Baru 2 Tahun Dah HAFAL 42 Surah, Bila Menangis Pun Dia Akan AZAN & Mengaji Dalam Versi TANGISAN!

Masya Allah, kagum melihat kemampuan Ahmad Ziyyad Mohd Zahir yang baru berusia dua tahun ini.  Walaupun belum petah bercakap tapi bacaan surah Al-Quran yang dilontarkan jelas kedengaran. Malah sejak kisah tentangnya tular di media sosial, satu per satu kelebihan anak tunggal kepada Nurul Shahida Lukman dan Mohd Zahir Mohamad Noor Sabri ini terungkai.

Berpeluang menemubual ibu muda berusia 27 tahun ini, Shahida yang juga perancang majlis perkahwinan muslimah Selami Hilwan Wedding tidak lokek berkongsi rahsia. Berbesar hati jika kisah anak pintarnya ini menjadi inspirasi buat ibu bapa lain, dia bagaimana pun enggan masyarakat menganggap kelahiran Ziyyad sesuatu yang ajaib.

 

“Ziyyad bukan dilahirkan genius dan ada kepakaran sesuatu saja. Dia pandai mengikut tahap penerimaan dirinya sendiri sebab saya didik dari bayi lagi dan bukan pandai tiba-tiba. Harap orang ramai tak salah faham. Nanti ingatkan Ziyyad seorang budak yang genius atau ajaib. Padahal dia sama saja macam budak biasa. Mungkin cara didikan kami sebagai ibu bapa yang berbeza. Itu saja,” ujar Shahida merendah diri.

Mengakui akaun Facebook dan telefonnya kerap dihujani pelbagai pertanyaan sejak posting tentang Ziyyad dikongsikan secara terbuka, Shahida bersyukur kerana menerima respon positif daripada para pengikut. Seperti yang sedia maklum, Ziyyad yang kini berumur 2 tahun 8 bulan sudah mampu menghafal 42 surah Al-Quran. Satu pencapaian yang luar biasa bagi kanak-kanak seusianya.

“Saya pegang kata-kata ni ‘biasakan anak-anak dengan amalan yang baik’. Bila semua yang dia dengar dan lihat, apa yang sekelilingnya benda baik maka benda-benda yang baik juga yang akan dia amalkan walaupun masih kecil. Masa mengandung lagi saya dah amalkan baca Al-Quran dan biasakan dia dengar audio. Bayi dah boleh dengar walaupun dia masih dalam kandungan.

Sejak hari pertama dia lahir saya dah bagi dia dengar ayat-ayat Al-Quran. Sambil-sambil dia main pun saya pasang juga audio. Secara tak langsung Ziyyad akan ikut. Tambahan pula saya dan suami suka rangsang anak dengan bacaan ayat-ayat suci. Bila saya baca dengan kuat bersama suami, Ziyyad jadi seronok seolah-olah seperti kami menyanyi beramai-ramai. Itulah hiburan dia setiap hari.”

Shahida percaya jiwa dan memori anak kecil sangat luar biasa. Mereka mudah dengar dan cepat mengingati sesuatu. Untuk memudahkan Ziyyad hafal surah-surah panjang, Shahida kerap memasang surah berkaitan ketika anaknya hendak tidur. Sambil tunggu terlelap dan memeluk anak kecilnya, Ziyyad akan ikut baca surah yang dipasang bersama-sama ibunya hingga tertidur. Antara surah-surah yang diajar kepada Ziyyad termasuk Al Mulk, Nuh, Sajadah, Yasin, Al Fatihah, Ar Rahman, Al Waqiah, Al Insan, Ju’muah, Munafiqun dan terbaru, surah Al Insan.

Mengimbas detik kelahiran Ziyyad yang dilahirkan secara induce dengan berat 3.58 kg, Shahida berkata ketika itu suami dan ibunya dibenarkan masuk ke bilik bersalin. “Masa itu umi dan suami dah tunggu untuk sambut. Umi saya tak putus-putus baca surah Al-Qadr dan terus diazankan sebaik bersalin untuk elak daripada syaitan yang mendahului bisik ke telinga Ziyyad.

Sebelum ini ada niat mahu didik anak ikut acuan yang Allah mahu. Tapi tak target sampai jadi Hafiz, tinggi sangat harapan tu. Saya cuma berusaha mengikut kemampuan dia. Sebagai permulaan belajar menulis, saya ajar dia dengan pegang pensel atau marker whiteboard. Biar dia selesa dulu dengan situasi itu. Mula-mula memang dia akan conteng. Semua yang dia buat dalam pantauan saya. Anak tak akan pandai sendiri kalau bukan kita yang bimbing.

Macam Bahasa Inggeris, dia cuma tahu yang basic vocab saja. Perkataan-perkataan dalam Bahasa Inggeris dia boleh terjemah ke Bahasa Melayu. Begitu juga sifir. Saya dah mula dedahkan dia dengan sifir dan sekarang Ziyyad mahir sifir 2, 5 dan 10 melalui bantuan blok bentuk nombor dan menulis. Kiranya bermain sambil belajar.

Cara saya didiknya adalah ikut kesesuaian mood Ziyyad. Setiap kali mood dia ok, apa yang dia sentuh saya akan terus ajar. Tak ada spesifik ajar subjek tertentu sebab semuanya diajar secara spontan. Malah semua barang mainan ada kaitan dengan pembelajaran. Fitrah seorang budak memang suka bermain. Jarang sangat anak-anak boleh baca menghadap buku macam orang dewasa termasuklah anak saya sendiri ini.”

Bila ditanya mengenai perangai Ziyyad yang dianggap berbeza, sambil ketawa Shahida membuka rahsia. “Ziyyad sama macam budak-budak lain juga. Dia tak petah bercakap lagi cuma pandai sebut yang basic je macam nak makan, nak pergi jalan-jalan, nak tulis. Kadang-kadang saya sendiri pun tak faham apa yang dia nak.

Uniknya dia ni, bila dia menangis dia akan azan atau mengaji dalam versi tangisan. Kami suami isteri memang akan tergelak tengok gelagat Ziyyad bila menangis sebab unik Kalau kanak-kanak lain nangis mesti cakap apa yang mereka nak tapi Ziyyad berbeza,” telus Shahida yang turut memiliki label busana sendiri iaitu Elziyyad Exclusive dan menghasilkan koleksi terbaru, Noah yang menggunakan Ziyyad sebagai model rasmi sempena kejayaan anak tunggalnya itu menghafal surah Nuh.

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Suzi