“Cubalah untuk mencapai setinggi mana pun impian anda. Tapi harus ingat, ini semua pinjaman! Apa yang pernah kita lalui, susah atau senang. Jangan hanya berfikir untuk waktu dan ketika itu sahaja. Fikirlah apa yang ingin kita capai itu untuk 30 tahun akan datang dan sehingga kita menutup mata. Setiap masalah dan halangan cuba selesaikan, jangan buang masa! Percayalah setiap pengalaman itu akan jadikan kita lebih kuat di masa hadapan,” tegas Azliza (Liz) berusia 48 tahun.
“Saya tidak pernah menyesal atau malu mengaku dilahirkan dalam keluarga miskin. Malah saya rasa bersyukur kerana kehidupan saya punya kisah yang berwarna-warni. Pendek kata, macam-macam fasa kehidupan telah saya lalui dan kerana kemiskinan itulah menjadikan saya kuat dalam mengharungi dugaan kehidupan.”
Mengimbas kembali perjalanan hidup Liz, sebelum terlahirnya perniagaan Dapur Pramugari, cukup memberi inspirasi buat semua wanita lain. Kisah pengalamannya, menjadi simbol kekuatan dan kejayaan dirinya hari ini. Bagaimana dari seorang bekas pramugari dan kini terus mengukuhkan empayar perniagaan F&B Dapur Pramugari.
“Saya memang pasang niat untuk ada perubahan kehidupan yang lebih baik. Saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan akan sentiasa mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Kami ada ramai anak, tanggungjawab besar tentang masa depan mereka dari segi pendidikan, insuran dan sebagainya. Ini semua menjadi kekuatan semangat untuk saya masuk dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah, dalam keadaan fizikal kita yang masih sihat, kita gunakanlah anugerah ini sebaik mungkin. Bukan kata, kehidupan sebelum ini tidak mencukupi tetapi saya rasa sampai masanya untuk mengakhiri tugas berbelas tahun di awan biru. Lagipun dari kecil lagi saya punya cita-cita untuk jadi businesswoman. Masa dulu, dari sekolah rendah lagi saya jual mi, nasi lemak, terompah, keropok sambil kayuh basikal keliling kampung.”
Liz terus membawa kita mengimbau kisah hidupnya. “Saya dari keluarga miskin, nak beli buku atau kasut pun sangat susah. Saya juga keluar pergi cari kerja di pasar malam. Di situ saya kerja dengan seorang makcik tua jual makanan, pengalaman kerja waktu itu bukan mudah. Macam lipas kudung bekerja dan hasil upah bermula RM5 dan kemudiannya naik kepada RM10, alhamdulillah. Dengan hasil duit kerja sendiri itulah saya beli barang-barang sekolah. Bila teringat kembali kenangan itu, membuatkan saya bertekad untuk mengubah kehidupan dan berusaha untuk berjaya.”
Ads
Perjalanan susah dalam meniti kehidupan tidak bernoktah di situ. Hari-hari di usia remaja yang dilaluinya penuh dengan pelbagai rintangan, namun tidak sedikit meruntun kelemahan semangat dan kekuatan jiwanya untuk mengubah kehidupan yang lebih baik.
“Selepas SPM, saya tidak melanjutkan pelajaran di Universiti disebabkan keluarga susah dan saya ingin membantu keluarga. Saya lupakan cita-cita untuk menjadi peguam atau doktor. Pada waktu itu, saya rasa dengan kelulusan yang ada, pekerjaan sebagai pramugari paling sesuai dengan kelayakan dan untuk memperoleh gaji lumayan kerana saya tidak mahu lagi hidup susah.
Saya mengambil keputusan untuk berhijrah dan mencari kerja di lapangan terbang. Keluar dari kampung dengan berbekalkan sepasang kasut dan dua helai baju, saya dan jiran mengambil bas menuju ke Lapangan Terbang Subang demi mengejar cita-cita. Ini kenangan yang amat berharga dalam hidup saya, bila sewa di rumah Kampung Subang.
