
Sejak kahwin dan bergelar ibu, makin cantik berseri-seri Mira Filzah! Bukan saja kehidupan peribadi bertambah bahagia dengan kehadiran suami penyayang dan anak comel, bahkan Mira bertuah kerana kerjayanya kian bersinar dan berkembang maju.
Tahun ini sahaja Mira melakar satu lagi pencapaian apabila berjaya mempunyai jenama tudung sendiri dan menjadi wajah Swarovski. Malah, dia juga berpeluang menjalin kolaborasi bersama jenama muslimah terkenal Indonesia, Buttonscarves!
Isteri Wan Emir Astar ini juga kembali aktif mewarnai dunia lakonan selepas kelahiran anak sulungnya. Walau sudah berumah tangga dan mempunyai anak, populariti Mira masih utuh dan diterima ramai.
Mira turut jadi kebanggan keluarga https://www.nona.my/mak-abah-family-very-proud-of-you-ibu-kagum-kejayaan-mira-filzah-jadi-anak-seni-usahawan-berjaya/



Buktinya, dia diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai duta bagi pelbagai produk. Antaranya Secret Recipe dan Coway.
Tidak ketinggalan, wanita cantik kelahiran Perak ini merupakan pengasas Luna. Murah rezeki Mira Filzah!
Bersandarkan kejayaan Mira dalam kerjaya dan kecemerlangannya dalam bidang akademik di universiti, dia menerima jemputan daripada institusi pendidikan awam ternama negara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 20 Mei lepas.




Kongsi Mira, “Assalamualaikum UiTM. Saya kembali sebagai Alumni jemputan untuk Istiadat Konvokesyen UiTM ke 96.”
Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman ialah graduan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian Perniagaan Antarabangsa UiTM yang tamat graduasi pada tahun 2016.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
15 Tahun Berstatus Ibu Tunggal, Isteri Arwah ACHIK SPIN Bahagia Membesarkan Dua Anak Remaja

Masih segar dalam ingatan, tragedi yang menimpa Allahyarham Achik Spin akibat kemalangan maut di Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (LEKAS) pada 17 April 2010.
Biarpun tragedi yang menggemparkan industri hiburan tanah air itu sudah 15 tahun berlalu namun lagu-lagu popular arwah masih menjadi siulan ramai hingga kini.

Untuk rekod, Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari merupakan vokalis kumpulan Spin.
Achik juga pernah menjadi pasangan duet Siti Nordiana menerusi lagu Paling Comel dan Bola Bola Api sehingga pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tanahair.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, H.M Rose Zaitul Suriani Wati Maarof atau Tasha bersama dua anak perempuan yang kini menginjak ke usia remaja.


Anak sulung mereka, Puteri Rania meninggal dunia pada 2007.
Kehidupan Terkini
Menjengah ke Instagram peribadi Tasha, dia sering berkongsi kehidupan terkininya termasuk momen-momen bersama dua anak perempuannya yang semakin cantik dan bijak.

“Seperti ibu-ibu tunggal yang lain, kehidupan saya sekarang alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Anak-anak pun dah boleh biasakan diri hidup tanpa ayah di sisi. Kalau rindu, saya akan bawa mereka ziarah pusara arwah bapa mereka.
“Anak sulungnya, Safiyya bersekolah harian berhampiran dengan rumah mereka. Tahun ini Saffiya berusia 17 tahun.
“Manakala adiknya, Putri Nursumayya berusia 15 tahun dan belajar di Sekolah Sains Tuanku Aishah Rohani Seremban.”

Tasha kini bekerja sebagai pegawai kewangan di salah sebuah hospital swasta sekitar Seremban.
“Sayalah Ibu, Sayalah Ayah”
Menurut Tasha, saat paling mencabar sepanjang bergelar ibu tunggal ialah ketika anak-anak masih kecil.
Hanya Allah SWT saja yang tahu betapa mencabarnya detik itu terutama jika anak-anak sakit.

