Empunya nama Arianna Natasha Abdul Zambree kini rancak melakar kariernya dalam bisnes makanan (F&B). Melihat kepada usianya, boleh dianggap masih ‘mentah’ dalam selok belok bisnes yang sangat mencabar. Apatah lagi, bisnes makanan memang banyak persaingannya.
Terdahulu, Arianna yang mesra digelar Ary ini merupakan anak kedua daripada tiga beradik. Arianna pernah bergelar model sambilan dan sering terlibat dalam beberapa kempen jenama terkenal seperti Panasonic, Nivea, Sunsilk, Victoria secret dan Bath & Bodywork.
Selain itu, dia juga pernah buat bermacam bisnes secara kecil-kecilan seperti tudung, pakaian dan makeup.
Pada tahun 2019, Arianna mendapat peluang untuk membuat bisnes dalam F&B. Bisnes Arianna yang berpusat di Semenyeh dilihat semakin hari semakin berkembang. Selain menjadi cef, Arianna juga Pengarah di syarikat yang diasaskan bersama kakaknya, Sabrina Natasha.
Selaku CEO dan ‘mastermind’, kakaknya berjaya membawa mereka berada di kedudukan tersendiri setanding usahawan-usahawan hebat yang lain. Selain Arianna Kitchen, rangkaian bisnes mereka yang lain ialah Arianna Bytes (kek) dan Dapur Arianna (premium laksam dan pulut kuning).
RAJIN BANTU IBU DI DAPUR
Sering membantu ibu di dapur menjadi asbab tercetusnya minat Arianna dalam bidang masakan.
“Saya juga sering melihat channel masakan di laman Youtube dan banyak belajar dari situ. Kadangkala, bila terjumpa makanan di luar sana dan mendapati harga agak mahal, saya mula memikirkan kenapa tidak untuk cuba membuatnya sendiri.
“Setiap kali siap memasak, saya akan memuat naik di Instagram Story untuk berkongsi dengan pengikut saya. Namun, tak sangka sambutan yang diperolehi amat menggalakkan.
“Dari situ, tercetusnya idea untuk membuka akaun Instagram baru khusus untuk berkongsi masakan saya iaitu @arianna.kitchen Secara tak langsung ia membantu para pengikut saya terutama remaja yang minat memasak untuk mencuba resepi mudah saya.”
‘STRUGGLE IS REAL’
Mengimbas detik permulaan, Arianna mula serius dalam dunia masakan ketika usianya 16 tahun. Dia juga pernah berkongsi detik bermulanya Arianna Kitchen yang penuh ‘struggle’ di Instagram.
“Dulu buat kat rumah je sampai pukul 3-4 pagi. 50 kotak brownies buat sorang-sorang. Oven rosak pula pukul 2 pagi. Nasib ada adik saya tolong timbang barang. Sambung buat marketing content sampai tangan kena blender.
“Buat content sampai berjam-jam. Pernah sampai lampu blackout. Shoot kat tengah jalan sebab nakkan lighting. Sambung basuh loyang dan bekas-bekas untuk letak stok. Beratur satu jam beli barang baking. Modal tak banyak, beli sikit-sikit.
“Alhamdulillah dari rumah pindah ke kedai. Saya cat dan pasang lantai office sendiri. seperti biasa saya teruskan buat content marketing, live, baking, shooting dan bertemu pelanggan di event.”
PERNAH KENA KECAM
“Saya pernah dikecam di laman sosial dengan perkara yang tidak benar sama sekali. Sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada saya kerana melibatkan sensitiviti keluarga. Namun saya cuba berfikiran positif dan menganggap semua yang terjadi ada hikmahnya.”
Arianna juga pernah memuat naik satu video pendek di Instagram di mana dia berkongsi detik yang orang tidak nampak di sebalik kejayaannya. Bila dah berjaya, struggle nya lain pula, kan?
Tulis Arianna, orang mungkin hanya nampak yang tersurat saja iaitu kejayaan dan kesenangan yang dikecapinya kini. Namun, ramai yang tidak tahu struggle yang hampir menyebabkan bisnesnya jatuh.
“Yang orang tak nampak..nangis 8 jam. Terlalu stress dan kecewa. The struggle is real. Pernah dalam situasi hilang segalanya, simpanan ratus ribu hilang, team 50 lebih orang hilang, kereta hilang, semangat hilang..”
Arianna tak mudah menyerah, dia kembali bangkit dengan berpegang kepada kata-kata, “Ambil risiko dalam hidup. Kalau menang, anda boleh membimbing. Kalau kalah, boleh bimbing semula diri anda.”
NEELOFA SUMBER INSPIRASI
Arianna juga mempunyai sumber insprasi untuk sukses. Siapa lagi kalau bukan usahawan hebat, Neelofa.
“Saya melihat beliau seorang ikon wanita yang cukup berjaya dalam bidang yang diceburinya. Saya ingin menjadi seperti beliau. Beliau seorang yang sangat kuat dan tabah walaupun kadangkala menerima kecaman, namun beliau sentiasa memandang ke hadapan dan terus berjaya.”
Menurut Arianna, dia amat suka dengan apa yang dilakukan kerana baginya peluang sebegitu tak semua orang boleh dapat walaupun mungkin ada yang menganggap bidang ini terlalu awal untuk umur sepertinya.
“Saya banyak berkongsi pengalaman dan bertanyakan pendapat dengan rakan-rakan yang lebih berusia. Saya akui, jadual harian agak padat tetapi saya tidak pernah mengabaikan hal-hal penting yang lain.
“Saya anggap semua ini rezeki. Syukur kerana sekurang-kurangnya saya boleh berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri.”
Semoga Arianna Kitchen terus maju dan berkembang bukan hanya di Malaysia bahkan luar negara kelak.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Kredit Foto: Instagram Arianna Natasha, Sabrina Natasha
This website uses cookies.