Keadaan ketika itu sangat sengsara, duduk rumah papan. Tandas pun hanya dikelilingi zink tak beratap dan mandi menggunakan air perigi. Bayangkan waktu pagi kalau mandi jam 5.30 pagi sangat sejuk, embun menitis sampai ke tanah. Nak keluar pergi kerja, saya kena jalan selama 20 minit melalui laluan kebun getah untuk ke jalan besar mengambil bas. Kalau balik kerja tengah malam, saya terpaksa tukar kasut sport untuk memudahkan saya membuat pecutan larian tanpa menoleh ke kiri, kanan dan belakang. Lorong menuju ke rumah sangat gelap tanpa lampu hanya mengharapkan belas kasihan bulan purnama,” jelas Liz sambil ketawa.
Ads
“Kalau awal bulan pula, boleh makan meriah beramai-ramai dengan rakan sewa lain. Tapi bila tengah bulan sampai hujung bulan, saya hanya makan roti dengan sumbat ais krim di tengah-tengah. Kalau nak bercerita lagi, terlalu banyak peristiwa menyentuh hati. Tapi itulah antara kenangan yang paling saya tidak boleh lupa.
Di terminal lapangan terbang, saya bekerja di kedai bunga dan restoran, sambil melihat dan bertanyakan beberapa kakitangan penerbangan yang lalu-lalang di situ kiranya saya berpeluang untuk menjadi pramugari. Kemudian saya dapat peluang untuk bekerja di kedai coklat, Duty Free Terminal 1. Alhamdulillah, satu hari saya dapat peluang temuduga sebagai ticketing officer dan diterima bekerja bersama Indonesian Airlines. Di situ, saya belajar selok-belok tentang penerbangan dan sebagainya selama 5 tahun.
Kemudian saya berhenti dan meneruskan cita-cita untuk menjadi seorang pramugari. Saya pernah berkhidmat sebagai seorang pramugari bersama Malaysia Airlines dan kemudianya saya berkhimat menjadi ketua pramugari di AirAsia. Saya amat bersyukur dengan perubahan hidup saya. Dari seorang anak gadis kampung seperti katak di bawah tempurung, akhirnya saya berjaya mengecapi apa yang saya mahukan dengan usaha sendiri,” bicara Liz sambil tersenyum mengimbas kenangan lalu.
Ads
Diringkaskan cerita, saya berhenti kerja, berkahwin dan fokus membesarkan anak seramai 4 orang. Bila anak-anak sudah membesar, saya yang tidak tahu duduk diam mulakan bisnes Mamours bersama kakak. Pada masa yang sama saya juga buat sedikit jualan makanan. Setelah itu, saya rasa jiwa ini sebenarnya lebih kepada perniagaan makanan. Lalu saya meninggalkan dunia perniagaan Mamours dan beri fokus kepada dunia perniagaan secara online sepenuhnya.”
Rezeki melimpah dengan Dapur Pramugari. “Alhamdulillah permintaan untuk lauk-pauk dan kuih mendapat sambutan sangat menggalakkan. Saya tidak membuka kedai atau restoran kerana tidak mahu komitmen untuk berada di kedai setiap masa, maka aktiviti perniagaan dijalankan secara online. Dan sekarang tumpuan saya lebih kepada produk baru saya Sambal First Class. Dalam masa enam bulan banyak perkara yang perlu diuruskan dari segi pemasaran, promosi dan sebagainya. Kerja siang malam untuk memastikan produk ini diterima dalam pasaran dengan baik.”
Menurut Liz, bisnes Sambal First Class berkonsepkan airlines di mana ia sedikit sebanyak berkait dengan pekerjaan beliau sebelum ni. Contohnya, saiz botol sambal mengikut konsep Boeing yang paling kecil diberi nama 737 dan yang besar diberi nama Jumbo. Tentang kualiti, Sambal First Class diperbuat daripada 100% cili segar dan ikan bilis mata biru sebiru langit di angkasa. Ini menunjukkan bahan-bahan yang digunakan berkualiti tinggi dan mahal.
Selepas ini antara rangkaian produk yang sedang menunggu untuk dikeluarkan adalah Sambal Economy Class. Maksudnya menggunakan cili yang lebih murah iaitu cili kering. Ini jelas bagi menunjukan perbezaan antara sambal murah dan sambal mahal.