“Terlalu penat kerana semuanya saya kena buat sendiri. Sayalah ibu, sayalah ayah.”
Pun begitu, Tasha bersyukur kerana kehidupannya kini semakin baik dan teratur.
Cantik Pada Usia 40-an
Melihat kepada fizikalnya yang kecil molek dengan raut wajah yang manis, tak sangka rupa-rupanya Tasha sudah mencecah usia 40an. Bila bersama anak-anak nampak seperti kakak dan adik pula.

“Tiada apa-apa petua pun. Mungkin sebab saiz badan kecil beri kelebihan kepada saya nampak macam kakak bila dengan anak-anak. Mungkin juga sebab saya lahir bulan Disember itu yang nampak awet muda kot..” kata Tasha sambil berseloroh.
Rapat Dengan Kembar
“Riana merupakan kakak kembar saya. Ketika dilahirkan, beza masa kami cuma 10 minit. Hubungan kami memang rapat, maklumlah kembar. Setiap hari kami akan saling berhubung dan berjumpa.
“Kalau bergaduh atau berselisih faham, dalam setengah jam kami dah berbaik semula. Kami memang tak boleh berpisah, lagi-lagi dalam tempoh yang lama.”
Jika sudah tertulis ada jodoh buat kali kedua, dengan sendirinya pintu hati ini akan terbuka.


“Tetapi, saya tak rasa ada orang yang boleh sayang saya seperti mana arwah suami. Mungkin sebab itulah saya masih belum ada pengganti.”
Didoakan agar segala urusan Tasha dan anak-anak dipermudahkan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita, Sila Rebut Amalan Ini Ketika Haid Di Bulan Ramadan

Islam sememangnya agama yang indah. Islam diturunkan bagi menyempurnakan akhlak manusia serta mengatur tujuan hidup dalam Islam supaya menjadi lebih harmonis dan damai. Sekaligus memperlihatkan bagaimana Islam mengangkat darjat wanita di mana Allah SWT dalam al-Quran menjelaskan, kedudukan wanita dalam Islam sama dengan lelaki.
Apabila datang haid, terdapat segelintir wanita merasakan ia sebagai ‘ gangguan’ untuk melakukan amal ibadat terutamanya ketika berada di bulan Ramadan. Haid merupakan mekanisme biologi yang terjadi pada tubuh wanita. Keluarnya darah kotor menjadi penghalang bagi kaum hawa untuk melaksanakan ibadah seperti solat dan membaca Al-Quran. Namun begitu, wanita sememangnya mempunyai kedudukan istimewa di dalam Islam.

Para ulama mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu bolehkah seorang wanita yang dalam keadaan haid itu membaca al-Quran ? Menurut Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan, Amalan Wanita Haid di Bulan Ramadan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, memperincikan perkara tersebut.
- Haram. Inilah pendapat jumhur fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.”
Riwayat al-Tirmizi (131)
Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.
2. Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.
Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.
Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Tsaur. Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan keharusannya adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam (1/461)
Antara Kenyataan Mereka
- Syeikh al-Dusuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir (1/284)
- Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” Lihat Jawahir al-Iklil (1/32)
- Imam Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” Lihat al-Insaf (1/347)
Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca al-Qur’an sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca al-Qur’an bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Qur’an dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan al-Qur’an tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636).
Secara tuntasnya membaca al-Quran dalam bentuk zikir-zikir dan juga doa tidaklah termasuk dalam perkara yang dilarang ke atas orang perempuan yang datang haid. Ini seperti membaca doa menaiki kenderaan, mengucapkan istirja’ ketika mendengar musibah, membaca doa-doa yang ma’tsur daripada al-Quran sebagai zikir seperti pembacaan zikir-zikir pagi dan petang, dan seumpamanya.

Namun begitu, antara amalan yang boleh dilakukan oleh wanitayang datang haid di dalam bulan Ramadan ialah:
1.Banyakkan Sedekah
Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas. Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.

2.Perbanyakkan Doa dan Zikir
Bagi orang perempuan yang haid, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa dan juga zikir-zikir semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa ? Maka kata Nabi S.A.W: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’.

