“Cuba tengok ni, awak punya kanser… dah hilang!” demikian kata Elyana saat mengimbau detik-detik mendebarkan, apabila doktor mengesahkan dia bebas kanser. Antara percaya dengan tidak, berita ini tiba bagaikan jalur pelangi yang ditunggu-tunggunya selama 11 tahun!
Malam separuh akhir Gegar Vaganza musim kelapan di Putrajaya. Di celah-celah tetamu yang hadir, alangkah sejuknya mata memandang penampilan baru Elyana di sisi suami tersayang.
Manis berhijab, solekan tipis tapi berseri, aura yang ditebarkan penyanyi ‘Tak Tercapai Akalmu’ itu sungguh menjadi-jadi.
Enggan menghampakan permintaan media, wanita berusia 36 tahun itu sudi bercerita kepada Majalah Nona pengalaman sebagai pejuang kanser selama 11 tahun.
Kekuatan dirinya berakar dari semangat mahu bangkit demi insan tersayang. Tonton video eksklusif bersama Elyana di bawah…
Elyana merupakan antara penerima sumbangan Kongsi Rezeki berjumlah RM10,000 daripada penaja rasmi GV8, Farm Fresh.
Selain Elyana, beberapa bekas peserta GV lain iaitu Ashira, Bad Indigo, Ayai Ilusi, Roy dan wakil keluarga arwah Gmie Screen turut menerima sumbangan ikhlas tersebut.
“Anak selalu harapkan saya menjadi ibu normal seperti orang lain yang tidak sakit dan menemani dia ke mana sahaja.” Elyana
Sambung Elyana, seperti anak-anak lain, Cinta Sumayyah selalu berharap ibunya yang dipanggil Bonda itu sentiasa sihat dan dapat menjalani rutin seperti ‘a normal mother’.
Meskipun sedikit sebak, namun kerana kekuatan suami dan anak-anaknya membuatkan mental Elyana mahu berjuang melawan penyakit meskipun adakalanya tubuh sendiri tidak tertahan menanggung.
“Macam ibu-ibu lain yang tak sakit, Cinta mahu saya teman dia berenang dan lakukan semua aktiviti bersama-sama. Inilah yang anak-anak saya nantikan selama ini.”
“Saya selalu percaya apa yang kita fikir atau doa, kemungkinan akan terjadi.
Disebabkan itu, saya memasang impian nak hidup lama untuk menemani anak-anak sehingga besar, sampailah ada yang mampu menjaganya seperti saya menjaga mereka sejak kecil. Itulah antara doa saya dan Allah SWT makbulkan.
Selain itu, memberi inspirasi kepada semua individu yang sedang bertarung nyawa juga antara hal yang ingin saya realisasikan. Saya nak mereka jadi kuat melawan kesakitan.” Elyana
Penyanyi yang popular menerusi lagu Diriku Tapak Sulaiman juga terasa terasa seperti dalam mimpi sejak doktor memaklumkan dirinya sudah bebas daripada kanser yang dihidapi sejak 10 tahun lalu.
“Sampai sekarang rasa seperti mimpi, apa yang saya doakan sudah berlaku akhirnya.
Kini, barulah saya dapat rasa dan percaya frasa bahawa bersabarlah, setiap ujian pasti akan ada pelangi di hadapan.”
Namun biarpun disahkan telah bebas kanser, Elyana masih berbaki empat lagi sesi kimoterapi.
“Saya masih ada lagi empat sesi dan seterusnya pada Februari nanti.
Doktor juga rancang nak lakukan prosedur transplan tetapi kosnya sangat besar dan insuran saya juga semakin lama semakin surut sebab sudah 10 tahun.
Jadi, harapnya selepas habis kimoterapi tak perlu buat transplan. Sekarang amalkan pengambilan suplemen (makanan tambahan) dan vitamin yang menurut pakar memang elok dan sesuai dengan kesihatan.” Elyana
Terdahulu, pada Disember 2021, pelakon Dunia Baru itu mengejutkan ramai apabila mengesahkan dirinya bebas kanser limfoma yang dideritai sejak 10 tahun lalu.
Alhamdulillah, syukur! Sama-sama kita doakan kesembuhan buat wanita kuat ini.
This website uses cookies.