Harapan Liz, “Saya berharap perniagaan ini terus berkembang dengan pelbagai jenis produk sambal lagi. Saya percaya ia mampu untuk dibawa ke luar negara. InsyaAllah dengan memperoleh pendapatan ini, saya harap dapat membantu lebih ramai lagi mereka di luar sana,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terinspirasi dengar kisah hidup wanita cekal bernama Ras Adiba Radzi ini. Secara luaran, ramai melihat kehidupan yang dilaluinya cukup mudah. Namun, di sebalik kesenangan hari ini… banyak ranjau berliku telah ditempuhi penyampai berita ini tanpa pengetahuan masyarakat. Enggan ‘terperangkap’ dengan rasa malu atas kekurangan diri, Ras bangkit dengan semangat baru!
Detik hitam yang menimpa diri Ras sekitar 17 tahun lalu benar-benar menyentap semangat dan keyakinan dirinya. Mengakui kelu dan kaku menerima ketentuan takdir saat itu, langit cerah yang menerangi hidup Ras selama ini bertukar mendung sekelip mata. Baru ‘semalam’ dia berjalan lincah seperti insan normal lain tapi ‘hari ini’ dia terpaksa menggalas status Orang Kurang Upaya (OKU). Sekian lama bertarung dengan emosi dan diri sendiri, Ras akhirnya temui erti hidup yang lebih luas.
“Kita diberikan peluang untuk hidup dalam apa jua keadaan yang dilalui. Kena percaya semuanya telah tertulis. Kalau jatuh, susah… bangkit balik. Kita kena bertanggungjawab. Orang yang kita sayang kadang-kadang akan tinggalkan kita. Tak mengapa. Tapi Tuhan tak pernah tinggalkan kita. Ramai lagi orang yang susah. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jangan benarkan masalah menjadikan hidup kita tak keruan. Biar kita menangis sebentar dan kemudian kita dapat berjalan terus.
Segalanya bermula pada tahun 1995 saya balik dari buat liputan di Stadium Shah Alam. Kereta depan brek dan kereta belakang langgar saya. Saya tercampak keluar dari motokar. Masa tu injury saya di leher saja. Masih boleh berjalan tapi kesakitan. Saya terpaksa makan ubat pain killer yang banyak. 2001, saya dipukul depan rumah mak saya sebab orang nak curi motokar. Masa dipukul, titanium di leher patah. Jadi injury lama turun ke bahagian dada. Masih makan pain killer dan waktu itu masih boleh berjalan.
2002 saya ambil barang dari almari yang tinggi. Saya jatuh dekat T10 iaitu bahagian pinggang. Ia patah dan putuskan urat saraf. Saya tak boleh merasa dan bergerak. Membuatkan saya separuh lumpuh. Setakat ini tiada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan keadaan saya tapi manalah tahu ada yang diperbaiki oleh-Nya. Kita kena selalu bersangka baik kepada Tuhan sebab di sebalik kejadian ini pasti ada hikmah.”
Saat diajukan persoalan tentang penerimaan dirinya apabila diuji sedemikian rupa, ini pengakuan jujur Ras. “Masa tu saya tak boleh berfikir. Diri saya macam frozen. Saya menangis, tak boleh fikir, tak keruan, jadi gila. Satu setengah tahun saya cakap dengan diri sendiri, cakap dengan siling, dinding.. tak ada orang cakap dengan saya. Tak ada orang datang jumpa saya. Kawan yang saya anggap kawan, semua hilang.”
Sesi sharing bersama Ras Adiba Radzi bersama Ideaktiv di MISFIT2018, PWTC. #majalahnona#nonasuperwoman#inspirasinona
Ditanya pernahkah terbit rasa kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku, personaliti ini pantas menyusun bicara. “Saya tak kesal atau kecewa. Tapi saya bersyukur. Satu setengah tahun saya susah. 6 tahun saya tak bekerja, stesen saya bekerja dulu tak bagi saya bekerja. 6 tahun saya makan nasi dengan garam dan air paip. Saya susah sangat.