3.Memberi Makan Kepada Orang Berbuka
Boleh juga bagi orang yang dalam keadaan haid untuk memberikan makanan kepada mereka yang berbuka puasa. Hal ini antara perkara yang mendatangkan pahala yang besar kepada pelakunya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)

Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Meskipun terdapat beberapa ibadah yang tidak boleh dilakukan oleh perempuan yang berada dalam keadaan haid, ini sama sekali tidak menafikan peluang mereka untuk merebut dan meraih ganjaran yang besar di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Bahkan terdapat banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam keadaan haid seperti beberapa contoh yang telah disebutkan di atas. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bantu Rakyat Perangi COVID-19, PUTERA MAHKOTA Kacak DUBAI Ini Suntik DANA & SEMANGAT

Pandemik COVID-19 telah merebak ke seluruh dunia dan ketika ini penularan virus ini paling parah di negara Itali. Lebih dari 40,000 rakyat Itali telah jadi mangsa COVID-19. Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum telah merencana pelbagai langkah untuk menentang virus yang sedang mengancam dunia ini.

Lelaki terkaya di dunia ini, telah mengeluarkan perintah yang perlu dituruti oleh seluruh rakyat demi membendung pandemik ini daripada merebak. Pewaris takhta kerajaan Dubai ini berusaha menyakinkan rakyat bahawa kerajaan ambil berat tentang keselamatan mereka. Antara langkah yang telah diatur oleh Putera Mahkota ini;
1. Putera kedua kepada Emir Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum ini telah mengeluarkan resolusi, menubuhkan pusat bagi penyakit dan wabak ‘The Disease and Epidemic Control Centre’.
2. Sheikh Hamdan telah melancarkan kempen ‘Your City Needs You’ yang merupakan kempen sukarelawan melalui aplikasi ‘Day for Dubai’. Aplikasi ini memanggil semua pakar dalam bidang masing-masing untuk menyumbang dalam suasana getir ini.
3. Baginda juga telah melakukan suntikan ekuiti baru ke syarikat penerbangan Emirates untuk membantu mengatasi krisis COVID-19. Coretnya di laman Twitter, “Emirates, syarikat penerbangan nasional kami, meletakkan Dubai sebagai hab perjalanan global dan mempunyai nilai strategik yang besar sebagai salah satu tonggak utama ekonomi Dubai, serta ekonomi UAE yang lebih luas. Kami akan mengumumkan butir-butir lanjut tentang suntikan ekuiti dan lebih banyak langkah tidak lama lagi,” katanya.

Putera Mahkota Dubai yang berkahwin pada bulan Ramadan tahun lalu sering kali memujuk rakyatnya dan menekankan tentang kepentingan duduk di rumah. Antara perkongsiannya, “Pandemik ini adalah ancaman yang sangat bahaya kepada setiap orang. Satu-satunya cara untuk memastikan kita melindungi orang yang tersayang ialah Duduk Di Rumah,” katanya.

Selain itu, Sheikh Hamdan telah memuji pegawai petugas hadapan yang dedikasi membantu membendung pandemik COVID-19 di laman Twitter peribadinya. Sheikh Hamdan juga berkongsi mesej untuk mengurangkan ketakutan yang disebabkan oleh Pandemik Covid-19. Baginda memberi jaminan bahawa keselamatan orang ramai menjadi keutamaannya.

Putera diraja Dubai yang berusia 35 tahun ini, dikagumi dan disayangi kerana bersikap sederhana, merendah diri, bijak, berbudi bahasa dan suka membantu rakyat jelata. Sheikh Hamdan juga dikenali sebagai seorang yang dermawan dan prihatin akan nasib rakyatnya yang kurang bernasib baik.


Sejak ditabalkan sebagai Putera Mahkota Dubai pada 1 Februari 2008, Sheikh Hamdan masih memainkan peranan aktif dalam Pusat Autisme Dubai selaku penaung kehormat.
Sumber: khaleejtimes.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


