Bangkit Wanita, Rina Harun Umum Malaysia Bakal Tuan Rumah World Women Leadership Summit 2023

Sepagi di Kuala Lumpur, Majalah Nona berbesar hati memenuhi jemputan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bagi menyaksikan pra-pelancaran World Women Leadership Summit 2023 (WWLS 2023) yang bakal diadakan pada 2 dan 3 Mac 2023, buat julung-julung kalinya di Malaysia.

Dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Convention Centre), penganjuran WWLS 2023 itu bertemakan ‘New Norms, Fresh Hopes, Big Dreams’.

Ia bakal membincangkan kepimpinan wanita di peringkat global dalam segenap aspek termasuk kesihatan, sains dan teknologi, perniagaan, kewangan, pendidikan, tadbir urus kerajaan dan isu-isu alam sekitar.

 

 

 

 

WWLS 2023 bakal dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan menampilkan lebih 20 ikon bertaraf dunia termasuk pemimpin-pemimpin sektor awam, tokoh-tokoh korporat serta ketua-ketua negara dalam kalangan wanita.

Lebih 2000 delegasi dari 30 buah negara termasuk pemimpin wanita tersohor dunia dijangka akan menyertai WWLS 2023.

“Tema WWLS 2023 adalah bertepatan dengan fokus negara selari dengan hasrat Keluarga Malaysia dalam menunjukkan semangat serta agenda untuk wanita bangkit selepas pandemik COVID-19 khususnya memartabatkan peranan wanita dalam menerajui kepimpinan keluarga dan juga dalam komuniti.

WWLS 2023 akan menjadi sebuah pentas global untuk berbincang secara terbuka mengenai kesediaan wanita dalam menghadapi cabaran-cabaran khasnya dalam dunia baharu pasca-pandemik dan sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk memperkasakan wanita seta meningkatkan kesaksamaan gender di Malaysia.

WWLS juga akan menghasilkan resolusi yang dijadualkan disytiharkan oleh YAB Perdana Menteri bagi mengetengahkan agenda pemerkasaan kepimpinan wanita hingga ke peringkat global.” Datuk Seri Rina Mohd Harun

Tonton video bersama Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam majlis pra-pelancaran ini…

 

Pada masa yang sama, KPWKM dan Yayasan Kepimpinan Wanita (Women Leadership Foundation) selaku penganjur bersama juga mengalu-alukan kolaborasi dan sumbangan daripada sektor korporat, kerajaan dan swasta bagi menjayakan WWLS 2023.

Maklumat lanjut berkenaan program in boleh didapati menerusi laman web ini (klik). Majlis Pra-Pelancaran in turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Strategik KPWKM, Chua Choon Hwa; Pengerusi Women Leadership Foundation, Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Wan Nur Ibtisam binti Wan Ismail.

Tak ketinggalan temu bual Lensa Nona bersama wanita besi, Datuk Dr Hafsah Hashim! Memang seronok bersembang dengan Datuk…

Share
Published by
Norzalina