Sepanjang tempoh itu juga saya pernah berdoa agar Allah membawa saya pulang sebab saya tak tahu hidup sebagai OKU. Saya dah terbiasa panjat sana sini dan aktif. Tapi hari ini, saya bersyukur sebab kalau saya bukan OKU, saya tak akan dapat apa yang saya miliki sekarang. Bagi saya, kekurangan saya adalah keupayaan saya. Alhamdulillah.
Beza sekarang dan dulu adalah saya cuma tak boleh berjalan. Tapi saya tetap buat benda lain sama macam orang lain juga. Saya membersihkan rumah, mop lantai, gosok dan basuh baju, bawa kereta. Tak ada masalah. Tak ada excuse pun. Saya selalu beritahu diri agar menjaga diri sendiri. Tak akan ada orang menjaga kita selain Tuhan,” terang Ras yang menginjak usia 51 tahun.
Biarpun pergerakan sedikit terbatas, namun semua itu bukan halangan untuk tidak melakukan aktiviti kegemaran. “Saya berenang guna tangan dari pukul 4 hingga 6 pagi selama dua jam atau pukul 8 hingga 10 malam. Sebelum menembak, saya marathon jarak jauh tolak kerusi roda sejauh 490 km dalam seminggu. Kita tak tahu keupayaan dan kekuatan sehinggalah dalam keadaan seperti ini dan tak ada pilihan, kita kena bangkit. Wanita sememangnya ada kekuatan luar biasa yang tak disangka.
Ras di samping dua anaknya
Saya kena berkerja keras dan latih diri sendiri bahawa saya tak boleh harapkan orang lain. Kalau nak sesuatu, kita kena buat dan dapatkan. Perkataan mustahil itu tak akan wujud.. melainkan bagi orang yang malas. Sekarang saya lebih bersyukur dan belajar. Saya pinjam semangat kawan-kawan OKU yang lain. Sebenarnya sekarang ini saya lebih happy dari dulu. Kita reda tapi ikhtiar.
Saya mahu wanita mempercayai keupayaan diri dan percayalah perkataan mustahil tak ada. Anda boleh lakukan apa saja asalkan kuat semangat dan kerja keras. Hanya kita saja.. kaum wanita yang boleh menggoncangkan dunia,” jelasnya mengakhiri bicara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
YM Datin Sharifah Zarinatasha Dato’ Seri Syed Azni Jamalullail baharu menginjak usia 30 tahun namun terserlah kematangannya. Pernah menceburi dunia lakonan dan sempat berkarya dalam sebuah filem yang bertajuk Aku, Kau dan Dia sejurus selepas meninggalkan pentas pencarian Dewi Remaja 2009/10 seangkatan dengan selebriti Neelofa, Anzalna dan Izara Aishah.
Namun wanita kelahiran Kuala Lumpur ini nekad meninggalkan dunia lakonan yang dicintainya selepas mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan memberi tumpuan terhadap keluarga tercinta. Ketika diasak dengan pertanyaan rasa rindu dalam dunia lakonan, terang wanita tinggi lampai ini, “Tidak sekelumit pun rasa kesal meninggalkan dunia lakonan di saat mula membina nama dalam bidang itu. Bagi saya keluarga lebih penting daripada segala-galanya.
Sehingga kini jika ada yang bertanya tentang perasaan ‘rindu’ berada di lokasi penggambaran, memang ada rasa rindu tetapi untuk berkecimpung kembali dalam bidang tersebut mungkin tidak. Namun jika ada peluang dalam dunia pengacaraan mungkin saya tidak menolak. Saya teringin mencuba bidang pengacaraan ini.
Menamatkan zaman gadis dalam usia yang begitu muda sedikit sebanyak mematangkan wanita ini untuk menempuh kehidupannya. “Memang benar saya berkahwin dalam usia yang agak muda, ketika itu baharu sahaja berumur 22 tahun. Ramai juga yang bertanya tak rugi ke kahwin awal lebih-lebih lagi baru mencipta nama dalam dunia lakonan.
