Bapa Cerita Bayi Lelaki Diserang BATUK 100 HARI Tak Berhenti! Siap Kongsi Tip Lagi

Naluri seorang ayah terpanggil untuk berkongsi tentang keadaan anaknya yang baru berusia sebulan terkena serangan Batuk Kokol di laman Facebook kini menjadi viral dan mendapat perhatian netizen.

Muhammad Fateh dipercayai menghidap Batuk Kokol juga dikenali sebagai batuk 100 hari dan keadaanya itu diceritakan sendiri oleh bapanya, Azhar Azif.


 

 

“Saya akan ceritakan secara ringkas apa itu penyakit batuk kokol supaya lebih ramai yang tahu dan faham tentang penyakit ini.

Batuk Kokol atau pun Whooping Cough adalah sejenis penyakit disebabkan oleh kuman bakteria Bordetella Pertussis yang dijangkiti melalui udara daripada orang lain.



Sama ada dijangkiti dari ibu bapa sendiri atau adik beradik dan menurut doktor ia mengambil masa 2 hingga 3 bulan juga untuk reda”, jelasnya di laman facebook miliknya.

Azhar juga memberi tip untuk ibu bapa di luar sana supaya jauhkan bayi daripada orang yang sedang sakit mahupun orang ramai yang tidak dikenali.

“Elakkan bayi yang berumur 5 bulan kebawah berada ditempat orang ramai seperti dalam shopping mall, pasar malam, atau majlis-majlis yang melibatkan ramai orang”,  pesannya lagi.

Selain itu, Azhar turut berkongsi tanda-tanda ringan bayi diserang Batuk Kokol dan kesannya terhadap bayi.

Tanda – Tanda Ringan

  • Demam
  • Selsema
  • Bersin
  • Batuk yang panjang

Selepas batuk yang berpanjangan ini berlaku, ia boleh menyebabkan bayi:

  • Muntah
  • Sukar Bernafas/ terhenti nafas
  • Sianosis (Kebiru-biruan pada mulut, tangan dan kaki.

Azhar turut berkongsi detik cemas apabila Fateh menghadapi kesukaran bernafas sehingga nafas terhenti untuk seketika

“Kegagalan pihak klinik mengesan sakit yang dialami oleh Fateh, menyebabkan Fateh menghadapi kesukaran bernafas, sehingga terhenti nafas. Apabila wife tepuk-tepuk belakangnya baru lah baby bernafas semula dan kami berkejar ke hospital.

Saya tidak menyalahkan seratus peratus kepada pihak klinik (walaupun sepatutnya mereka lebih tahu dan menasihati kami untuk ke hospital lebih awal), namun kami menyalahkan diri kami juga kerana sebagai ibu bapa, kita juga perlu tahu penyakit – penyakit yang berbahaya untuk anak – anak kita supaya kita lebih waspada dan bersedia”, katanya lagi yang turut menjaga anaknya itu bersama isteri, Fiza Jaffar.


Menurut Azhar lagi sekiranya penyakit anaknya itu lambat dirawat, ia akan menyebabkan radang paru-paru, kurang bekalan oksigen ke otak yang boleh menyebabkan sawan dan fungsi otak tidak normal dan boleh menyebabkan kematian.



“Semasa saya menulis ini, Fateh masih lagi dalam rawatan (dah 6 hari masuk ICU) dan bergantung penuh dengan alat bantuan pernafasan, masih lagi batuk – batuk yang panjang dan telah diberikan antibiotik secara berperingkat”, tulisnya lagi.

Nona berdoa agar Fateh cepat sembuh dari penyakit ini dan kembali normal seperti bayi yang lain.

Sumber: Facebook Azhar Azif

Share
Published by
Elly Jalil