmin Osman iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff pada Mac 2001. Mereka bercerai pada 28 September 2010 dan dikurniakan tiga anak iaitu Megat Muhammad Raziq (21), Megat Luqman Hakim (20), dan Puteri Mia Maizura (18).
FARAH LEE Farah Lee, seorang ibu tunggal yang memiliki semangat ibu muda yang luar biasa. Kisah pemilik nama sebenar, Nurfarahin Romli ini terkenal di media sosial serta menjadi inspirasi wanita kerana kekuatan dan kejayaannya dalam kehidupan.
Selain berkelulusan tinggi, Farah juga merupakan seorang usahawan sukses. Farah kini membesarkan seorang anak perempuan, Maream Esabel Ally Iskandar, hasil perkongsian hidup bersama bekas suami iaitu Ally Iskandar.
SHILA AMZAH Setelah empat tahun mendirikan rumahtangga, penyanyi Shila Amzah yang juga anak kepada artis veteran ND Lala, kini tenang menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kepada seorang anak lelaki.
Ads
Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 32, mendirikan rumahtangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia dua tahun. Namun, pada Februari 2022 mereka sah bercerai di sebuah mahkamah syariah di Selangor.
LUFYA Pelakon dan penyanyi jelita, Lufya Omar atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar merupakan ibu tunggal kepada seorang anak. Lufya, sebelum ini pernah berkahwin dengan Che Hafiz pada 29 November 2016 namun bercerai pada 17 Jun 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia enam tahun.
JOY REVFA Siapa yang tak kenal dengan usahawan kosmetik sensasi, Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin. Pemilik empayar perniagaan MERVE Cosmetics Malaysia ini merupakan ibu tunggal kepada Arryan Firdaus yang kini berusia sembilan tahun.
Terdahulu, Joy pernah bergelar isteri kepada penyanyi, komposer dan penulis lirik Hafiz Hamidun. Mereka berkahwin pada 2017 namun jodoh tidak panjang. Selepas itu, Joy pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang jurulatih kecergasan namun tiada jodoh. Joy kini lebih komited dengan keluarga dan bisnes demi membantu lebih ramai wanita termasuk ibu tunggal sepertinya agar lebih berjaya.
Nona mendoakan agar anda yang bergelar ibu tunggal terus bangkit demi kehidupan yang lebih baik.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kesusahan adalah kunci kepada kejayaan dalam mendidik jiwa anak-anak. Kesusahan juga dapat melahirkan seorang insan berjiwa kental. Sebaliknya, kesenangan dan kemewahan umpama racun yang mampu membunuh jiwa insan. Perkongsian Pengurus Rumah Amal Limpahan Kasih Puchong, Rashidah Abdullah membuka membawa kita untuk melihat lebih dekat kehidupan anak-anak yatim di Rumah Amal Limpahan Kasih. Jelas terpancar raut wajah mereka yang bersih dan menenangkan jiwa.
Rumah Amal Limpahan Kasih, ia merupakan pusat kebajikan dan pendidikan yang menaungi anak-anak yatim, anak fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan asnaf zakat yang beroperasi sejak Januari 2007 di atas tanah milik persendirian.
SUKARELAWAN
Sejak kematian suami beberapa tahun lalu, Rashidah yang berusia 53 tahun ini menjadi sukarelawan sepenuh masa di Rumah Amal Limpahan Kasih. Rashidah amat bertuah kerana arwah suaminya juga seorang yang sangat menyokong tugas-tugas sukarelawan. Atas alasan itulah Rashidah mengambil keputusan untuk membantu anak-anak yang kurang bernasib baik di Rumah Amal Limpahan Kasih.
“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir kerana arwah suami sangat menggalakkan saya melakukan tugas-tugas sukarelawan. Memandangkan saya seorang ibu tunggal maka mudah untuk saya menyelami perasaan dan kehidupan anak-anak ini.
Naluri keibuan saya sangat kuat, maka mudah untuk menyemai kasih sayang dalam jiwa anak-anak di sini. Ada caranya untuk mendekati mereka yang sentiasa ingin dibelai dan dimanja. Mereka kurang kasih sayang. Rasulullah SAW juga seorang anak yatim piatu, Baginda juga membela anak-anak yatim. Saya mengambil inspirasi daripada Rasulullah SAW.
Hubungan kami umpama ibu dengan anak. Mereka menggelarkan saya Ibu. Tiada langsung jurang sebaliknya kami lebih mesra dan rapat. Apa jua masalah mudah dikongsi kerana keselesaan dan kemesraan telah ada. Selain saya, ada lapan lagi kakitangan wanita di sini yang digelar Ibu,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini yang memiliki 4 orang anak.
