Banyakkan Solat Hajat & Doa, MAS ANIZAN Larang Anak Keluar Sebab Bimbang Covid-19

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain, aktres cantik Mas Anizan Mohd Shahid turut melahirkan kebimbangan mengenai pandemik Covid-19 yang melanda negara kita hari ini.
Lebih-lebih lagi apabila jumlah kes jangkitan positif Covid-19 menunjukkan peningkatan saban hari termasuk pertambahan jumlah kematian.

Ketika dihubungi Nona, Mas Anizan memberitahu dia mengakui takut untuk keluar rumah dan lebih banyak meluangkan masa dengan anak-anak. “Memang tak ke mana-mana, duduk rumah je. Nasib baik shooting pun dah postpone. Kebetulan, mak pun ada di rumah saya sekarang. Anak-anak pula memang saya pantau dan tak bagi mereka keluar rumah. Iyalah, dalam keadaan sekarang ni macam-macam boleh jadi.

Dari awal lagi memang saya dah mula berjaga-jaga. Saya sentiasa pastikan semua ahli keluarga ambil extra care tentang kebersihan dan kesihatan. Mereka kena kerap cuci tangan dan setiap seorang dalam rumah ni saya akan pastikan juga mereka ada sanitizer dan mask. Rasanya semua emak-emak di luar sana pun buat benda yang sama,” tegasnya sambil memberitahu tidak mengalami situasi panic buying memandangkan sudah membeli segala barang keperluan beberapa hari lebih awal sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ditanya bagaimana dia menjalani tempoh ‘kuarantin’ di rumah sepanjang PKP ini… ibu kepada tiga anak ini bersyukur kerana waktu inilah dia betul-betul dapat meluangkan masa bersama anak-anak. “Sebenarnya, masa inilah saya dapat spend time lebih dengan anak-anak sebab selalunya dua anak saya iaitu Mas Aliza dan Daniel balik lewat. Dan kadang-kadang bila mereka balik saya pula dah tidur.

Di samping anak perempuannya, Mas Aliza
Mas Anizan bersama anak bongsu

Since sekarang ni kena kuarantin, dapatlah spend time together. Macam biasa, kami anak-beranak dengan mak saya sekali banyak habiskan masa di dapur. Try and error resipi-resipi baru. Selain tu, saya dan anak perempuan juga cuma pergi gym di rumah je untuk exercise. Tapi itulah, bila duduk di rumah ni asyik nak makan je,” seloroh Mas Anizan lagi.

Beruntungnya Mas Anizan kerana anak lelakinya merupakan seorang chef. “Try and error je resipi baru sebab anak saya Daniel, dia chef. Jadi dialah ketuanya. Macam-macam resipi dah dicuba. Antaranya mushroom quiche dan beef wellington. Tapi ni semua tambah ikut tekak sendiri. Saya dan mak sebenarnya lebih suka masak kampung. Kalau bab pastri, dessert atau western tu memang anak lelaki dan anak perempuan yang rajin buat.”

 

Dalam pada itu, Mas Anizan turut menitipkan pesan kepada masyarakat agar dapat sama-sama berganding bahu memerangi wabak Covid-19 di negara kita. “Kita sebagai masyarakat kena ada sikap bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri. Jangan ambil mudah dengan isu yang melanda dunia sekarang ni.

Wabak ni sangat bahaya. Ikut apa yang telah disarankan oleh kerajaan untuk kebaikan kita bersama. Pada masa yang sama ambil iktibar dengan apa yang terjadi dengan kita sekarang ni. Perbanyakkanlah solat hajat dan doa semoga kita semua dilindungi dan dijauhkan dari penyakit berbahaya ini, insyaAllah.”

Share
Published by
Suzi