Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mengharumkan nama negara dengan meraih kejayaan demi kejayaan di arena sukan basikal adalah suatu pengorbanan yang sukar dibalas.
Dalam persediaan memburu emas Olimpik sulung negara di Tokyo tak lama lagi, Juara Dunia Keirin 2017 ini terpaksa ‘meninggalkan’ sementara isteri tercinta dan anak-anak tersayang demi perjuangannya memburu pingat pertama untuk negara.
Besar sungguh pengorbanan ayah kepada dua anak puteri, Amna Mariam dan Amna Khadeeja dan suami kepada Athiah Ilyana Abdul Samat kepada negara.
Khabarnya, pemilik Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan di Universiti Deakin, Melbourne, Australia ini bukan saja menjadi tumpuan media tempatan. Malah turut diberi penghormatan oleh wartawan antarabangsa apabila disenaraikan antara 10 atlet yang harus diberi perhatian menjelang Sukan Olimpik Tokyo kelak.
THE POCKET ROCKETMAN
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini begitu terkenal seluruh dunia dengan gelaran The Pocket Rocketman.
Kemampuannya merakam kelajuan hampir mencecah 100 kilometer per jam (km/j) begitu luar biasa sehingga mendapat gelaran sebegitu. Kagum melihat kejayann anak ke-8 daripada 9 adik-beradik ini.
Azizul kini berada di tangga teratas dalam acara pecut individu berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 9 Februari 2021. Ranking
pertama itu diperolehi kerana Azizul telah berjaya mengumpul 1,600 mata.Imbas kisah antara Azizul dengan basikal apabila arwah bapanya yang memberi basikal terpakai sebagai ganjaran selepas dia mendapat 7A 1B dalam PMR. Ketika itu, Azizul banyak terima tawaran melanjutkan pelajaran di SBP dan MRSM tetapi memilih Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana minat yang mendalam bidang sukan.
Daripada basikal terpakai, Azizul bakal menggunakan basikal istimewa di sukan Olimpik nanti berdasarkan laporan Berita Harian Online. Basikal tersebut dihasilkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd.
BURUAN PINGAT
Semoga Azizul mampu melakar sejarah besar berbanding di Rio 2016 selepas mengakhiri musim 2020 penuh bergaya dengan meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Disember lalu.
Dilahirkan pada 5 Januari 1988 atlet negara ini membuat penampilan pertama di sukan Olimpik pada 2008 di Beijing apabila menduduki tempat ke-10 selepas terkandas di separuh akhir dalam acara keirin.
Empat tahun kemudian di London Azizul berjaya mara ke final acara berkenaan tapi menduduki tempat keenam.
Di Rio 2016, Azizul sekali lagi mara ke saingan akhir dan kali ini berjaya membawa pulang gangsa selepas tumpas kepada Jason Kenny (Great Britain) yang meraih emas dan pemenang pingat perak dari Belanda, Matthijis Buchli.
This website uses cookies.