CABARAN
“Untuk mendidik anak-anak ini tak boleh terlalu tegas atau terlalu berlembut. Perlu banyak bersabar dan berikan kasih sayang sepenuhnya buat mereka. Ini salah satu cabaran buat saya selain mendapatkan dana untuk pendidikan dan pentadbiran.
Selain usaha dan doa, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Alhamdulillah rezeki datang menjemput tanpa diduga. Apa yang penting jangan meminta. Itulah yang kami didik ke dalam jiwa anak-anak di sini.
Anak-anak juga perlu dididik agar seimbang rohaniah dan lahiriah. Anak-anak dilatih dengan ketabahan, kekuatan jiwa dan hubungan hati dengan Allah SWT. Usaha secara berterusan ialah mendapatkan rasa takut setakutnya pada Allah SWT dan rindu serindu rindunya pada Nabi SAW.
Segalanya dilakukan melalui disiplin ibadah solat, selawat dan aktiviti kerohanian. Juga melalui usrah yang dapat mengasah bakat kepimpinan, rasa tanggungjawab, meningkatkan kemahiran hidup dan keyakinan diri mereka. Semua penghuni dibantu sehingga mereka dapat merasai hidup umpama sebuah keluarga,” kongsi Rashidah.
RAMADAN
“Setiap kali menjelang Ramadan, selain memenuhi jemputan berbuka puasa di luar kami turut menjemput warga emas dan ibu tunggal untuk sama-sama berbuka puasa di sini. Maka dapatlah kami berkongsi rezeki bersama-sama di samping mengeratkan silaturrahim,” akhiri Rashidah dengan senyuman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini di beberapa negeri terutama Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan memberi kesan mendalam terhadap mangsa yang terlibat. Ada juga yang terpaksa menanggung kerugian besar akibat kerosakan dan kehilangan harta benda yang menjejaskan kelangsungan hidup mereka.
Ia bukan saja mendapat liputan meluas seluruh negara bahkan menjadi perhatian para sukarelawan termasuklah Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) yang juga Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau antara pemimpin terawal yang turun padang untuk membantu penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam. Sekelip mata saja nama YB Syed Saddiq menjadi trending sekaligus membuka mata masyarakat akan keprihatinan pemimpin termuda negara ini.
Maka, selayaknya beliau diiktiraf sebagai pemimpin belia berjiwa rakyat dan dianugerahkan Nona Men’s Inspiring Award.
Memperjuangkan suara anak muda serta golongan terpinggir dan tidak berkemampuan menjadi perjuangan utama bagi pemimpin berusia 28 tahun ini. Syed Saddiq terkenal dengan keberanian dan kelantangannya bersuara dalam setiap isu terutama berkaitan generasi muda.
“Kalau takut untuk berkorban jangan masuk landskap politik. Saya tidak pernah menoleh ke belakang. Saya sertai politik untuk bersihkan politik. Bagi memastikan golongan yang ‘tiada suara’ iaitu yang tidak berkemampuan dan terpinggir mendapat pembelaan sewajarnya.
Seterusnya, membina sebuah negara yang mana semua rakyat tak kira agama, bangsa, usia dan fahaman bangga untuk memanggil negara Malaysia sebagai rumahnya. Rumah yang akan kita pertahankan bersama.”
BAPA PERNAH DIBUANG KERJA
“Orang yang paling memberi impak paling bermakna pada diri saya ialah bapa. Saya dilahirkan dalam keluarga dari golongan pertengahan. Ibu seorang guru manakala bapa seorang yang kuat bekerja namun tiada pekerjaan tetap. Setiap hari bapa akan pergi ke Singapura dari Johor Bahru untuk mencari rezeki buat keluarga. Setiap hari saya melihat bapa bangun seawal jam 4 pagi dan keluar bekerja jam 5 pagi. Ada hari naik motor, ada hari naik bas dan ada hari naik kereta. Bapa akan pulang ke rumah pada lewat malam sekitar jam 11 atau 12 malam.
Walaupun pernah dibuang kerja beberapa kali tetapi bapa sentiasa bangkit untuk terus bekerja keras untuk menyara keluarga. Bapa sumber inspirasi saya yang sebenar. Walau jatuh bangun pun bapa tidak pernah abaikan keluarga. Semangat yang dibawa, apa pun rintangan yang dihadapi jangan mudah putus asa. Itulah pengalaman yang tidak akan saya lupa. Bapalah yang mengajar saya erti hidup sebenar dan usah mudah mengalah.
