Pertama kali menjejakkan kaki ke banglo Wak Doyok, teruja kami melihat keindahan dekorasi berkonsepkan kolonial moden. Macam muzium Inggeris, tak sangka ada rumah secantik ini di kawasan kampung!
Banglo dua tingkat lengkap kolam renang menyambut kedatangan kami. Laksana resort, lamannya dihias pohon kemboja dan laluan berturap rumput. Nyaman dan menenangkan!
Mata terus merayau ke arah garaj. Bayangkan di sana sebuah Ford Mustang, sebiji motosikal vintaj dan beberapa koleksi basikal antik pasca Perang Dunia Kedua sudah siap menanti.
Masih terkenang kemesraan ibu Wak Doyok, Puan Siti Fatonah menyambut salam. Berusia 80 tahun, wanita penyayang ini sibuk menyiapkan sarapan sebagai hidangan pagi itu. Kuih apam gebu, bihun goreng dan air kopi panas… Allahu, juadah raya terbaik di abad ini!
ANAK BONGSU
Berkat menjaga hubungan dengan Allah SWT serta ibu bapa menjadi kekuatan utama Wak Doyok dalam kehidupannya. Seperkara yang amat penulis kagumi, Wak Doyok tidak putus membahagiakan ibunya selepas arwah bapa pulang ke rahmatullah.
Tanpa berselindung, Wak Doyok turut bercerita akan kehidupan sukar yang dilalui suatu masa dulu. Terpaksa membuat pelbagai pekerjaan termasuk kerja buruh kasar demi mencari sesuap rezeki.
Alhamdulillah kini segalanya sudah berubah. Berkat kerajinan dan sentiasa mengutamakan ibu tercinta, hidup Wak Doyok kini berubah 360 darjah.
Selain berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Wak Doyok juga amat dikenali dengan perniagaan fesyen Baju Melayu, krim jambang, pomade, syampu, kopi dan terkini sushi. Jenama Sushi Wak juga kian menjadi pilihan ramai kerana diolah mengikut cita rasa Melayu dan menggunakan bahan-bahan yang diyakini halal.
Kehidupan Wak Doyok yang bermula dari bawah menjadi inspirasi. Jom tonton video penuh Majalah Nona ketika bertandang di rumahnya…
This website uses cookies.