Bergenang air mata baca pengalaman hidup Dato’ Rizalman Ibrahim sewaktu zaman universiti dulu. Terus teringat pengorbanan mak ayah yang gigih mencari duit lebih untuk menyara pengajian anak. Dari duit yang mereka belanjakan itulah yang menjadikan siapa kita hari ini. Jadi, bila dah berjaya dan senang… jangan pula lupa diri.
Terkesan dengan jasa yang dicurahkan ibu bapa, pereka fesyen tersohor negara ini tanpa berselindung ‘membongkar’ sisi peribadi. “Tengah mengemas barang-barang dalam kotak untuk berpindah rumah.. terjumpa fail-fail lama. Terselit satu-satunya surat yang pernah dikirim oleh bapak beserta dokumen yang berkaitan sepanjang saya menuntut di UiTM dahulu tersimpan kemas oleh Allahyarham yang sifat OCDnya diwarisi oleh saya.
Menyelak kembali fail ini saya merasa amat bertuah kerana ibu dan bapa telah melaksanakan apa yang mereka termampu untuk membesarkan anak-anak seramai 8orang dan saya merupakan tugas terakhir mereka berdua. Dalam keadaan yang ‘cukup makan’ mereka gagahi juga menghantar saya serta memberi kebebasan penuh untuk saya melakar corak kehidupan saya.
Lihatlah bank akaun saya ketika itu.. RM20 je yang ada. Kadang-kadang lapar seharian.. kadang-kadang dah tak tahan diangkat juga ganggang telefon di fakulti meminta wang dimasukkan kerana mahu terus hidup. Dari mana bapak dapatkan wang yang aku minta, aku tak pedulikan. Kini aku hidup senang, tapi mak bapak dah lama takde. Aku rasa menyesal memikirkan kalau antara masa aku makan sedap di UiTM hasil kiriman wang bapak sedangkan mereka berdua di rumah terpaksa berkongsi sekeping roti. Aku kesal kalau ada masa aku gunakan wang itu untuk menonton wayang di KL sedangkan mereka bercatu beras.”
Namun, apa yang pasti.. segala jerih perih kedua-dua ibu bapa Dato’ Rizalman ternyata bukan sia-sia. Kini, namanya cukup dikenali dan menjadi buruan VVIP yang ingin mendapatkan khidmat beliau untuk rekaan busana juga majlis persandingan gilang-gemilang.
“Kerjaya sebagai pereka fesyen bermula sebaik tamat pengajian di UiTM pada tahun 1993 di salah sebuah butik sekitar Kuala Lumpur. Tugas saya menjahit butang dan cangkuk dengan gaji hanya RM350. Waktu itu kerja hanya enam bulan kerana saya rasa terlalu terkongkong dan tercabar dengan skop kerja. Saya nekad untuk jadi pereka fesyen berjaya seterusnya berniat mahu membalas jasa ibu bapa. Sebaik berhenti kerja, saya buat freelancing
. Disebabkan masa itu tiada sosial media sukar untuk saya bertapak dalam industri fesyen.Pun begitu, saya tidak pernah anggap ia satu halangan. Saya terus berusaha sehinggalah dikenali sebagai pereka fesyan baru yang sering mengketengahkan silhouette daripada kebaya dan kurung yang dipermodenkan mengikut citarasa masyarakat ketika itu. Saya turut mengeluarkan idea-idea baru seperti baju kurung yang boleh diolah dalam pelbagai bentuk dan sebagainya. Dari situ orang mula mengenali saya sebagai seorang yang suka membuat revolusi terhadap busana-busana tradisional selain menitikberatkan soal kualiti.
Pelanggan pertama saya ialah personaliti televisyen terkenal, Wan Zaleha Radzi yang membeli sepasang kebaya kuning di mana saya menggunakan fabrik sari. Personaliti lain ialah Fauziah Ahmad Daud, Zarina Zainuddin dan Zakiah Anas. Disebabkan belum ada butik, cara saya menjual ialah dengan meletakkan baju-baju yang sudah dijahit ke dalam beg dan membawanya ke stesen televisyen dengan menaiki bas.
Waktu itu saya masih belum punya kereta sendiri dan tiada pekerja. Semuanya dilakukan sendiri, menjual dari pejabat ke pejabat, pergi ke rumah klien dan sebagainya. Dan bila ada duit sikit saya iklankan hasil rekaan dalam majalah. Kesimpulannya, agak susahlah dulu kerana perlu bergantung kepada cara pemasaran di samping kualiti produk itu sendiri. Bila sudah ada simpanan barulah saya membuka butik secara kecil-kecilan.
Saya bermula sebagai seorang pereka dan usahawan. Dalam tempoh tiga ke empat tahun itu banyak kisah di sebaliknya, jatuh bangun beberapa kali sebelum betul-betul berjaya seperti hari ini. Bagi saya ia satu perjalanan yang sangat menarik untuk dikongsikan,” ungkap Datuk Rizalman.. seorang anak bongsu dan dilahirkan dalam keluarga seni. Ibunya seorang penjahit baju manakala bapa merupakan kerani dan jurufoto fesyen. Adik-beradiknya pula pandai melukis dan ada yang bergelar pelakon teater serta pelakon radio.
Kredit foto: Avon & Instagram Rizalman Ibrahim
This website uses cookies.