Bawa Netizen Dekati Sejarah Islam, Perkongsian Kembara AZRINAZ Ke Jerusalem Dapat Pujian!

Meskipun sekadar membaca postingnya di Instagram, tapi ilmu yang dikongsikan bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim ini mampu membuatkan sesiapa saja berasa seolah-olah berada di bumi Palestin. Berpeluang mengunjungi Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya bersama suami tercinta hujung Mei lalu, usaha Azrinaz menyampaikan kisah para anbia dan sejarah Islam yang tercipta di sana wajar diberikan pujian.

Setiap maklumat yang dikongsi cukup terperinci dan jelas memberi manfaat kepada mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Dengan pengalaman yang ada sebagai bekas wartawan, Azrinaz tahu bagaimana cara untuk menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih berkesan dan mudah difahami. Malah, beliau turut memuat naik beberapa video pendek. Macam tengok program dokumentari pula!

Azrinaz di samping suami tercinta

Dengan cuaca yang panas, banyak berjalan dan sedang berpuasa, Azrinaz tetap kelihatan bertenaga. Khabarnya, beliau juga menjalani ibadah puasa yang panjang iaitu selama 17 jam sepanjang berada di sana. Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus meneroka dan menyelami peradaban Islam dan kisah para nabi, rasul serta sahabat.

Salah satu perkara menarik yang dikongsikan adalah tentang Qubbah Al Shakra atau dikenali Dome of the Rock. Dalam perkongsian tersebut, Azrinaz ada membicarakan tentang tiga pendapat mengenai batu tergantung iaitu Ulama Tasawuf, Ulama Bahasa dan Ulama Usuluddin.

“Datanglah dengan niat untuk bersembahyang di Al-Aqsa kerana ini yang pernah disebut di dalam hadith. As-Sakhra hanyalah satu tempat di mana mikrajnya Nabi. Tergantung atau tidak itu bukan matlamatnya. Matlamatnya ialah menyaksikannya, menambahkan keyakinan kita terhadap rukun iman iaitu percaya pada kitab (Al-Quran).

Tempat adalah penting, tapi yang lebih penting adalah penghayatannya. Jika kita melihat ia tergantung, kemudian mengagungkannya lebih dari mengagungkan Allah, ia tidak memberi makna apa-apa. Semoga semakin hari, semakin iman kita terpelihara dari perkara yang boleh mengguris kesahihannya Qubbah Al Shakra.”

Selain itu, Azrinaz juga mendedahkan tentang Street of Shuhada yang terletak di Westbank, Hebron. Di sini, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang merupakan kawasan Palestin, ditadbir oleh kedua-dua Palestin dan Israel; dan sepenuhnya oleh Israel.

“Keistimewaan Hebron adalah masjid Ibrahim di mana menempatkan makam Nabi Ibrahim a.s. Ia juga tempat berkumpulnya seluruh ahli keluarga baginda. Nabi Ibrahim adalah bapa kepada segala nabi.”

Tak ketinggalan tentang peristiwa Nabi Yunus a.s yang ditelan ikan nun.

Di Makan Nabi Yunus di sebuah masjid kecil di perkampungan Hal Hul
Di Qubbah Al Shakra

“Saya berdiri di dalam Masjid Kibli (kubah kelabu) iaitu masjid utama dalam perkarangan Al-Aqsa. Masjid ini juga dipanggil Masjid Al-Aqsa. Terdapat lima masjid di dalam kawasan ini iaitu Masjid Kibli, Qubbat Ak Sakhirah (Dome of the Rock), Masjid Marwani, Masjid Utama lama dan Masjid Buroq.

Ramai umat sering keliru dengan menganggap Dome of the Rock adalah masjid utama. Dome of the Rock menjadi tumpuan kerana kedudukan tanahnya yang paling tinggi, kubahnya diselaputi 200 kg emas dan menempatkan batu Israk Mikraj.”

Jelas Azrinaz lagi, beliau sangat bersyukur kerana Allah makbulkan doanya untuk berada di Al-Aqsa bersama suami. Tahun lalu Azrinaz berpeluang menyambut 10 Ramadan terakhir di Kota Suci Mekah. Yang pasti katanya, ia merupakan dua pengalaman berbeza yang tiada galang ganti.

Apa-apa pun, terima kasih kerana berkongsi ilmu yang sangat bernilai ini. Moga Azrinaz dan suami dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya.

Sumber: Instagram Azrinaz Mazhar Hakim

 

Share
Published by
Suzi