Saya tidak pernah menyesal berkahwin dalam usia yang begitu muda walaupun ketika itu ramai kawan-kawan yang masih eksplorasi zaman remaja. Ketika saya membuat keputusan untuk menerima lamaran suami saya memang sudah bersedia fizikal dan mental. Saya memang suka lelaki yang matang untuk membimbing sehingga ke jannah,” ungkap isteri kepada Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi yang merupakan seorang pengarang buku.
Darah diraja mengalir di tubuh muda ini setelah termeterai perkahwinan di antara kedua ibu bapanya, YAM Dato’ Sri Syed Azni Ibni Syed Putra Jamalullail, kerabat diraja Perlis dan YM Dato’ Paduka Tengku Ilham Malina Tengku Abdul Aziz, kerabat diraja Pahang. “Memang sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan protokol istana. Mungkin itu yang menyebabkan saya tidak kekok dengan adat istiadat apabila menghadiri majlis rasmi di istana. Ibu saya banyak memberi tunjuk ajar tentang adat istiadat istana ini berbanding dengan ayah.
Ibu sering mengajar kami sekeluarga tentang adat dan adap yang perlu dipatuhi. Jika terdapat sebarang majlis rasmi perlu memakai baju formal seperti baju kurung atau sopan. Ketika berada di Balai Rong Seri perlu bertudung atau sekurang-kurangnya menyarung selendang di kepala. Ayah saya lebih selesa melalui kehidupan dengan sederhana dan low profile.
Namun apabila berada di rumah kehidupan kami sekeluarga seperti juga kehidupan orang biasa lain. Segala-galanya seperti orang lain yang perlu menghadiri sekolah harian, bekerja dan sebagainya. Saya mungkin beruntung sedikit kerana berpeluang menyelami kehidupan istana dan juga golongan rakyat biasa,” bicara Datin Sharifah Zarinatasha yang merupakan bekas pelajar Sekolah Sri Aman ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sudah tujuh tahun pelakon cantik Aprena Manrose bergelar isteri kepada Mohd Afiq Hazman.
Biarpun belum dikurniakan zuriat, mereka tetap bahagia dan romantik hingga ke saat ini. Bahagia dengan cara tersendiri.
Baru-baru ini, Aprena atau nama penuhnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman mendedahkan pada penghujung tahun lalu dia pernah menjalani rawatan IVF (persenyawaan in vitro) sebagai ikhtiar untuk mendapatkan zuriat.
Memetik perkongsiannya kepada Gempak, rawatan itu bagaimana pun gagal. Namun, ia tetap tidak mematahkan semangat Aprena untuk mencuba lagi.
Sepupu kepada Uqasha dan Nelydia Senrose ini turut memaklumkan dia perlu berehat lama dari dunia seni kerana perlu fokus kepada prosedur rawatan tersebut.
“Sebenarnya saya berehat lama dari dunia seni sebab saya ada jalani proses IVF hujung tahun lalu.
“Tapi belum ada rezeki untuk saya dan suami. Jadi, bila saya dah buat sekali, saya rasa down juga.”
Pun begitu, kata Aprena dia redha dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur sekurang-kurangnya dia telah berusaha dan tidak akan berputus asa.
Setelah berehat panjang, pelakon yang menginjak usia 30 tahun ini bakal membuat ‘comeback’ dalam bidang lakonan.
“Baru sekali, ada orang buat banyak kali pun masih belum ada rezeki. Bagi saya, tak apa la.. sekali pernah buat. Saya berehat kejap untuk kerja balik.
“Insya-Allah kalau ada rezeki lagi saya akan buat semula,” kongsi Aprena.
Untuk info, Aprena dan suami mendirikan rumahtangga pada 12 November 2016.
Aprena merupakan anak kepada Iwan Syahman, bekas penyanyi dangdut terkenal suatu ketika dulu.
Manakala ibunya, Allahyarhamah Rosnah Mohd Noor merupakan pelakon filem terkenal era 80an kelahiran Pasir Puteh, Kelantan.
Semoga Aprena dan suami kekal bahagia sampai syurga dan sentiasa dimurahkan rezeki.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemaruk beratur berjam-jam demi merasa makanan viral, golongan remaja dan orang muda yang berbadan besar di Malaysia lebih cepat alami kerosakan buah pinggang.