Kini usianya sudah mencecah 66 tahun. Selayaknya bapa digelar superhero kerana beliau seorang yang sanggup korbankan diri demi kepentingan yang lebih besar. Justeru, saya sentiasa berpegang kepada prinsip ‘Di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Perlu ada matlamat hidup. Kedua, always follow your heart selagi ia membawa ke arah kebaikan. Jika melibatkan keputusan-keputusan besar yang perlu saya buat, ibu dan bapalah yang menjadi penasihatnya selain membuat pertimbangan pro and cons,” kongsi Syed Saddiq.
PENCAPAIAN TERBESAR
Salah satu pengalaman yang agak manis namun permulaannya pahit ialah ketika saya mengusulkan pindaan perlembagaan untuk Undi 18, undi automatik dan Calon 18. Dalam sejarah Malaysia tidak ada mana-mana kerajaan yang tidak ada sokongan dua pertiga berjaya untuk meminda perlembagaan.
Tetapi melalui usaha merentasi parti, saya berunding dan berdiplomasi dengan mereka yang dalam kerajaan dan juga pembangkang. Saya berjumpa dan berdiskusi dengan mereka mencari titik tengah bagi mengangkat martabat suara anak muda. Akhirnya buat pertama kali dalam sejarah Malaysia kita berjaya meminda perlembagaan 3 kali sekaligus memberi suara yang sangat kuat pada anak-anak muda.
Ada penambahan 7.8 juta pengundi muda sekaligus memastikan anak muda akan menjadi king maker atau penentu utama hala tuju negara, automatic voter registration dan Calon 18. Umur 18 tahun sudah boleh dicalonkan. Ini sangat bermakna buat saya kerana ia dapat dilakukan melalui usaha semua pihak. Pada masa yang sama ia akan menjadi political earthquake terkuat dalam sejarah politik Malaysia yang akan menentukan pilihanraya akan datang dan seterusnya. Suara anak muda tidak akan lagi ditenggelamkan,” kongsi graduan Undang-Undang serta Maktab Tentera Diraja ini.
Kredit Foto: Instagram Syed Saddiq
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon, pengacara dan usahawan, Janna Nick memang sentiasa menjadi perhatian terutamanya kisah cinta bersama jejaka kacukan Pulau Pinang dan Switzerland, Dini Schatzmann. Kata Janna, Dini mempunyai ciri-ciri seorang ayah yang baik!
Pemilik jenama White Fluffy ini juga sentiasa mempromosikan pencuci muka yang berasaskan susu kambing dan Sephia by Janna Nick, produk kecantikan tubuh diperbuat daripada minyak argan.
Menurutnya, kedua-dua produk ini sudah berada di pasaran lebih dari dua tahun dan sambutannya sangat menggalakkan. Walaupun jarang memuat naik produk ini di laman Instagram namun manfaat di sebalik produk ini cukup dikenali dengan promosi dari mulut ke mulut.
“Saya suka produk ini kerana kami mula dari scratch. Melalui proses R&D dan mencubanya sendiri pada wajah dan tubuh membuatkan produk ini begitu dekat dengan saya.”katanya.
“Tahun ini masuk sembilan tahun saya berada dalam industri. Saya mula menjejak dunia lakonan sejak berusia 16 tahun lagi. Ketika itu selain minat, niat saya hanya untuk cari duit. lepas satu, satu job lakonan yang saya ambil kerana bagi saya, inilah masanya untuk saya mengumpul harta. Siapa sangka, pada usia 21 tahun saya sudah memiliki rumah sendiri.
Ikutkan hati, tahun ini pun saya ingin membeli sebuah lagi rumah kerana pada saya, lebih baik menyimpan aset daripada berbelanja yang bukan-bukan kerana kesenangan ini bukan untuk saya sendiri tetapi buat keluarga tersayang. Dulu waktu yang ada hanya dipenuhi dengan berlakon tetapi kini saya menjadi lebih selektif.
Semakin lama seseorang artis di dalam bidang seni, semakin mencabar sebenarnya kita nak maintain diri kita dalam kategori top. Sebab itu saya memilih untuk meletakkan kualiti berbanding kuantiti. Sebelum ini sibuk cari duit tapi kini saya lebih fleksibel. Ini adalah tahap yang lebih serius dan kita perlu ada strategi untuk masa hadapan,”ujarnya bersemangat.
Menyentuh soal perhubungannya dengan pelakon baru yang sedang meningkat naik, Dini Schatzmann, Janna menjelaskan hubungan mereka kini berada di tahap serius.
“Sewaktu masuk ke dunia lakonan, memang fokus saya 100 peratus pada kerjaya namun kini saya lebih mengutamakan diri sendiri. Saya yakin, kebahagiaan sebenar adalah apabila kita sendiri menghargai dan menyayangi diri. Dan baru kini saya boleh menumpukan kepada perhubungan yang lebih in depth.
