Membesarkan anak tanpa suami di sisi pasti sangat mencabar. Dialah ibu, dialah bapa. Namun sesukar manapun, anak-anaklah sumber kekuatan sebenar bagi wanita yang bergelar ibu tunggal.
Nona senaraikan 9 ibu tunggal yang cukup dikenali ramai dan wajar digelar ‘superwoman’ kerana cekal membesarkan anak-anak serta berjaya mengubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik. Malah, mereka kini juga semakin cantik dan berkeyakinan tinggi.
HIDAYAH
Tiga tahun bergelar ibu tunggal, balu kepada arwah Abam Bocey iaitu Siti Nor Hidayah Mohd Ali, 30, kini tenang menjalani kehidupan bersama anak lelakinya, Hamzah. Mesra disapa Hidayah, dia kini ligat berniaga. Ternyata, usahanya membuahkan hasil apabila rangkaian bisnesnya makin berkembang.
Untuk info, Hidayah dan Abam berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 3 tahun. Namun jodoh mereka tidak panjang apabila Abam menghembuskan nafas terakhirnya pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
RITA RUDAINI
Sedar tak sedar sudah sembilan tahun pelakon versatil, Rita Rudaini bergelar ibu tunggal kepada dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 14, dan Airit Qaqa Arjuna. Rita dilihat berjaya menerapkan didikan dengan caranya yang tersendiri sama ada dalam bidang akademik mahupun agama.
Sekian lama tidak muncul dalam dunia lakonan, Rita kini mengorak langkah ke dunia bisnes. Ternyata, ia menjadi cinta baharu buat Rita yang awet muda pada usia 47 tahun.
ERRA FAZIRA
Aktres jelita yang terkenal dengan gelaran primadona filem Melayu. Pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek kini beruisa 49 tahun. Terdahulu, Erra pernah mendirikan rumahtangga dengan komposer serta ahli kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003, namun berpisah tiga tahun kemudian.
Setahun kemudian Erra bertemu jodoh pula dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin. Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, yang kini berusia 14 tahun. Namun, jodoh mereka hanya bertahan selama tujuh tahun dan bercerai pada Februari 2014.
ZIANA ZAIN
Hampir empat tahun melayari hidup sebagai ibu tunggal, penyanyi terkenal Ziana Zain kini lebih senang memberikan fokus terhadap karier dan keluarga. Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 54, pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas ketua pramugara, Armin Zaharin pada 9 Mei 1998.
Mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, 23, Muhammad Ammar, 19, dan pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh yang kini berusia 14 tahun. Selepas dua dekad hidup bersama, mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.
RAJA AZURA
Pelakon dan pengacara, Raja Azura atau Kak Engku sudah 13 tahun berstatus ibu tunggal. Walau sudah bercerai, hubungan Raja Azura dan bekas suami masih mempunyai hubungan baik.
Untuk info, Raja Azura berkahwin dengan Adzmin Osman iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff pada Mac 2001. Mereka bercerai pada 28 September 2010 dan dikurniakan tiga anak iaitu Megat Muhammad Raziq (21), Megat Luqman Hakim (20), dan Puteri Mia Maizura (18).
FARAH LEE
Farah Lee, seorang ibu tunggal yang memiliki semangat ibu muda yang luar biasa. Kisah pemilik nama sebenar, Nurfarahin Romli ini terkenal di media sosial serta menjadi inspirasi wanita kerana kekuatan dan kejayaannya dalam kehidupan.
Selain berkelulusan tinggi, Farah juga merupakan seorang usahawan sukses. Farah kini membesarkan seorang anak perempuan, Maream Esabel Ally Iskandar, hasil perkongsian hidup bersama bekas suami iaitu Ally Iskandar.
SHILA AMZAH
Setelah empat tahun mendirikan rumahtangga, penyanyi Shila Amzah yang juga anak kepada artis veteran ND Lala, kini tenang menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kepada seorang anak lelaki.
Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 32, mendirikan rumahtangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia dua tahun. Namun, pada Februari 2022 mereka sah bercerai di sebuah mahkamah syariah di Selangor.
LUFYA
Pelakon dan penyanyi jelita, Lufya Omar atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar merupakan ibu tunggal kepada seorang anak. Lufya, sebelum ini pernah berkahwin dengan Che Hafiz pada 29 November 2016 namun bercerai pada 17 Jun 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia enam tahun.
JOY REVFA
Siapa yang tak kenal dengan usahawan kosmetik sensasi, Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin. Pemilik empayar perniagaan MERVE Cosmetics Malaysia ini merupakan ibu tunggal kepada Arryan Firdaus yang kini berusia sembilan tahun.
Terdahulu, Joy pernah bergelar isteri kepada penyanyi, komposer dan penulis lirik Hafiz Hamidun. Mereka berkahwin pada 2017 namun jodoh tidak panjang. Selepas itu, Joy pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang jurulatih kecergasan namun tiada jodoh. Joy kini lebih komited dengan keluarga dan bisnes demi membantu lebih ramai wanita termasuk ibu tunggal sepertinya agar lebih berjaya.
Nona mendoakan agar anda yang bergelar ibu tunggal terus bangkit demi kehidupan yang lebih baik.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.