![hawa cover](https://cdn.nona.my/2022/11/hawa-cover-696x369.jpg)
Pembaca berita yang kini pengacara rancangan temubual hiburan MeleTOP, Hawa Rizwana baru-baru ini berkongsikan khabar gembira di mana dirinya sudah pun berjaya menamatkan pengajian sarjananya! Berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Komunikasi Massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Hawa juga dikhabarkan berjaya memperoleh keputusan cemerlang purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.78.
Perkongsian gembira ini turut dikongsikan menerusi hantaran di Instagramnya menyaksikan dia naik ke pentas utama bagi menerima sijilnya sempena konvokesyen UiTM ke-95 semalam.
Hawa sendiri sememangnya seorang yang suka menimba ilmu. Memetik sumber REMAJA, Hawa berkata, “Saya memang sangat-sangat minat belajar, memang hasrat selepas tamat ijazah sarjana muda saya mahu menyambung terus. Tetapi waktu itu telah bermula sebagai wartawan penyiaran dan pengacara. Lebih kurang setahun setengah kemudian baru saya menyambung pengajian ke peringkat sarjana.”
Konvokesyen ini umpama big day saya setelah berhempas pulas belajar selama dua tahun. Saya mula belajar sejak Mac 2019 dan tamat pengajian pada Januari 2021. Hampir dua tahun menunggu majlis konvokesyen,” ujarnya penuh teruja.
Tidak mahu perjalanan akademiknya terhenti diperingkat sarjana sahaja. Hawa yang merupakan anak kelahiran Illinois ini juga turut memasang impian untuk ke peringkat lebih tinggi. Khabarnya, dia berazam untuk menyambung ke peringkat PhD pula. Selamat maju jaya buat Hawa Rizwana!
Kredit foto: Instagram @hawarizwana
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Ustazah Asma’ Harun Kongsi 10 Amalan Boleh Dilakukan Pada Awal Zulhijjah
![](https://cdn.nona.my/2022/07/463721.jpeg)
SubhanAllah, bulan Zulhijjah salah satu bulan haram, bermaksud tidak dibenarkan berperang kerana dianggap sebagai bulan yang suci.
![Ustazah Asma’ Harun Kongsi 10 Amalan Boleh Dilakukan Pada Awal Zulhijjah](https://cdn.nona.my/2022/07/463722.jpeg)
Daripada Abi Bakrah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الزَّمَانُ قَدْ اِسْتَدَارَ كَهِيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ، السَّنَةُ اِثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعِدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضُرٌّ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Jika bulan Ramadan dikenali dengan keistimewaan 10 malam terakhir, bulan Zulhijjah pula mempunyai keistimewaan pada 10 hari terawal sepertimana firman Allah SWT:
وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾
Maksudnya: “Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta hari terawal Zulhijjah).”
(Surah al-Fajr: 1-2)
Bahkan ia turut disebutkan dalam hadis Nabi SAW bahawa jihad di jalan Allah SWT tidak dapat menandingi amalan yang dilakukan pada bulan suci ini.
Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
SubhanAllah, betapa besarnya nilai amalan pada waktu ini di sisi Allah SWT, maka jangan lepaskan peluang ini untuk merebut keistimewaan pada bulan Zulhijjah ini supaya mendapat redha-Nya dan kebaikan.
Andai tidak berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji di bulan ini, masih terdapat pelbagai amalan yang disarankan untuk kita melakukan amal soleh sebanyaknya, seperti:
Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Maksudnya: “Barang siapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلاَ يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا
Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh (hari Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Anjuran untuk tidak memotong rambut, bulu dan kuku ini merupakan pendapat Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ia juga adalah pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi’e.
2. BERPUASA PADA HARI ARAFAH
Selain daripada mengamalkan puasa sunat Isnin Khamis dan hari putih, kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah iaitu bersamaan 9 Zulhijjah. Ia adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
LAFAZ NIAT PUASA SUNAT ARAFAH:
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa Arafah, sunat kerana Allah ta’ala.”
Walau bagaimanapun, kita dilarang untuk berpuasa pada hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Pada hari tersebut, para jemaah haji sedang melakukan amalan melontar jamrah di Mina.
Manakala bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji pula, digalakkan untuk melakukan ibadah korban. Kita dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”
(HR Muslim, hadis sahih)
3. PERBANYAKKAN BERDOA DAN SALING MENDOAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN
Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(HR al-Tirmizi, hadis hasan)
Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?”
(HR Muslim, hadis sahih)
Saling mendoakan antara satu sama lain dengan mengucapkan:
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu.”
Daripada Jubair bin Nufair r.a. katanya:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).”