Perkenalan bersama Dini pada awalnya adalah melalui lakonan sebuah drama. Lama-kelamaan, kai berkawan dan saya lihat Dini sebagai seseorang yang ‘satu kepala’ dengan saya. Apabila kita berada dalam satu perhubungan yang serius dan bukan cinta monyet lagi, memang kita berbincang soal kahwin.
Cuma saya rasa tidak adil sekiranya saya terlalu menekan pasangan ke arah itu kerana saya faham dia baru sahaja ingin bertapak dalam dunia lakonan. Saya beri dia masa dahulu.
Sebelum ini memang bersungguh saya menolak cinta orang dalam industri kerana saya tahu pergaulannya bagaimana, aturan masa yang tidak menentu dan macam-macam lagi tetapi kata orang jodoh itu tak kenal siapa. Biasanya apa yang kita taknak itulah yang kita akan dapat,”tawanya.
Menurut Janna, dia mulai rapat dengan Dini selepas dia diberitahu ibu Dini, anaknya menyukai Janna. Dari situ mereka mulai rapat dan ciri-ciri lelaki idaman Janna dimiliki jejaka kacukan Pulau Pinang dan Switzerland ini.
“Dalam hidup ini, apabila kita tahu kita mulai memandang sesuatu perhubungan itu dengan serius, kita akan mula mencari ciri-ciri yang boleh membantu kita membina keluarga dengan baik. Dini seorang yang lembut tetapi di sebalik kelembutan itu dia mempunyai sifat tegas yang saya lihat dapat menjadi seorang ayah yang baik kepada anak-anak. Mungkin terlalu awal tetapi itulah yang saya nampak dalam diri Dini.
Ramai berpendapat, anak Mat Saleh biasanya lebih bebas, tetapi Dini lebih kepada mummy’sboy dan lembut kala berbicara. Dia hidup dalam prinsip sendiri dan itulah yang membuatkan dia disenangi. Awal perkenalan, Dini memang tidak tahu banyak mengenai dunia hiburan di Malaysia. jadi perbualan kami lebih kepada benda-benda lain yang tidak sentuh langsung pasal dunia lakonan.
Itulah yang saya suka kerana bila hari-hari kita bekerja dalam bidang ini, kita mahukan sedikit freedom untuk tidak membincangkan soal ini. Mentaliti Dini memang berbeza, mungkin kerana dia membesar di luar negara.
Kalau nak dibandingkan Dini dan saya, Dini adalah orang yang paling energetic, suka ketawa, suka menyanyi dan lebih gila-gila. Saya pula orang yang kurang bercakap. Sebab itu kami boleh sekepala kerana saling melengkapi!”senyum Janna.
IMPIAN PERKAHWINAN
Perancangan perkahwinan ‘versi’Janna Nick bukan calang-calang. Mengakui dirinya seorang yang suka membuat keputusan saat-saat akhir, tetapi soal perkahwinan bukan perkara main-main.
“Janna Nick memang suka buat benda saat-saat akhir. Untuk tempah busana menghadiri majlis pun saya akan tunggu seminggu dua sebelum majlis. Tetapi, unutk perancangan perkahwinan rasanya setahun pun belum tentu cukup!
Kalau boleh, majlis perkahwinan saya nanti saya mahu bersama orang-orang kampung memeriahkan majlis saya. Merewang, makan ramai-ramai dan kalau boleh jemputan pun terbuka. Misalnya tak cukup makanan, saya akan sediakan food truck sekali! itu impian saya.
Busana yang ingin disarungkan pula tentulah gaun yang besar berwarna putih. Saya mahu semua orang dapat melihat apa yang saya gayakan dan busana ini tidak boleh digunakan semula di laluan karpet merah, istimewa untuk majlis kahwin saya sahaja,” ujarnya.
Tambah Janna lagi, impiannya ini adalah satu perancangan. Walaupun dia dan Dini kini sedang mengenali hati budi masing-masing, Janna akui semuanya masih awal untuk dibincangkan.
“Saya nampak Dini sebagai ayah yang baik untuk anak-anak saya. Bagi saya, bukan wang ringgit menjadi taruhan tetapi saya melihat siapa yang boleh menjadi contoh yang baik kepada anak-anak. sikap dan prinsip yang Dini pegang selama ini boleh membantu saya membina keluarga yang baik. InsyaAllah. Cuma untuk menjadi isteri saya perlu kurangkan sedikit ego dan lebih feminin.”katanya mengakhiri perbualan.
Kredit foto dan video: Instagram Janna Nick
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemaruk beratur berjam-jam demi merasa makanan viral, golongan remaja dan orang muda yang berbadan besar di Malaysia lebih cepat alami kerosakan buah pinggang.