Setiap kali kedatangan Ramadan, kelibat Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Binti Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membeli juadah berbuka puasa menggunakan mangkuk tingkat pastinya menjadi perhatian ramai.
Mana tidaknya, sudah beberapa tahun anakanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ini menjadikan trend membawa mangkuk tingkat ini ke bazar Ramadan sebagai usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik.
Umum sedia maklum, Tengku Zatashah merupakan antara penyokong paling kuat kempen #bebasplastik dan larangan pemberian penyedut minuman atau straw. Baginda juga sentiasa melibatkan diri dalam kempen-kempen kesedaran memelihara dan memulihara alam sekitar.
Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pelaksana Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menganjurkan bazar Ramadan berkonsepkan bebas beg plastik di Taman Awam Pangkalan Batu, Klang baru-baru ini.
Terletak berhadapan Sungai Klang, bazar yang mempunyai 33 peniaga itu turut dikunjungi Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah dengan diiringi Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.
Anakanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ini meluangkan masa lebih 30 minit beramah mesra dengan peniaga dan turut membeli juadah berbuka seperti murtabak, kuih tepung pelita dan air.
Tengku Zatashah yang juga pengasas #sayno2plastic bertitah orang ramai membawa mangkuk tingkat dan bekas minuman sendiri ketika membeli juadah di bazar Ramadan.
Baginda yang sinonim dengan mengenakan busana baju kebaya telah 5 tahun menjadikan amalan membawa mangkuk tingkat atau tiffin ke mana sahaja malah luar negara juga tidak terkecuali untuk membeli makanan untuk dibawa pulang.
“Semua perlu bawa bekas makanan dan minuman sendiri, tidak gunakan beg plastik. Kempen bebas beg plastik ini seharusnya disokong semua pihak dalam melestarikan alam sekitar.
“Konsep bazar Ramadan di Klang ini baharu khususnya di Selangor dan ia amat bagus. Katakan tidak pada beg plastik,” titahnya.
Sementara itu, Syaiful Azmen berkata pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan bazar Ramadan dengan konsep itu bagi meningkatkan kesedaran mengenai kebaikan mengurangkan penggunaan beg plastik.
“Ini kali pertama kita adakan bazar Ramadan berkonsep bebas beg plastik sebab berkait rapat dengan aktiviti pembersihan di Sungai Klang.
“Sejak 2016 sehingga kini 85,000 tan metrik sampah dikutip di Sungai Klang, yang mana 40 peratus daripadanya adalah plastik. Jika tidak dibuang dari sungai, plastik pergi ke laut dan ikan makan kemudiannya manusia pula makan ikan,” katanya.
Justeru beliau berharap dengan membawa mangkuk tingkat dan bekas air ia dapat mengurangkan jumlah penggunaan beg plastik yang dijangka bertambah dengan aktiviti bazar Ramadan.
Majalah Nona pun ada di Telegram tau.
Dah follow Telegram Majalah Nona?
Follow kami sekarang di link berikut: https://t.me/majalahnona