(Fath al-Bari, sanad hasan)
4. MENGHIDUPKAN SUASANA HARI RAYA DENGAN TAKBIR
Sabda Nabi Muhammad SAW:
زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير
Maksudnya: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.”
(HR al-Thabarani)
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.
‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata: “Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”
Terdapat dua jenis takbir pada hari raya:
i. Takbir Mursal atau Mutlaq (المرسل أو المطلق)
• Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.
ii. Takbir Muqayyad (المقيد)
• Bermula dari solat Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).
5. PERBANYAKKAN BERZIKIR
Hadis Nabi Muhammad SAW:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini (10 hari awal Zulhijjah). Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
(HR Ahmad, hadis sahih)
6. PERBANYAKKAN SEDEKAH DAN MENGHUBUNGKAN SILATURAHIM
Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمْر
Maksudnya: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.”
(HR al-Thabarani, hadis hasan)
7. MENTADABBUR AYAT AL-QURAN
Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah yang terdapat dalam al-Quran sewaktu membacanya.
Firman Allah SWT:
أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا
Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
(Surah al-Nisa’: 82)
8. MENDIRIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA DAN TIDAK MENJAMAH MAKANAN SEBELUMNYA
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ
Maksudnya: “Ketika Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan), dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk tidak mengambil sarapan terlebih dahulu.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم َلا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar (ke tempat solat) pada Aidilfitri sehingga beliau makan terlebih dahulu, dan beliau tidak makan terlebih dahulu pada Aidiladha sehingga beliau solat terlebih dahulu.”
(HR al-Tirmizi, hadis sahih)
9. MELAKUKAN IBADAH KORBAN BAGI YANG MAMPU
Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
(HR al-Tirmizi, hadis hasan)
10. MAKAN DAGING KORBAN DAN BERIKAN KEPADA ASNAF FAKIR MISKIN
Bagi mereka yang bukan melakukan ibadah korban nazar atau korban wajib, disunatkan untuk memakan sedikit daging korban sebagai sekadar mengambil berkat dan menyedekahkan bakinya kepada golongan fakir miskin.
Firman Allah SWT:
فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.”
(Surah al-Hajj: 28)
Menurut Imam Ibnu hajar:
“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama dari hari yang lain kerana ia menghimpunkan semua amalan utama dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Terhimpunnya amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.”
(Fath al-Bari, sanad hasan)
Walau bagaimanapun, masih banyak lagi ibadah sunat lain yang boleh kita lakukan di bulan Zulhijjah ini, namun berikut adalah antara amalan yang boleh kita lakukan. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan diterima Allah SWT dan menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.
تَقَبَلَ اللّٰهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ
RUJUKAN
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Li al-Haj Siri ke-32: Keistimewaan Dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Marilah Kita Beramal.
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Linnas Siri Ke-110: Kelebihan Hari Arafah Dan Hari Raya Aidiladha.
Almanhaj. Keutamaan 10 Hari Pertama Bulan Dzulhijjah Dan Amalan Yang Disyariatkan.
Kredit: Facebook Ustazah Asma’ Harun
13 Tahun Bergelar Ibu Tunggal, Balu Arwah ACHIK SPIN Cekal Membesarkan 2 Anak
![](https://cdn.nona.my/2023/01/500017.jpeg)
Biarpun sudah 13 tahun pemergian Allahyarham Achik Spin, nama dan lagu-lagu popularnya masih menjadi siulan ramai.
Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari merupakan vokalis kumpulan Spin. Achik juga pernah menjadi pasangan duet Siti Nordiana menerusi lagu Paling Comel dan Bola Bola Api sehingga pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tanahair.
Setelah meninggal dunia akibat kemalangan di Lebuhraya Kajang Seremban pada 17 April 2010, Achik meninggalkan seorang balu, H.M Rose Zaitul Suriani Wati Maarof bersama dua anak perempuan yang kini menginjak ke usia remaja. Anak sulung mereka, Puteri Rania meninggal dunia pada 2007.
Biarpun sudah berbelas tahun arwah ‘pergi’, sesekali isterinya ada memuat naik gambar-gambar kenangan mereka. Malah, perkembangan anak-anak juga sering dikongsi di media sosial.
Berikut temu bual eksklusif Majalah Nona bersama balu arwah Achik Spin yang mesra disapa sebagai Tasha.
KEHIDUPAN TERKINI
“Seperti ibu-ibu tunggal yang lain, kehidupan saya sekarang alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Anak-anak pun dah boleh biasakan diri hidup tanpa ayah di sisi. Kalau rindu, saya akan bawa mereka ziarah pusara arwah bapa mereka.
