Kagum betul dengan wanita hebat ini, YM Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah. Biarpun berstatus ibu tunggal namun wanita berusia 49 tahun dan berketurunan kerabat Perak dan Selangor ini seorang yang sangat humble dan berjiwa mulia. Mesra disapa sebagai Tengku Adena, seorang yang sangat berjiwa prihatin serta memahami permasalahan yang dihadapi oleh insan sekeliling.
“Antara kenangan paling memberi kesan kepada saya ialah misi bantuan ke tempat yang didiami oleh keluarga dhaif. Saya bersyukur dan terharu kerana mendapat support daripada pertubuhan-pertubuhan NGO lain yang sudi membantu. Dalam misi tersebut saya tak sangka ada lagi insan yang duduk di bawah jambatan. Ada 3 keluarga di situ, duduk di rumah kayu dan tepi sungai. Saya terkedu dan ia benar-benar mengusik jiwa saya. Pada mulanya mereka menolak untuk dibantu kerana tak mahu meminta-minta.
Perjumpaan seterusnya saya pujuk lagi akhirnya mereka terima. Ketika itu ramai pihak yang tampil hulur bantuan antaranya individu, syarikat dan NGO. Bagi saya kena belajar redha baru hati tenang. Sangka baik, Allah SWT akan bagi yang baik-baik,” kongsi Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan Ekosistem Malaysia (MEEDC), serta Presiden Srikandi ini. Tengku Adena merupakan penerima Anugerah Ikon Usahawanita Selangor dari Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia.
Satu lagi rahsia ketenangan dan kejayaan Tengku Adena ialah dengan sentiasa bersedekah. “Jangan berhenti bersedekah. Saya didik diri sendiri, setiap hari sebelum tiba ke pejabat saya akan singgah surau atau masjid berhampiran untuk bersedekah. Bermula dengan nilai yang kecil, kemudian naikkan sedikit demi sedikit. Yang penting ikhlas,” kongsinya.
AKTIF BERSAMA NGO
“Ada 3 perkara dalam kehidupan yang saya buat dan ia satu cabaran dari segi masa. Tetapi saya belajar dalam proses menjadi ibu tunggal dan seorang usahawan. Sambil tu aktif dalam pertubuhan NGO. Itu semua adalah proses. Alhamdulillah, ia satu proses pembelajaran yang mengajar saya erti hidup yang sebenar.
Dalam kesungguhan, kekuatan dan semangat pada awalnya memang saya rasa sangat mencabar. Bergerak sendiri, buat semua sendiri tetapi itu satu pengalaman yang sangat hebat. Saya salute dengan ibu-ibu tunggal di luar sana yang mampu bergerak sendiri, bersama anak-anak lagi. Saya ini anak seorang saja itu pun dah berkahwin, tapi bayangkan ibu-ibu tunggal yang anak ramai, bagaimana mereka survive, nak tanggung beban kiri kanan nak fikir anak, diri sendiri dan mungkin ada juga yang tak dapat masa untuk diri sendiri. Dalam dunia ni setiap orang ada cabaran dan chapter kehidupan masing-masing.
Saya redha dengan perjalanan hidup sebagai seorang ibu tunggal. Kena betul-betul uruskan masa, lagi-lagi saya seorang yang sentiasa nak sibukkan diri. Kena selalu positif. Alhamdulillah anak dah kahwin jadi beban tugas sebagai ibu tu dah lepas. Saya ada masa untuk diri sendiri. Bila berkecimpung dalam dunia korporat saya ada team, segala urusan dipermudahkan. Saya juga ada masa untuk NGO. Saya memang aktif dan banyak NGO yang saya dah sertai.
Kekuatan tu Allah yang bagi dan Dia permudahkan segala perjalanan. Kadang saya terfikir juga, macam mana saya mampu buat semuanya. Bersendirian tapi boleh buat. Jadi, kena kembali kembali kepada fitrah. Dia yang cipta masa dan bagi masa kepada kita. Jadi manfaatkan masa tu dan letakkan Allah SWT sebagai prioriti. Itulah kekuatan dan semangat Allah SWT kurniakan untuk saya.
