Dalam usia 36 tahun usahawan produk kecantikan ORGGA, Zazarina Zainal Abidin atau Zaza bukan sahaja sukses dalam perniagaan bahkan memiliki aset serta kehidupan sempurna yang menjadi dambaan setiap wanita.
Memiliki darah campuran Melayu-China, Zaza merupakan ibu kepada dua orang anak berusia 5 dan 2 tahun. Sebelum bergelar usahawan, Zaza pernah bergelar pereka grafik dan web. Setelah memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan, Zaza mendapat sokongan serta turut dibantu sepenuhnya oleh suami tercinta.
IKUT PETUA IBU
“Ibu, Zaleha Ahmad adalah sumber inspirasi saya untuk kekal sihat dan cantik. Salah satu petuanya ialah ibu sering mengingatkan supaya jangan minum air semasa makan atau sejurus selepas makan. Maka, saya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga mengingatkan kami untuk tidak membuat jus buah-buahan sebaliknya ia harus dimakan begitu sahaja kerana kebanyakan zat di dalam buah-buahan akan hilang jika dikisar dan dijadikan jus.
Ibu berkerja dalam bidang kesihatan selama 30 tahun lebih dan beliau juga merupakan penyokong utama ketika saya mahu memulakan perniagaan. Walaupun kini ibu sudah berusia 69 tahun tetapi masih kuat dan sihat. Bayangkan, ibu masih aktif mendaki Gunung Kinabalu, pergi ke luar negara termasuk zon perang untuk misi kemanusiaan dan sebagainya. Saya memang kagum dengan ibu.
Sebab itulah saya menganggapnya juga sebagai ‘hero wanita’ kerana ibulah sumber kekuatan saya. Dalam usianya sekarang ibu masih kelihatan bertenaga, kekal cergas dan aktif.
Selain ikut petua ibu, saya juga lebih suka berbelanja membeli rangkaian produk dari Eropah. Walaupun ia berasaskan bahan-bahan natural dan organik tetapi kesannya sangat efektif serta bahan-bahan yang digunakan sangat berkualiti tinggi dan selamat.
AKTIF MUAY THAI
Setiap hari saya akan sampai rumah (dari pejabat) sekitar pukul 6-7 malam. Setiap malam juga (pada minggu bekerja) saya dan suami akan ke kelas Muay Thai pada pukul 8.30 malam. Tetapi sebelum keluar kami akan meluangkan masa terlebih dahulu bersama anak-anak di rumah. Pulang dari kelas iaitu kira-kira pukul 11.30 malam saya akan menyemak segala perancangan untuk hari esok termasuk membaca buku atau melakukan light research. Sekitar pukul 2 pagi barulah dapat melelapkan mata.
MASA BERKUALITI
Hujung minggu pula adalah waktu berkualiti saya bersama keluarga. Walaupun saya dan suami tidak banyak masa untuk bersama anak-anak tetapi kami cuba memberikan pendidikan yang terbaik buat mereka termasuk menyeimbangkan pelajaran dan hiburan.
Saya jarang keluar bersama rakan-rakan kerana kebanyakan mereka tinggal di Kuala Lumpur, saya pula di Senawang. Namun kalau ada masa, kami akan keluar untuk minum-minum dan membeli belah. Sebenarnya saya lebih selesa keluar bersama suami kerana beliau umpama teman rapat saya. Antara tempat kegemaran kami ketika keluar ialah kedai buku.
NASIHAT & TIP SUKSES
Saya banyak membaca termasuk mengalami sendiri detik susah senang dalam perniagaan. Untuk menjadi usahawan sukses haruslah fokus. Kedua, rajin membuat kajian. Allah SWT mengurniakan otak yang sama untuk berfikir tetapi bergantung kepada individu untuk memanfaatkannya dan sejauh mana kemampuan untuk berfikir.
Generasi sekarang sangat kurang membaca. Membaca artikel di internet tidak sama dengan membaca buku. Amalan membaca menjana tahap kemampuan otak dan cara kita berfikir sekaligus menambah nilai diri kita sebagai manusia dan usahawan.
Bergelar ibu dan usahawan bukan mudah untuk membahagikan masa. Satu perkara yang saya sentiasa amalkan ialah tidak tangguhkan kerja atau niat. Kerana jika kita ingin menunggu masa yang sesuai untuk melakukan sesuatu, masa itu tidak akan tiba dan kerja atau perancangan akan sentiasa tertangguh.
PERNIAGAAN
ORGGA merupakan singkatan perkataan ‘organik’ yang melambangkan konsep produk selain mudah disebut dan diingati. Produk kecantikan ORGGA berasaskan bahan-bahan natural dan organik yang juga memfokuskan kepada penggunaan bahan-bahan botanikal berkualiti. 90 peratus bahan-bahan natural yang digunakan diimport dari United Kingdom, United States, Timur Tengah, Eropah dan China.
Saya berpendapat kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai stigma bahawa produk natural dan organik tidak begitu berkesan dan menunjukkan hasil yang perlahan. Mereka lebih suka memilih produk kecantikan yang kesannya pantas tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang ke atas kulit.
Ia menjadi cabaran buat saya untuk menghasilkan produk natural dan organik yang berkualiti serta berkesan di Malaysia. Justeru, saya mengambil inisiatif dengan menghabiskan masa lebih kurang satu tahun setengah untuk proses RND termasuk mengambil kursus memformulasi produk kecantikan berasaskan natural dan organik dari UK. Semoga produk kecantikan berasaskan natural dan organik terus mendapat sambutan baik di negara kita.”
Zaza merupakan graduan dalam bidang pengurusan teknologi multimedia dari Universiti Multimedia serta jurusan teknologi informasi bisnes dari Universiti Limkokwing.
Kredit Foto: Instagram @zaza_alzahra & @hanzaking