“Dari segi pelajaran anak-anak pun alhamdulillah. Yang sulung, Safiyya bersekolah harian berhampiran dengan rumah memandangkan dia tidak suka duduk di asrama. Tahun ini Saffiya berusia 15 tahun, tingkatan tiga.
“Manakala adiknya, Putri Nursumayya berusia 13 tahun dan belajar di sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Sains Tuanku Aishah Rohani Seremban.”
Tasha kini bekerja sebagai pegawai kewangan di salah sebuah hospital swasta sekitar Seremban. Kata Tasha, dia turut mempunyai perancangan untuk berbisnes memandangkan anak-anak sudah meningkat remaja.
SAYALAH IBU, SAYALAH AYAH
“Saat paling mencabar adalah ketika anak-anak masih kecil. Pernah sekali tu, Sumayya dimasukkan ke KPJ kerana ada ketumbuhan lendir di bahagian tangan dan terpaksa melakukan pembedahan minor. Disebabkan itu juga demamnya sangat tinggi. Kebetulan pula waktu itu bulan puasa.
“Yang menjadi masalahnya, ketika itu tiada siapa boleh bergilir dengan saya kerana anak-anak cuma nak dekat dengan kembar saya saja iaitu Riana. Kalau Riana ada barulah saya boleh uruskan hal-hal lain. Kebetulan Riana pun ada anak yang sebaya dengan anak saya.
“Hanya Allah saja yang tahu betapa mencabarnya situasi saya ketika itu. Terlalu penat kerana semuanya saya kena buat sendiri. Sayalah ibu, sayalah ayah.”
Pun begitu, Tasha bersyukur kerana kehidupannya kini semakin baik dan teratur. Anak-anak pun dah membesar, makin cantik dan bijak-bijak pula tu.
CANTIK PADA USIA 40-AN
Melihat kepada fizikalnya yang kecil molek dengan raut wajah yang sweet, tak sangka rupa-rupanya Tasha sudah mencecah usia 40an. Bila bersama anak-anak nampak seperti kakak-dan adik pula. Bertuahnya Tasha! Agaknya apa petua yang diamalkan ye?
“Tiada apa-apa petua pun. Mungkin sebab saiz badan kecil beri kelebihan kepada saya nampak macam kakak bila dengan anak-anak. Mungkin juga sebab saya lahir bulan Disember itu yang nampak awet muda kot…” kata Tasha sambil berseloroh.
RAPAT DENGAN KEMBAR
Menjengah ke akaun Instagram, Tasha dan kembarnya Rania baru sahaja meraikan ulang tahun kelahiran mereka.
“Riana merupakan kakak kembar saya. Ketika dilahirkan, beza masa kami cuma 10 minit. Hubungan kami memang rapat, maklumlah kembar. Setiap hari kami akan saling berhubung dan berjumpa.
“Kalau bergaduh atau berselisih faham pun, dalam setengah jam dah berbaik semula. Kami memang tak boleh berpisah, lagi-lagi dalam tempoh yang lama. Sampai arwah suami pun dah faham kenapa kami berjumpa hari-hari.”
“Jika sudah tertulis ada jodoh buat kali kedua, dengan sendirinya pintu hati ini akan terbuka. Akan tetapi, saya tak rasa ada orang yang boleh sayang saya seperti mana arwah suami. Mungkin sebab itulah saya masih belum ada pengganti.”
Didoakan agar segala urusan Tasha dan anak-anak dipermudahkan.
Kredit Foto: Instagram Tasha Maarof
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
“Mama Sangat Disiplin Dengan Amalan Petuanya” Kekal Cantik Dalam Usia 61 Tahun, DATIN MARIA ARSHAD Inpirasi SHIERA
![](https://cdn.nona.my/2019/02/Mama-sangat-disiplin-dengan-amalan-petuanya.jpg)
Seperti yang kita tahu hubungan Sharifah Shahirah atau Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya itu yang dipanggil Mama.
Berusia 45 tahun, Shiera merupakan ibu kepada lima orang anak iaitu Allisya (21), Airell (15), Airra (12), Auddra (10) dan Adeena (2). Isteri kepada pelakon, Ijoy Azhari ini bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 61 tahun.
Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan to keep the energy agar menjadi lebih hiper dan cerdas berfikir.
Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut effect buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygen water. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
UTAMAKAN KELUARGA
“Ibu mertua saya seorang yang more to family. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
Kami memang menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp.
Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.”
AMBIL HATI IBU MERTUA
“Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu.
Saya masih ingat dulu ketika pertama kali berjumpa, Mama sangat sporting walaupun tahu status saya ketika itu. Mama menerima saya seadanya, alhamdulillah. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya.”
Shiera kini aktif sebagai pengacara majlis serta penyampai radio.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired & elhelmikhir