Jangan bergantung kepada manusia kerana ia asbab saja di dunia. Sejak pandemik ni lagi banyak masa yang saya ada bila stay at home. Pagi ke malam tu kena penuhkan dengan benda bermanfaat. Untuk urusan NGO saya tak perlu keluar sebab boleh online. Jadi di rumah saya juga sibuk berhubung dengan usahawan-usahawan seluruh Malaysia.
KEPUASAN BUAT KEBAJIKAN
Bila kita sedar dan belajar itu adalah nikmat, belajar bersyukur. Bila tengok orang susah baru kita sedar, ada yang tidurnya tanpa tilam tapi mereka tetap bersyukur. Kita jangan asyik merungut atas segala kekurangan. Kita kena muhasabah diri dan menghargai orang sekeliling kita terutama keluarga. Jangan letakkan semua kesalahan ke atas orang lain. Kepuasan dalam membuat kebajikan tu membuatkan kita rasa bahagia, gembira dan tenang sebab kita dapat buat orang tersenyum.
ISU KETELUSAN NGO
Saya akui, pertubuhan NGO ni adakala dipandang serong, dikatakan tak telus, ambil kesempatan dan sebagainya. Isu-isu ni sebenarnya dah lama ada dan ada segelintir yang tak ikut perlembagaan yang ditetapkan dalam NGO. Disebabkan golongan segelintir inilah yang menyebabkan NGO lain mendapat tamparan. Tapi yang telus pun ada banyak. NGO ada etika dan perlembangaan, tak boleh buat sesuka hati. Kerana dalam NGO ada audit. Jadi niat awal tu kena tetapkan untuk apa. Bukan mudah kerana ia satu tanggungjawab. Kena ada kesatuan hati.
Alhamdulillah NGO yang saya bawa ini on track sebab saya dah ada pengalaman. Saya akan lihat pada setiap portfolio NGO yang mana ada misi, visi dan niat membantu itu yang saya akan tetap bersama. Kalau ada yang untuk kepentingan diri, tiada tindakan dan hasil saya akan ‘angkat kaki’ dan ini pernah berlaku. Ini sangat buang masa kerana saya seorang usahawan jadi masa tu sangat penting. Kalau betul-betul berjiwa NGO, kena bersedia untuk korbankan masa, tenaga dan wang ringgit. Bila NGO bergabung mereka tak akan sewenangya buat benda yang tak betul. Bila bergabung bermakna mereka ada kesatuan hati untuk capai matlamat bersama.
Kini, saya dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan Ekosistem Malaysia (MEEDC). Ia ditubuhkan tahun lalu di saat bisnes terkesan semasa PKP. Ramai usahawan yang rasa down dan putus asa kerana bisnes dah nak tutup. MEEDC nak bantu usahawan dengan kepakaran dan connection yang kami ada. Kami nak wujudkan komuniti usahawan bersama-sama kami sebab kita tak boleh bekerja dan berniaga sendirian. Termasuk mendidik mereka agar ada kesatuan hati dan belajar ilmu yang benar, jelas dan tepat.
Berniaga adalah untuk progres dan diwarisi. Kita tak mahu mereka berniaga sekadar untuk sara diri. Kita rakyat Malaysia, dan Bumiputera Islam kena jadi usahawan Muslim yang berjaya. Itu yang saya tekankan dalam MEEDC sebab nak wujudkan ramai lagi usahawan Muslim yang berjaya. Saya nak lahirkan lebih ramai ‘Ebit Lew’ dalam MEEDC ni agar kita menjadi hartawan dan dermawan. Dengan itu kita dapat menderma. Bila semua Bumiputera Islam ni dah maju kita dapat membantu dalam kebajikan.
Di MEEDC kami memang ada buat pendidikan keusahawanan dan kursus agar mereka dapat kenalpasti di mana level mereka seterusya mengembangkan lagi bisnes mereka. Kami sentiasa memantau, sentiada berikan ilmu dan idea. Kena ada exit plan juga dalam bisnes, contoh dari Enterprise, Sendirian Berhad, dan Berhad. Antara projek sasaran kami ialah mengadakan Pusat Khidmat Usahawan di setiap wilayah seluruh Malaysia, dan SPV pembukaan Grocer Mart setiap negeri seluruh Malaysia.”
Kredit foto: Instagram @tengkuadena_official
This website uses cookies.