“Kita semua mungkin rasa penat tetapi virus itu tak pernah penat. Pada saat kita kurang berjaga-jaga, virus akan mula merebak dengan cepat”
Sebaris kata-kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mewakili 250,000 petugas KKM itu masih terngiang-ngiang di telinga. Kekesalan beliau jelas terpancar apabila laporan kes COVID-19 di Sabah terus mencatatkan angka membimbangkan dari semasa ke semasa.
Perjuangan petugas barisan hadapan perubatan negara terus diuji. Dalam operasi menggempur musuh COVID-19 di Sabah, pihak Kementerian Kesihatan terus berusaha menggerakkan lebih ramai petugas dari Semenanjung untuk membendung penularan secara besar-besaran.
Dalam hantaran Facebook beliau sebentar tadi, beliau mendedahkan seramai 22 orang Penolong Pegawai Perubatan dari Semenanjung Malaysia telah dimobilisasi ke Hospital Tawau, Hospital Semporna, Hospital Lahad Datu dan Hospital Kunak, Sabah. Mereka merupakan Penolong Pegawai Perubatan dari pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia yang bertugas di Jabatan Kecemasan, Jabatan Anesthesia & Kesihatan Primer.
Dengan peningkatan angka kes sejak kebelakangan ini, tidak hairanlah jika setiap kali menonton sidang media KKM, terbit rasa sebak dan sayu melihatkan riak wajah beliau. Kerisauan jelas terpancar di sebalik pelitup muka yang dipakai.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam menentang pandemik COVID-19 di Sabah kini mencapai tahap kritikal.
Beliau berkata beberapa strategi dan pendekatan akan diambil untuk memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan di negeri itu.
“Strategi kami berdasarkan kepada pemantauan komuniti, pengesanan kontak dengan mencari, menguji, mengasing dan merawat semua individu yang dijangkiti serta memutuskan rantaian jangkitan seterusnya dengan memperketat sempadan negeri dan daerah,” katanya menerusi hantaran Twitter semalam.
Berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri itu, sebanyak 16 bangunan kerajaan di Sabah telah dijadikan wad hospital tambahan untuk menempatkan pesakit COVID-19.
Penilaian keperluan sumber manusia akan terus dilakukan secara berterusan bagi membantu mengawal situasi penularan jangkitan COVID-19 di negeri Sabah, di samping memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di sana. Pada masa yang sama, kebajikan semua anggota kesihatan dan perubatan akan terus diutamakan bagi memastikan aset utama KKM ini dapat menjalankan tugasan dengan baik.
Terima kasih diucapkan kepada semua anggota kesihatan dan perubatan serta semua sukarelawan yang telah bersama-sama membantu memerangi COVID-19 di Malaysia setakat ini. Sama-sama kita membantu petugas barisan hadapan ini dengan sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan penjarakan sosial dengan sebaik-baiknya.
This website uses cookies.