Gaya Hidup

Barcelona Jadi Pilihan NISA KAY Melancong, Suka Belajar Budaya & Sejarah Negara Orang!

Aktif di dalam bidang pengacaraan, blog dan menghasilkan video di Youtube menjadikan empunya nama Khairunnisa binti Mohd Aminullah atau lebih dikenali sebagai Nisa Kay cukup terkenal di laman media sosial. Nisa, 27 tahun nyata bijak menggunakan media sosial sebagai platform untuk mengasah sekaligus mempamerkan bakat yang dimiliki oleh wanita kelahiran Pahang ini.

BAGAIMANAKAH ANDA BOLEH MENJADI SEORANG PENGACARA, BLOGGER DAN YOUTUBER?

Saya mula menulis blog sejak tahun 2007 lagi di atas dorongan abang saya. Kemudian saya terus jatuh cinta dengan blog kerana saya suka berkongsi melalui penulisan. Youtube pula mulai aktif ketika saya belajar di universiti secara tidak sengaja. Pada mulanya saya memuatnaik video secara suka-suka saja dan tidak sangka ia bertahan hingga kini. Minat mengacara pula memang sudah sekian lama ada dalam diri dan melalui Youtube, saya boleh mengetengahkan bakat yang saya ada. Saya juga sering ke ujibakat untuk menjadi pengacara.

 

BAGAIMANA ANDA MENDAPAT KEYAKINAN UNTUK BERHADAPAN DENGAN ORANG RAMAI?

Sejujurnya, sukar untuk saya kerana saya memang sudah terbiasa berhadapan dengan orang ramai, dan setiap kali saya perlu berhadapan dengan sesuatu crowd, saya jarang mempunyai masalah seperti gemuruh dan sebagainya. Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana saya fikir mungkin keyakinan itu datang secara semulajadi. Namun ada sesetengah acara yang membuatkan saya rasa gemuruh, lebih-lebih lagi jika terdapat jemputan orang-orang kenamaan atau nama-nama besar dalam industri.

ANDA JUGA SEORANG YANG GEMAR PERGI MELANCONG. CERITAKAN SEDIKIT PENGALAMAN ANDA

Alhamdulillah saya diberi rezeki oleh Allah SWT untuk mengunjungi dan berpeluang melihat tempat orang. Apa yang saya boleh katakan adalah, dengan travel, kita akan belajar banyak perkara. Sebagai contoh, kita akan berjumpa dengan pelbagai jenis orang dan adakala ujian datang menimpa. Selain itu, kita akan rasa bersyukur dengan ciptaanNya apabila melihat tempat-tempat lain di serata dunia dimana keindahannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

NEGARA APAKAH YANG PALING ANDA GEMARI UNTUK BERCUTI DAN MENGAPA?

Saya sangat suka bercuti ke Korea dan Barcelona, Sepanyol. Korea mempunyai lokasi-lokasi yang cantik, dan saya gemar membeli-belah di sana. Saya juga suka melihat budaya tradisional Korea. Manakala Barcelona pula, tinggalan sejarah yang dibangunkan menjadi kota yang sangat cantik dan moden membuatkan saya jatuh cinta dengan negara ini. Alhamdulillah syukur, saya sudah pun berkunjung ke saya beberapa kali, dan setiap kali ke sana, saya jatuh cinta lagi dan lagi, as Barcelona got so many things to offer

.

 

HOBI ANDA DI WAKTU LAPANG?

Saya gemar menonton drama atau filem menerusi Netflix, menulis blog dan menghasilkan video untuk Youtube. Namun jika tidak online, saya akan membaca novel dan hanya berehat di rumah.

Share
Published by
Fadhli Ismail